Hari Natal atau dikenali dengan hari Krismas disambut oleh setiap penganut Kristian setiap 25 Disember. Ia merupakan perayaan terbesar untuk penganut agama Kristian bagi memperingati kelahiran Jesus atau Isa AS.
Antara adat resam yang dilakukan semasa perayaan ini ialah memberi hadiah, menghias rumah dengan pokok krismas serta lampu hiasan dan ia akan disambut di gereja dengan upacara-upacara tertentu. Kebiasaannya, keluarga akan berkumpul untuk makan malam bersama bagi meraikan sambutan ini.
Mereka pula akan mengucapkan ‘Merry Christmas’ atau ‘selamat Hari Natal’ sebagai salah satu cara untuk meraikan. Malah, kebiasaannya ucapan ini bukan sahaja diucapkan sesama mereka, namun kepada kawan-kawan mereka yang bukan beragama Kristian juga.
Tiada masalah jika mereka ingin mengucapkan ucapan ini kepada umat Islam. Namun, bagaimana pula hukumnya bagi umat Islam. Adakah dibolehkan membalas ucapan tersebut dan juga mengucapkannya kepada mereka dengan alasan mengeratkan hubungan persaudaraan?
Menyambut dan meraikan agama lain itu bukan perkara yang ringan dalam Islam. Setiap yang dihukumkan haram pasti ada sebabnya yang dijangka boleh melanggar syariat dan memesongkan akidah. Begitu juga dengan perkara yang dihalalkan, pasti ada sebabnya.
Dalam isu ini, terdapat dua perbezaan ulama apabila sebahagiannya bersepakat mengatakan halal mengucapkannya disebabkan hubungan sosial dengan bukan Islam untuk menjaga keharmonian dan bukan dengan sebab mengiktiraf atau mengagungkan agama lain.
Manakala, sebahagian ulama lain berpendapat bahawa ia haram diucapkan kerana melihat ia sebagai satu perbuatan yang boleh mengagungkan agama mereka.
Syeikh Muhammad Ahmad ‘Ulaisy al-Maliki, Al-Hattab Al-Rauyani, Imam Al-Mawardi, Imam Al-Bulquni dan beberapa ulama lain membenarkan ucapan ini diberikan kepada penganutnya selagi mana tidak mengandungi pengiktirafan kepada agama mereka.
Malah, mereka berpegang kepada keharusan mengucapkan ucapan ini kerana tiada dalil yang jelas daripada Al-Quran dan As-Sunnah berkenaan larangan mahupun dibenarkan mengucapkan ucapan ini. Begitu juga dengan riwayat dari kalangan para sahabat, tabi’ dan tabiin serta kalangan salafussoleh yang lain.
Ucapan tahniah ini juga bukanlah untuk menunjukkan keredhaan terhadap agama mereka, namun untuk menunjukkan sebuah perlakuan baik sebagai tanda hormat sesama manusia dan mengekalkan hubungan baik yang telah dijalin seperti dalam kalangan rakan di pejabat, di kawasan tempat tinggal dan sebagainya.
Jika dijemput untuk meraikan perayaan mereka, perlu dilihat pengisian majlis itu. Jika dipenuhi dengan maksiat dan juga makanan yang tidak halal seperti arak, maka perlu menolaknya dengan cara yang baik.
Menurut fatwa yang telah dikeluarkan oleh Institusi fatwa juga, harus mengucapkan atau membalas ucapan hari Natal ini kepada penganut mereka dengan syarat lafaz tersebut tidak bertentangan dengan akidah.
Hal ini dijelaskan lagi kerana ucapan Merry Christmas bukanlah termasuk sebagai penyerupaan dengan bukan Islam yang dilarang, iaitu yang bercanggah dengan prinsip-prinsip Islam.
Mafhum: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.”
Menurut Ibnu Taimiyyah, Abdullah bin ‘Amru Al-Ash, Imam Al-Damiri dari mazhab Syafi’e, Abu Hafs Al-Kabir dari mazhab Hanafi, Imam Al-Buhuti daripada mazhab Hanbali dan beberapa ulama lain bersepakat bahawa haram meraikan perayaan sama ada dengan membalas atau memberi ucapan.
Hal ini kerana, ia dianggap sebagai mengiktiraf agama mereka dan meredai syiar agama yang dibawa. Perbuatan ini juga termasuk dengan membantu mereka membeli atau memilih hadiah.
Ini adalah berdasarkan beberapa hadis dan dalil yang telah dirujuk oleh mereka, antaranya ialah:
Maksud: “Bukanlah daripada kami sesiapa yang meniru dengan selain kami. Janganlah meniru Yahudi dan Nasrani dan sesungguhnya salam Yahudi itu dengan isyarat jari dan salam Nasrani itu dengan tapak tangan.
Oleh itu, diharuskan mengucapkan atau membalas Merry Christmas kepada penganutnya jika wujud keperluan untuk mengucapkannya seperti memperbaiki masalah sosial dalam kalangan masyarakat dan membentuk perpaduan. Lebih-lebih lagi apabila melihat kepada keperluan di Malaysia yang dipenuhi dengan masyarakat dan budaya majmuk.
Namun, jika tiada sebab untuk mengucapkan atau meraikan, maka makruh untuk mengucapkannya bagi mengelakkann perpecahan atau fitnah.
Jika anda diberikan hadiah oleh mereka, maka dibolehkan untuk menerimanya bahkan memberi hadiah semula kepada mereka. Hal ini kerana, Baginda SAW sendiri pernah menerima hadiah daripada seorang raja yang tidak beragama Islam.
Jika dijemput untuk menghadiri majlis perayaan mereka, boleh untuk menghadirinya selagi tidak dilakukan di rumah ibadat mereka seperti gereja. Jika majlis tersebut dilakukan di gereja, maka makruh hukumnya ke atas umat Islam.
Maksud: “Janganlah kalian menemui orang-orang musyrik di gereja-gereja (tempat ibadah) mereka pada hari raya mereka, kerana kemurkaan (Allah) turun kepada mereka.” (Hadis Riwayat Baihaqi no. 1609)
Wallahu a’alam.
Rujukan:
Mufti Wilayah
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.