Hukum

Hukum Membuang Sampah Ke Dalam Tong Sampah Jiran

Oleh Fizah Lee  •  13 Nov 2019  •  3 min baca

Sebagai mereka yang hidup dalam keadaan berjiran, hak sesama jiran adalah sangat dititikberatkan dalam Islam.

Jiran ialah mereka yang berada dekat dengan rumah mereka – 40 buah rumah dari depan, kanan, kiri dan juga belakang.

Walaupun anda tidak mengenali jiran anda, namun itu tidak menjadikan ia sebagai salah satu alasan untuk menyakiti jiran anda.

Malah, melalui kalamNya juga ada menyebut bahawa berbuat baik kepada jiran adalah termasuk sebagai amalan yang mulia.

وَاعْبُدُوا اللَّـهَ وَلَا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا ۖ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا وَبِذِي الْقُرْبَىٰ وَالْيَتَامَىٰ وَالْمَسَاكِينِ وَالْجَارِ ذِي الْقُرْبَىٰ وَالْجَارِ الْجُنُبِ وَالصَّاحِبِ بِالْجَنبِ وَابْنِ السَّبِيلِ وَمَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ ۗ إِنَّ اللَّـهَ لَا يُحِبُّ مَن كَانَ مُخْتَالًا فَخُورًا

Mafhum: “Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu menyekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat dan jiran jiran tetangga yang jauh dan rakan sejawat dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri.” (Surah An-Nisa, 4:36)

Tuntutan melakukan kebaikan dan tidak menzalimi jiran merupakan suatu yang perlu diambil kira dalam diri seseorang.

Sekurang-kurangnya, hadirkan perasaan common sense dalam diri anda untuk tidak melakukan perbuatan yang tidak disenangi jiran anda.

Rumah ialah tempat istirehat buat semua orang. Pasti anda memerlukan ketenangan fikiran dan juga fizikal setelah seharian penat bekerja atau berurusan dengan orang.

Disebabkan itu, rumah dikatakan sebagai tempat yang terbaik untuk mengecas semula tenaga sebelum seseorang itu kembali menyambung pekerjaannya pada hari baru.

Oleh itu, hormati jiran anda sebagai mana anda ingin dihormati. Jangan melakukan perkara yang boleh menyakiti mereka dan juga keluarganya.

لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ لَا يَأْمَنُ جَارُهُ بَوَائِقَهُ

Maksud: “Tidak akan masuk syurga orang yang membuat jirannya tidak merasa aman daripada gangguannya.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 73)

Membuang Sampah Di Dalam Tong Sampah Jiran

Bagaimana dengan mereka yang ‘tumpang’ membuang sampah di dalam tong sampah jiran? Adakah diterima kerana amalan menjaga kebersihan juga adalah dituntut dalam Islam.

Menurut pendapat ulama’, ia boleh dilakukan jika kedua-dua pihak sudah mendapat persetujuan terhadap perkara tersebut.

Hal ini bermaksud, jika jiran A sudah meminta izin untuk tumpang membuang sampah di dalam tong sampah jiran B dan dia bersetuju, maka ia adalah tidak menjadi permasalahan.

Namun, jika belum dimaklumkan dan jiran A terus membuangnya walaupun diyakini jiran B tidak kisah akan perkara tersebut, ia adalah perkara yang dilarang.

Malah, mengikut perkongsian yang telah dilakukan oleh PU Azman, ia menjadi hukum haram kerana berdosa mengganggu hak jiran, iaitu tidak memberi keamanan kepadanya.

Walaupun jiran itu dirasakan seorang yang baik hati, namun menjadi tanggungjawabnya terlebih dahulu untuk meminta izin daripada jiran tersebut.

Jika sampah yang dibuang itu adalah miliknya sendiri – Jiran A terlihat sampah Jiran B di halaman rumah Jiran A, maka tidak mengapa Jiran A memasukkannya di dalam tong sampah Jiran B.

Walau bagaimanapun, adalah lebih baik untuk Jiran A membantu membuang sampah tersebut sekali. Bukankah ia juga termasuk amalan yang mulia, bukan?

Kesimpulan

Tidak rugi berbuat baik kepada jiran. Malah, anda akan diganjari pahala yang berlipat kali ganda melalui amalan ini.

Jika anda tidak ingin seseorang berbuat jahat kepada anda, maka elakkanlah diri anda daripada melakukan kejahatan terhadap orang lain.

خَيْرُ الأَصْحَابِ عِنْدَ اللَّهِ خَيْرُهُمْ لِصَاحِبِهِ، وَخَيْرُ الجِيرَانِ عِنْدَ اللَّهِ خَيْرُهُمْ لِجَارِهِ

Maksud: “Sebaik-baik teman di sisi Allah adalah seorang yang terbaik terhadap temannya. Manakala, sebaik-baik jiran di sisi Allah adalah seornag yang paling baik dengan jirannya.” (Hadis Riwayat Tirmizi, no. 1944)

Rujukan:
Mufti Wilayah


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami