Oleh Saifuddin Hamizan • 20 Nov 2019 • 7 min baca
“A situationship is like false comfort and lacks true intimacy and vulnerability. This is a lazy way of dating since you’re half in and half out.”- Dating Coach Samantha Burns
Perhubungan pada masa kini semakin kompleks dan sukar untuk kita tempuhi kerana kemajuan teknologi yang sungguh pesat. Berikutan itu semakin menjalar pula penyakit-penyakit personaliti akibat dari salah guna terhadap kemajuan teknologi pada hari ini. Kita perlu sedar yang kita sudah pun memasuki era digital 4.0 iaitu zaman yang mana semua kemudahan boleh dicapai melalui jari-jemari.
Kita tak pernah terfikir pada 10 tahun yang lepas akan ada servis penghantaran makanan yang begitu pantas seperti hari ini. Kita tak pernah terfikir yang suatu ketika nanti orang boleh membeli belah dari rumah hanya melalui beberapa aplikasi yang dimuat turun ke dalam telefon pintar.
Kita tidak pernah pun terfikir yang budaya perkenalan hari ini banyak melalui internet. Dahulu mungkin sudah ada Yahoo Massengger dan sebagainya, namun ketika itu tidak kedengaran biasa apabila orang lain cerita yang dia berkahwin akibat dari perkenalan di dunia internet.
Namun pada waktu ini, cerita-cerita mengenali jodoh dari halaman media sosial sudah menjadi biasa dan normal. Malah ibu bapa kita semua sudah mula menerima budaya moden ini dan sudi mengenali calon pilihan anak mereka dengan lebih dekat.
Walaupun kita sudah memasuki generasi milenial atau disebut sebagai generasi ‘Y’, kita perlu tahu keadaan dunia hari ini banyak juga menjemput penyakit sosial yang boleh dikatakan lebih teruk dari dahulu. Sedangkan Allah SWT sendiri mengatakan yang dunia ini sebagai tempat ujian sebagaimana firmanNya:
الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا ۚ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ
“Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun” (Surah al-Mulk ayat 2)
Dan juga firmanNya:
وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ لَا تُفْسِدُوا فِي الْأَرْضِ قَالُوا إِنَّمَا نَحْنُ مُصْلِحُونَ
“Dan bila dikatakan kepada mereka: “Janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi”. Mereka menjawab: “Sesungguhnya kami orang-orang yang mengadakan kebaikan”.
أَلَا إِنَّهُمْ هُمُ الْمُفْسِدُونَ وَلَٰكِنْ لَا يَشْعُرُونَ
“Ingatlah, sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang membuat kerosakan, tetapi mereka tidak sedar.” (Surah al-Baqarah ayat 11-12)
Manusia sendiri semakin lama membuat kerosakan – dalam konteks ini apa yang boleh kita kaitkan sama juga dengan pembangunan peralatan komunikasi yang semakin canggih. Sekalipun kita berjaya mendirikan teknologi secanggih WhatsApp, Facebook, Telegram dan talian 5G kita pastinya sudah meninggalkan beberapa kelompongan pada kehidupan seharian.
Kelompongan itu boleh menjadikan manusia semakin “self-entitled” (pentingkan diri) sehingga menjadikan sesiapa sahaja berkemungkinan ada potensi untuk menjadi watak “narsistik” (mementingkan diri sendiri dan bersikap kejam pada orang lain).
Ini disebutkan sendiri oleh Larry Alton, seorang penganalisa budaya pekerjaan di Amerika Syarikat yang menulis artikelnya untuk Forbes iaitu “Should Millennials Prepare for Generation Z In The Workplace?”.
Kata beliau, generasi milenial yang lahir antara 1980 hingga 2000 adalah generasi yang dibesarkan dengan pembangunan teknologi komunikasi yang kita capai pada hari ini, maka mereka dibesarkan dalam keadaan “sense of entilement” (sikap pentingkan diri) berbanding generasi sebelumnya.
Kenapa? Masalahnya ialah pada kemahiran bergaul yang semakin lumpuh, latihan komunikasi dan latihan kemahiran motor (motor skills) yang lemah berbanding generasi sebelum ini.
Kita perlu faham yang generasi ibu ayah dan datuk nenek kita hidup waktu pasca peperangan dan kemerdekaan, pada waktu itulah daya kebingkasan dan kemahiran hidup mereka kuat dan mahir. Maka apabila kita hendak menilai sesuatu budaya kita perlu nilai berdasarkan generasi dan perubahan pada zaman itu.
Dalam kamus Urban Dictionary istilah “situationship” ini diberi maksud:
“A relationship that has no label on it.. like a friendship but more than a friendship but not quite a relationship.”
“Suatu perhubungan yang tidak mempunyai label. Ia seperti hubungan persahabatan, tetapi lebih daripada sekadar kawan, tetapi bukan seperti hubungan istimewa”
Situasi perhubungan yang kadangkala dilabel sebagai pasangan bercinta dan kadangkala seperti kawan rapat. Budaya ini sudah lama wujud di negara barat namun lama kelamaan ia semakin menular ke negara asia seperti Malaysia. Kerana kemunculan aplikasi internet yang terlalu banyak dan disana wujudnya pelbagai pilihan pasangan.
Kalau dahulu pilihan kita sangat terhad di daerah tempat tinggal kita, sekolah, universiti atau jiran tetangga sahaja. Namun sejak munculnya aplikasi cari jodoh atau platform media yang menawarkan tentang mencari jodoh, budaya “situationship” ini sudah menjadi kebiasaan.
Pada hemat saya, budaya ini berlaku akibat dari masalah psikologi yang pernah dibahaskan oleh Barry Schwartz iaitu “Paradox of Choice”. Beliau menuliskan buku berkaitan kesukaran membuat pilihan ketika membeli, dikalangan pengguna. Kajian beliau ini digunapakai oleh syarikat perniagaan bagi membolehkan mereka mempengaruhi psikologi pembeli agar dapat membuat keputusan yang cepat.
Didapati dari kajian ini beliau menyimpulkan semakin banyak sesuatu pilihan itu di depan mata, semakin sukar untuk pengguna membuat keputusan untuk membeli. Dalam konteks pemilihan jodoh pun begitu, bila lambakan pilihan terhidang di depan mata maka semakin wujud perasaan sukar untuk memilih yang manakah terbaik untuk kita.
Walaupun ada orang kata kita hendaklah “shopping jodoh” sebelum buat keputusan berkahwin, pada saya itu tidak semestinya menemukan kita dengan calon yang sesuai buat kita. Sebab kekeliruan untuk memilih dan membuatkan kita bermain-main sahaja dalam perkenalan.
Selepas dilema dengan masalah pilihan terlalu banyak, akan wujud nanti perasaan tidak mahu ada komitmen yang serius. Ditambah pula dengan budaya perhubungan pada masa kini yang lebih pada narsistik dan pentingkan diri.
Terdapat beberapa tanda yang ada dalam perhubungan “situationship” yang telah digariskan oleh ilmuwan:
Menurut kaunselor Nicole Richardson, hubungan seperti ini tidak ada nilai keterbukaan dan kejujuran antara satu sama lain dalam perbualan. Sikap terbuka dan jujur amat menakutkan bagi mereka yang berada dalam perhubungan ini.
Segalanya berat dan seolah-olah seperti ada batu yang ingin menghempap, jadi setiap kali ada sesi pertemuan pasti perbualannya menerawang dan tidak begitu mendalam soal yang lebih jelas seperti hala tuju dan seumpamanya.
Jurulatih perhubungan, Kali Rogers pula mengingatkan bahawa jika sekiranya kita bercinta dengan seseorang walaupun berbulan ataupun setahun tanpa ada diselitkan dengan soal lebih mendalam seperti bercakap mengenai masa hadapan, itu adalah pelaburan yang sia-sia.
Bagi mereka yang sangat mencintai satu sama lain, biasanya lebih teruja untuk memperkenalkan pasangannya dengan sahabat baik. Namun kata Pakar Terapi, Tracy Rose jika kita tidak tahu-menahu siapa kawan baiknya, adalah lebih baik kita fikirkan adakah hubungan ini berbaloi untuk diteruskan.
Jika kita ada temu janji dengan si dia, si dia akan perlakukan kita dengan cara yang sangat istimewa dan berprotokol, namun yang sebenarnya kita hanyalah ‘benefit’ untuk menjadi penemannya sahaja tatkala dia kesunyian atau segan menyendiri di mana-mana.
Kata psikologis Antonio Borello, ketika mana kita berada dalam hubungan ‘situationship’ kita jarang ada gambar bersama, atau menyertai sebarang aktiviti yang menunjukkan kita penting disisi dia atau tanda-tanda yang biasa difahami oleh budaya kebiasaan, bahawa kita sedang berada dalam hubungan cinta.
Sekalipun banyak kali ada temu janji, di dalam dunia yang sebenar kita rasa dia bagaikan “hantu” yang hanya muncul pada waktu tertentu dan hilang begitu sahaja.
Gaya perhubungan di zaman moden adalah kesukaran untuk membina komitmen. Seperti yang disebutkan sebelum ini, barangkali ia disebabkan lambakan jalan pintas untuk menemukan jodoh seperti aplikasi yang senang dimuat turun dan platform media sosial yang ada pada hari ini.
Jadi adalah biasa kalau seseorang itu mengadakan temu janji seperti pasangan bercinta namun sebenarnya hanya menjadikan kita sebagai kepentingan untuk mengisi kesunyian semata-mata.
Setiap kali ketiadaan dia disisi kita selalu bermonolog dalam diri “adakah dia serius?” dan persoalan-persoalan ketidakpastian ini sering menjengah akal fikiran kita dek tingkah laku yang ditunjukkan oleh si dia pada kita selama dalam hubungan.
Hubungan seperti ini amat melesukan, bosan dan kita berasa kosong kerana selama dengan dia, tiada perangkaan yang jelas dibincangkan. Perbualan pun tidak mempunyai hala tuju, tidak ada objektif malah tindakan dia pun tiada tanda-tanda ke arah hubungan yang serius sepertimana hubungan yang normal.
Banyak lagi tanda-tanda yang menunjukkan kita berkemungkinan duduk dalam situasi “situationship” ini. Jadi bagaimana kita hendak keluar dari situasi seperti ini? Pertama sekali, perlulah bercakap jujur berterus terang dan bersedia untuk berpisah kerana hubungan ini tidak boleh bertahan lama. Suatu hubungan yang betul, mestilah kedua-duanya ada cinta yang berputik, tidak boleh salah satu sahaja yang merasai.
Maka yang paling penting sekali dalam menyikapi masalah hubungan seperti ini ialah kita perlu sedar setiap tanda-tanda seperti yang disebutkan dan terus berterus terang. Jika respon yang kita perolehi tidak begitu memuaskan, mulalah untuk merancang keluar dari hubungan sebelum terlewat.
Rujukan :
What Exactly Is A ‘Situationship’? Relationship experts say this dating dynamic has pros and cons.
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.