Ibadah

Bolehkah Mengambil Wuduk Sebelum Tidur Walaupun Ketika Haid

Oleh Natirah Azira  •  19 Nov 2019  •  3 min baca

Wuduk Diambil Bukan Hanya Untuk Solat

Hukum berwuduk adalah sunat. Namun jika diambil untuk menunaikan solat maka hukum wuduk itu menjadi wajib. Rasulullah SAW sebenarnya menganjurkan berwuduk dalam banyak keadaaan contohnya untuk membaca Al-Quran, berzikir, ketika dalam keadaan marah dan juga sebelum tidur.

Perkara ini ada disebutkan oleh Sheikh Abdullah Ibn Abd al-Rahman Bafadil al-Hadramiy di dalam kitab al-Muqaddimah al-Hadramiyyah. Beliau berkata:

يُسْتَحَبُّ الْوضُوءُ مِن الفَصْد والحَجَامَةِ والرُعَافِ وَالنُّعَاس وَالنَّوْمِ قَاعِدًا مُمكنا مَقْعَدَته والقَيْء وَالقهقهة فِي الصَّلَاة وَأَكْل مَا مَسَّتْهُ النَّار وَأَكْل لَحْم الْجَزُور وَالشَّكّ فِي الْحَدَث وَمِن الْغَيْبَة والنميمة وَالْكذب والشتم وَالْكَلَام الْقَبِيح وَالْغَضَب ولإرادة النّوم ولقراءة الْقُرْآن والْحَدِيث وَالذكر وَالْجُلُوس فِي الْمَسْجِد والمرور فِيهِ ودراسة الْعلم وزيارة الْقُبُور وَمن حمل الْمَيِّت ومسه

Maksudnya: Bahawa disunatkan untuk mengambil wuduk bagi sesiapa yang berbekam, hidung berdarah, mengantuk, tidur yang tetap punggungnya, muntah, batuk di dalam solat, memakan sesuatu yang dibakar dengan api, memakan daging unta, syak tentang hadas, ghibah, mengumpat, berdusta, mengeji orang lain, mengungkap perkataan yang teruk, marah, ingin tidur, membaca al-Quran dan hadith, berzikir, duduk di dalam masjid, melintasi masjid, mempelajari ilmu, menziarahi kubur, mengusung mayat dan menyentuhnya. (Rujuk al-Muqaddimah al-Hadramiyyah: 37)

Begitu juga dalam satu hadis yang diriwayatkan daripada al-Bara’ bin ‘Azib RAnhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا أَتَيْتَ مَضْجَعَكَ، فَتَوَضَّأْ وُضُوءَكَ لِلصَّلاَةِ، ثُمَّ اضْطَجِعْ عَلَى شِقِّكَ الأَيْمَنِ

Maksudnya: Apabila kamu pergi ke tempat tidur kamu, maka hendaklah kamu berwuduk seperti wuduk kamu untuk mendirikan solat, kemudian berbaringlah di lambung sebelah kananmu – (Riwayat al-Bukhari, no.247 dan Muslim no.2710)

Hukum Berwuduk Dalam Keadaan Berjunub

Hukum mengambil wuduk sebelum tidur adalah sunat. Rasulullah SAW membolehkan seseorang yang dalam keadaan berjunub mengambil wuduk terlebih dahulu sebelum tidur kerana hal ini juga dilakukan oleh baginda sendiri.

Saidatina Aisyah RAnha, bahawa beliau berkata:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا كَانَ جُنُبًا فَأَرَادَ أَنْ يَأْكُلَ أَوْ يَنَامَ تَوَضَّأَ وُضُوءَهُ لِلصَّلَاة

Maksudnya: Bahawasanya Rasulullah SAW jika sekiranya berada dalam keadaan berjunub dan Baginda SAW ingin untuk makan atau tidur, maka Baginda SAW akan mengambil wuduk seperti wuduk yang diambil untuk solat (Hadith Riwayat Muslim, no.305)

Ibnu Rajab al-Hanbali ketika menerangkan tentang hadis ini juga mengatakan bahawa ramai ulama yang berpendapat bahawa apabila seseorang yang berjunub hendak tidur (tanpa mandi wajib), maka hendaklah dia membasuh kemaluannya dan berwuduk (Rujuk Fath al-Bari Li Ibn Rajab, 1:357)

Bolehkah Berwuduk Dalam Keadaan Haid Dan Nifas

Bagi orang yang sering menjadikan rutin berwuduk sebelum tidur, mungkin akan terus mengamalkan hal ini walaupun dalam keadaan haid. Persoalan yang akan timbul di benak kita – adakah wuduk itu masih berguna walaupun dalam keadaan berhadas? Atau ia menjadi sia-sia?

Anjuran ini agak berbeza bagi situasi wanita dalam keadaan haid dan nifas. Mereka tidak disunatkan berwuduk dalam tempoh ini kerana syarat untuk berwuduk hendaklah suci daripada haid dan nifas. Oleh itu, wuduk yang diambil dalam keadaan haid tidak sah kerana tidak cukup syarat wuduk tersebut.

Haid dan nifas juga merupakan hadas yang berpanjangan dan tidak terus terangkat dengan mandi wajib (jika masih dalam tempoh haid), berlainan dengan orang yang berjunub. Orang yang berjunub berada dalam keadaan berhadas hanya dalam tempoh singkat dan akan terus suci apabila mandi wajib.

Sesetengah ulama pula berpendapat bahawa haram hukumnya jika melakukan perbuatan bersuci iaitu berwuduk dalam keadaan tersebut. Haram di sini ada dua makna seperti yang diterangkan oleh Imam Al-Nawawi.

Pertama, haram yang dimaksudkan adalah tidak sah. Kedua, haram dan berdosa jika berwuduk dengan niat untuk ta’abbud (melakukan ibadah) kerana seperti mempermain-mainkan perbuatan ibadah sedangkan sudah mengetahui wuduk itu tidak sah. Namun jika dengan niat tabarrud (membersihkan diri dan menyejukkan badan) sahaja, maka perbuatan tersebut tidak dikira berdosa.

Wallahua’lam.

Rujukan:

Mufti Wilayah Persekutuan


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami