Hukum

Bolehkah Memotong Kuku Dan Rambut Ketika Haid

Oleh Natirah Azira  •  13 Dec 2019  •  2 min baca

Kebersihan adalah hal yang sangat dititikberatkan dalam Islam. Tidak kira sama ada bagi orang yang sedang sihat, sakit, bermusafir atau sedang dalam keadaan haid (wanita). Namun konsep kebersihan dalam Islam bukan hanya dari sudut aspek luaran bahkan aspek dalaman.

“Maksudnya: Sesungguhnya Allah SWT itu baik, Dia menyukai kebaikan. Allah itu bersih, Dia menyukai kebersihan. Allah itu mulia, Dia menyukai kemuliaan. Allah itu dermawan ia menyukai kedermawanan maka bersihkanlah olehmu tempat-tempatmu dan janganlah kamu menyerupai kaum Yahudi.” (Riwayat al-Tirmizi, no. 2799)

Mungkin ada antara kita yang pernah terdengar bahawa kuku yang terpotong dan rambut yang putus perlu disimpan dan kemudian dimandikan apabila ingin mandi wajib.

Berkemungkinan pendapat bahawa tidak boleh bagi seseorang itu memotong kuku dan mencukur bulu berasal daripada pendapat Imam Ghazali dalam Kitab Ihya’ Ulumuddin.

“Dan tidak sepatutnya seseorang itu mencukur rambutnya, memotong kukunya, mencukur bulu ari-arinya, atau mengeluarkan darahnya, atau mengeluarkan satu bahagian daripada dirinya, sedang dia dalam keadaan dia berjunub. Ini kerana sekalian bahagian itu akan dikembalikan pada Hari Akhriat dalam keadaan berjunub lalu dikatakan kepada orang itu: “Sesungguhnya setiap bulu-bulu ini menuntut kepadanya atas keadaan janabah (atau kenapa ia dibangkitkan dalam keadaan hadas besar).”

Namun pendapat ini dikritik oleh Al-Bujairimi yang mengatakan bahawa bahagian badan yang kembali kepada jasad seseorang itu adalah berdasarkan keadaannya sewaktu mati, bukan termasuk sekalian kuku dan rambut yang telah dipotong selama hidupnya.

Al-Madabighi pula berkata bahawa bahagian badan yang dikembalikan hanyalah anggota badan yang terpotong seperti tangan, bukannya rambut atau kuku.

Hasil daripada penelitian ini, dapat disimpulkan bahawa perbuatan mencukur bulu, memotong rambut mahupun kuku ketika haid adalah perbuatan yang dibenarkan dan bukanlah haram. Tidak perlu untuk menyimpan kuku atau rambut yang terputus sewaktu haid dan nifas kemudian dimandikan apabila sudah suci.

Tambahan pula, pendapat Imam Ghazali itu adalah dalam situasi junub dan bukannya haid, bahkan tempoh haid yang kebiasaanya lebih lama daripada junub secara logiknya memerlukan wanita lebih menjaga kebersihan diri dan lebih sukar untuk mengelakkan rambut daripada gugur.

Selain itu, pendapat Imam Ghazali tersebut menggunakan perkataan “La Yanbaghi” yang lebih bermaksud “tidak sepatutnya” – menunjukkan kepada larangan bersifat makruh dan bukan haram.

Namun, pihak Mufti Wilayah Persekutuan memegang pendapat bahawa tindakan mencukur bulu, memotong rambut dan kuku tidak makruh dan tidak pula haram. Wallahua’lam.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami