Percaya kepada malaikat itu merupakan salah satu rukun iman yang wajib dilakukan. Terdapat 10 malaikat yang wajib diketahui oleh hambaNya yang disebut dalam Al-Quran dan juga hadis.
Antara malaikat yang kita sering dengar ialah Izrail. Malaikat ini merupakan antara yang paling ditakuti selepas Mungkar dan Nankir.
Tugas Izrail ialah mencabut nyawa dan diceritakan banyak hadis dan dalil mengenainya.
Walau bagaimanapun, adakah benar nama malaikat maut ini ialah Izrail, malah dari mana datangnya nama tersebut?
قُلْ يَتَوَفَّاكُم مَّلَكُ الْمَوْتِ الَّذِي وُكِّلَ بِكُمْ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّكُمْ تُرْجَعُونَ
Mafhum: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Nyawa kamu akan diambil oleh malaikat maut yang ditugaskan berbuat demikian ketika habis ajal kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Tuhan kamu (untuk menerima balasan).” (Surah As-Sajda, 32:11)
Nama yang diberikan oleh ialah Malaikat Maut, malah tiada dalil yang sahih yang menyebutkan mengenai nama Izrail sama ada di dalam Al-Quran mahupun hadis.
ثُمَّ يَجِىءُ مَلَكُ الْمَوْتِ عَلَيْهِ السَّلاَمُ حَتَّى يَجْلِسَ عِنْدَ رَأْسِهِ فَيَقُولُ أَيَّتُهَا النَّفْسُ الطَّيِّبَةُ اخْرُجِى إِلَى مَغْفِرَةٍ مِنَ اللَّهِ وَرِضْوَانٍ
Maksud: “Kemudian datanglah malaikat maut. Dia duduk di samping kepalanya dan mengatakan: “Wahai jiwa yang baik, keluarlah menuju ampunan Allah dan redaNya.” (Hadis Riwayat Ahmad, no. 1573)
Menurut beberapa perbahasan ulama’ yang telah disebut di dalam beberapa kitab, nama ini tidak tertera di dalam Al-Quran mahupun hadis namun disebutkan di dalam beberapa kitab lain seperti Tafsir Al-Sam’ani, Fath Al-Qadir dan Tafsir Al-Muqatil.
Perkataan Izrail dikatakan berasal daripada Bahasa Ibrani yang digambarkan sebagai malaikat maut.
Tuntasnya, tidak mengapa menggelar malaikat maut sebagai Izrail kerana ia merupakan gambara yang mecabut nyawa, namun asal wujud nama tersebut tidak boleh disandarkan kepada Al-Quran dan hadis.
Apabila berbicara mengenai malaikat maut, pasti akan bermain di fikiran anda mengenai tugasnya yang akan menziarahi manusia sebanyak 70 kali dalam sehari.
Dikatakan juga melalui penziarahan ini, malaikat maut berasa amat sedih dengan manusia apabila melihat keadaan mereka yang masih lalai dengan dunia.
إِنَّ مَلَكَ الْمَوْتِ لَيَنْظُرُ فِي وُجُوهِ الْعِبَادِ كُلَّ يَوْمٍ سَبْعِينَ نَظْرَةً، فَإِذَا ضَحِكَ الْعَبْدُ بَعَثَ إِلَيْهِ يَقُولُ: يَا عَجَبَاهُ بُعِثْتُ إِلَيْهِ لأَقْبِضَ رُوحَهُ وَهُوَ يَضْحَكُ
Maksud: “Sesungguhnya malaikat maut akan melihat wajah-wajah hamba (manusia) setiap hari sebanyak 70 kali, apabila hamba tersebut ketawa maka akan diutuskan malaikat tersebut kepadanya lalu berkata: Sangat menghairankan, aku telah diutuskan kepada engkau untuk mengambil rohnya ketika dia sedang ketawa.”
‘Hadis’ ini dikatakan merupakan riwayat palsu kerana tiada kata-kata yang sahih daripada nabi sendiri.
Kerap kali kita mendengar mengenai hadis ini yang disandarkan kepada nabi, namun tanpa disedari ia adalah hadis palsu.
Oleh itu, sebelum menyebarkan mana-mana hadis, perlu disemak terlebih dahulu kesahihannya, bimbang jika manusia terlalu bersandar akan hadis yang palsu.
Wallahu a’alam.
Rujukan:
Mufti Wilayah
Konsultasi Syariah
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.