Gaya Hidup

Benarkah ‘InsyaAllah’ Dianggap Tidak Mahu Menunaikan Janji?

Oleh Natirah Azira  •  5 Nov 2019  •  3 min baca

“InsyaAllah”

(Jika Allah menghendaki)

Kita kerap kali mendengar perkataan ini diucapkan apabila seseorang itu ingin berjanji atau merancang untuk melakukan sesuatu pada masa akan datang. Bahkan pasti ada di antara kita juga yang biasa menggunakannya. Ia sebenarnya berasal daripada perbuatan Nabi SAW sendiri.

Pada suatu hari Nabi SAW pernah ditanya oleh orang Quraisy tentang roh, kisah ashabul kahfi dan kisah Dzulqarnain, lalu baginda menjawab:

“Datanglah esok hari kepadaku agar aku ceritakan”.

Kata-kata Nabi SAW meskipun nampak kecil sahaja, namun telah ditegur oleh Allah sendiri melalui ayat 23 hingga 24 Surah Al-Kahfi.

“Dan janganlah sekali-kali kamu mengatakan terhadap sesuatu: sesungguhnya aku akan mengerjakan ini esok pagi kecuali dengan menyebut InsyaAllah…” (Surah Al-Kahfi 18:23-24)

Ini kerana, kata-kata tersebut sudah berbentuk janji dan janji wajib ditunaikan. Seharusnya janji tersebut digandingkan dengan perkataan InsyaAllah kerana Allah jua yang menentukan sesuatu hal terjadi atau tidak.

Kalimah InsyaAllah juga bukan hanya digunakan oleh Nabi SAW, bahkan juga diguna oleh Nabi Musa AS ketika berbicara dengan Nabi Khidir dan dinukilkan dalam Surah Al-Kahfi, ayat 69.

وَكَيْفَ تَصْبِرُ عَلَىٰ مَا لَمْ تُحِطْ بِهِ خُبْرًا

قَالَ سَتَجِدُنِي إِن شَاءَ اللَّـهُ صَابِرًا وَلَا أَعْصِي لَكَ أَمْرًا

“Dan bagaimana engkau akan sabar terhadap perkara yang engkau tidak mengetahuinya secara meliputi?

Nabi Musa berkata: “Engkau akan dapati aku, InsyaAllah: orang yang sabar; dan aku tidak akan membantah sebarang perintahmu”. (Surah Al-Kahfi 18:68-69)

Dalam erti kata lain, Nabi Musa benar-benar akan berusaha untuk bersabar sepanjang perjalanan yang akan dilaluinya dengan Nabi Khidir meskipun baginda masih belum tahu apa yang akan dihadapi.

Perkataan InsyaAllah Bukan Digunakan Untuk Mengelak Janji

Namun ada juga situasi yang berlaku di mana seseorang menggunakan kalimah ‘InsyaAllah’ untuk mengelak daripada berjanji. Sehingga orang mula berpendapat bahawa jika orang itu menyebut ‘InsyaAllah’ dalam sesuatu hal, dia sebenarnya tidak berminat, tidak mahu bertanggungjawab atau tidak mahu untuk melakukan perkara tersebut.

Hal ini seakan sudah menjadi budaya yang biasa sehingga kalimah ‘InsyaAllah’ disalah guna dan dianggap kalimah yang tidak mempunyai apa-apa makna.

Antara contoh situasi yang sering disalah guna ketika menyebut InsyaAllah seperti:

“InsyaAllah, malam nanti aku buat assignment tu”, sedangkan itu hanya kata-kata alasan, sedangkan dia tidak ada keinginan pun untuk melakukannya.

“InsyaAllah, 20 minit lagi aku sampai”, sedangkan dia tahu dia tidak akan berusaha untuk sampai dalam waktu yang telah disebutkan.

InsyaAllah Berjanji Atas Nama Allah

Walhal, kalimah InsyaAllah sepatutnya digunakan bagi menggambarkan kesanggupan kita melakukan sesuatu dengan bersungguh-sungguh dalam masa yang sama menyandarkannya kepada Allah, bukan semata-mata usaha kita sebagai manusia.

Kalimah ‘InsyaAllah’ sepatutnya difahami sebagai kalimah yang jika diucapkan, maka ia bermakna janji yang telah diucapkan akan terlaksana dengan baik. Hal ini kerana, jika seseorang itu berjanji dan bersungguh-sungguh ingin melaksanakannya maka Allah juga akan membantu untuk mengabulkan janji tersebut.

Bagaimana Jika Masih Belum Pasti Ingin Melakukan Sesuatu Atau Tidak

Mungkin timbul persoalan, bagaimana pula jika kita masih belum pasti ketika hendak berjanji. Kata orang, perasaan untuk melakukannya masih 50/50, maka bagaimana pula?

Sebaiknya, jika tidak mahu memenuhi janji tersebut, beritahu sahaja secara berterus terang bahawa kita tidak mahu, atau masih belum pasti. Tidak perlu berdolak-dalih dengan alasan ingin menjaga hati.

Kesimpulannya

Pendek kata, gunakanlah kalimah ‘InsyaAllah’ di tempat yang sepatutnya, kerana soal yang perlu dititikberatkan dalam perbincangan ini adalah tentang usaha dan kesungguhan yang perlu diletakkan di sebalik kalimah ‘InsyaAllah’ itu sendiri.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami