Hukum

Maulidur Rasul – Apakah Hukum Menyambutnya

Oleh Fizah Lee  •  9 Nov 2019  •  3 min baca

Kita telah memasuki bulan Rabiul Awal, iaitu bulan yang sangat bersejarah buat seluruh umat Islam. Banyak peristiwa yang telah berlaku pada bulan ini, antaranya ialah kelahiran Baginda SAW.

Baginda dilahirkan pada 12 Rabiul Awal bersamaan 20 April 571 M pada tahun gajah. Tahun ini dikenali dengan tahun gajah kerana serangan tentera Abrahah terhadap Kaabah.

Kisah perjuangan Baginda menjadi sejarah yng diingati sehingga kini dan banyak cara yang telah dilakukan untuk mengingati Baginda, salah satunya ialah dengan melakukan Maulidur Rasul.

Maulidur Rasul ialah hari memperingati kelahiran Baginda dengan melakukan beberapa amalan tertentu seperti majlis berselawat secara beramai-ramai, ceramah yang disampaikan berkisar mengenai kehidupan Baginda serta perarakan.

Sambutan Maulidur Rasul ini tidak pernah dilakukan pada zaman nabi, para sahabat mahupun golongan tabiin.

Ia mula dilakukan pada zaman Raja Al-Muzaffar, seorang raja yang berani dan adil. Sambutan ini dilakukan secara besar-besaran dan tindakannya dipuji oleh Ibn Kathir.

Hal ini kerana, dikatakan bahawa tindakan tersebut telah membantu rakyatnya untuk lebih memperingati kelahiran Baginda dengan berselawat dan memujinya. (Kitab Al-Bidayah wa Al-Nihayah 13/136)

Jika amalan ini tidak pernah dilakukan pada zaman nabi, adakah ia boleh dilakukan pada zaman kita dan apa pula hukumnya?

Menurut pendapat jumhur ulama’ dan fatwa yang dikeluarkan oleh Mufti Wilayah, terdapat dua hukum bagi menyambutnya, iaitu:

#1 – Bid’ah

Ia menjadi bid’ah kerana tidak pernah disambut oleh golongan sahabat mahupun tabiin. Tambah mereka lagi, ia boleh dikira sebagai salah satu bentuk pemujaan yang melampau kepadanya.

Hal ini ada disebutkan dalam sabda Nabi SAW yang berbunyi:

لاَ تُطْرُونِي، كَمَا أَطْرَتْ النَّصَارَى ابْنَ مَرْيَمَ، فَإِنَّمَا أَنَا عَبْدُهُ، فَقُولُوا عَبْدُ اللَّهِ، وَرَسُولُهُ

Maksud: “Janganlah kalian berlebihan dalam memujiku seperti kaum Nasrani yang memuji anak lelaki Maryam. Aku hanyalah hambaNya, maka katakanlah (mengenaiku) “Hamba Allah dan RasulNya.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 3445)

#2 – Dibolehkan

Berdasarkan jumhur ulama’ seperti Syeikh Abu Shamah, Imam Jalaluddin Al-Suyuti dan Syeikh Ibn Hajar, mereka berpendapat bahawa harus hukumnya menyambut sambutan ini.

Hal ini kerana, sambutan memperingati kelahiran Baginda dengan melakukan amalan-amalan yang tidak bertentangan dengan ajaran Islam adalah dibolehkan.

Ia dianggap sebagai bid’ah hasanah (bid’ah yang baik) dan boleh diamalkan selagi tidak mendatangkan kemungkaran yang boleh merosakkan akidah seperti pengisian yang disampaikan adalah benar, tiada unsur maksiat dan tiada percampuran antara lelaki dan perempuan.

Kesimpulan

Banyak amalan yang boleh dilakukan untuk memperingati Baginda SAW. Malah, amalan ini bukan sahaja perlu dilakukan pada hari-hari tertentu seperti Maulidur Rasul sahaja, namun pada setiap hari.

Jika ingin menyambut Maulidur Rasul, ia perlu dilakukan dengan mengikut syarat-syarat yang ditetapkan dan bukannya secara berlebihan seperti timbulnya pembaziran dan sebagainya.

Wallahu a’alam.

Rujukan:
Mufti Wilayah
Berita Harian


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami