Gaya Hidup

Adakah Mimpi Bukan Islam Boleh Diterima?

Oleh Abdullah Bukhari  •  23 Oct 2019  •  4 min baca

“Dalam mimpi saya nampak jari telunjuk sedang diangkat tegak. Berikutan mimpi itu, saya cuba mencari jawapan apa sebenarnya maksud jari itu. Setelah lama mencari, akhirnya saya tahu ia adalah jari telunjuk yang diangkat ketika solat dan ia adalah lambang Tauhid. Mimpi itu menjadi titik tolak saya mendapat hidayah.”

Itu adalah kisah teman satu surau dengan saya di Selayang. Kapten Shukri asalnya beragama Kristian dan bertugas sebagai kapten sebuah kapal dagang.

Pada suatu malam beliau bermimpi melihat jari telunjuk sedang ditegakkan. Subhanallah! Mimpi itu membuka pintu hidayah untuknya.

Soalannya, bolehkah mimpi orang bukan Islam membawa petanda atau mengandungi kebenaran?

Allah itu Maha Berkuasa. Boleh sahaja Dia menjadikan mimpi mereka sebagai pintu hidayah untuk mereka atau ia menjadi pintu rahmat kepada orang lain (Fath al-Bari Syarah Sahih al-Bukhari).

Walaupun mereka tidak memiliki iman, dalam keadaan yang sangat jarang mimpi mereka boleh membawa kebenaran. Samalah juga, penipu besar seperti syaitan juga boleh bercakap benar pada sesetengah ketika apabila nyawa mereka terancam.

Ia boleh difahami dari hadith syaitan yang mengajar Abu Hurayrah R.A kelebihan ayat al-Kursi. Setelah ditangkap buat kali ketiga, si syaitan berkata:

دَعْنِي أُعَلِّمْكَ كَلِمَاتٍ يَنْفَعُكَ اللَّهُ بِهَا قُلْتُ مَا هُوَ قَالَ إِذَا أَوَيْتَ إِلَى فِرَاشِكَ فَاقْرَأْ آيَةَ الْكُرْسِيِّ لَنْ يَزَالَ عَلَيْكَ مِنْ اللَّهِ حَافِظٌ وَلَا يَقْرَبُكَ شَيْطَانٌ حَتَّى تُصْبِحَ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَدَقَكَ وَهُوَ كَذُوبٌ ذَاكَ شَيْطَانٌ
(Syaitan yang ditangkap itu merayu) Lepaskanlah aku! Aku akan ajarkan padamu suatu kalimah yang Allah akan memberikan manafaat kepadamu. (Abu Hurayrah) bertanya: Apakah ia? (Syaitan pencuri tamar lalu) berkata: Apabila engkau ingin tidur maka bacalah Ayat al-Kursi, Allah pasti menjagamu dan engkau tidak akan dihampiri syaitan sehingga pagi. Nabi SAW kemudiannya bersabda: “Dia bercakap benar walaupun sebenarnya dia amat suka berbohong” dia (si pencuri) itu sebenar syaitanSahih al-Bukhari

Al-Quran menyebut kisah mimpi orang bukan Islam yang membawa kebenaran. Surah Yusuf menceritakan perihal ini. Untuk memudahkan perbincangan, kita lihat kisah 2 mimpi dalam surah ini:

#1- Mimpi teman sepenjara nabi Yusuf A.S yang berdua (Yusuf [12:36-42]). Tafsir mimpi baginda kepada mereka berdua menjadi kenyataan.

Seorang dihukum bunuh, manakala yang seorang lagi bebas kembali berkerja sebagai pembuat air raja Mesir. Pembebasan banduan kedua ini membuka lembaran luas yang bahagia buat nabi Yusuf A.S pada kemudian hari.

#2- Mimpi pelik yang menghantui Raja Mesir. Mimpi tersebut sangat menghantuinya dan tiada siapa yang mampu memberi penjelasan yang logik. Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

Dan (pada suatu hari) raja Mesir berkata: “Sesungguhnya aku mimpi melihat: 7 ekor lembu yang gemuk dimakan oleh 7 ekor lembu yang kurus, dan aku melihat 7 tangkai (biji-bijian) yang hijau dan 7 tangkai lagi yang kering. Wahai ketua kaum (yang hadir, terangkanlah kepadaku tentang mimpiku ini, kalau kamu orang yang pandai menafsirkan mimpi.” Mereka menjawab: “Yang demikian itu adalah mimpi yang bercampur aduk, dan kami bukanlah orang yang mengetahui mimpi (yang sedemikian) itu”. Surah Yusuf 12:43-44

Ketika kegawatan ini, teman sepenjara nabi Yusuf A.S yang melihat sendiri kepandaian baginda mentafsir mimpi lantas teringat kewujudan baginda yang dizalimi dalam penjara Mesir.

Beliau lantas meminta izin untuk mencari jawapan yang mungkin diketahui oleh baginda. Allah menjelaskan kisah itu dalam lanjutan ayat berikut:

وَقَالَ الَّذِي نَجَا مِنْهُمَا وَادَّكَرَ بَعْدَ أُمَّةٍ أَنَا أُنَبِّئُكُمْ بِتَأْوِيلِهِ فَأَرْسِلُونِ
Dan (pada saat itu) berkatalah orang yang terselamat antara mereka yang berdua itu, dan yang baharu mengingati (akan pesanan Yusuf) sesudah berlalu suatu masa yang lanjut: “Aku akan memberi tahu kepada kamu tafsirannya. Oleh itu hantarkanlah daku pergi (kepada orang yang mengetahui tafsirannya) “ Surah Yusuf 12:45


Mimpi 3 orang bukan Islam dalam kisah nabi Yusuf telah menjadi sebab musabab pembebasan baginda. Baginda sendiri menyatakannya kepada nabi Ya’qub A.S di akhir kisah mereka:

وَرَفَعَ أَبَوَيْهِ عَلَى الْعَرْشِ وَخَرُّوا لَهُ سُجَّدًا وَقَالَ يَاأَبَتِ هَذَا تَأْوِيلُ رُؤْيَايَ مِنْ قَبْلُ قَدْ جَعَلَهَا رَبِّي حَقًّا وَقَدْ أَحْسَنَ بِي إِذْ أَخْرَجَنِي مِنَ السِّجْنِ وَجَاءَ بِكُمْ مِنَ الْبَدْوِ مِنْ بَعْدِ أَنْ نَزَغَ الشَّيْطَانُ بَيْنِي وَبَيْنَ إِخْوَتِي إِنَّ رَبِّي لَطِيفٌ لِمَا يَشَاءُ إِنَّهُ هُوَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ
Dan dia meletakkan kedua ibu bapanya (bersamanya) di atas kerusi kebesaran. Dan setelah itu mereka semuanya tunduk memberi hormat kepada Yusuf. Dan (pada saat itu) Yusuf berkata: “Wahai ayahku! Inilah dia tafsiran mimpiku dahulu. Sesungguhnya Allah telah menjadikan mimpiku itu benar. dan sesungguhnya Dia telah melimpahkan kebaikan kepadaku ketika Dia mengeluarkan daku dari penjara; dan Dia membawa kamu ke mari dari desa sesudah Syaitan (dengan hasutannya) merosakkan perhubungan antaraku dengan saudaraku. Sesungguhnya Tuhanku lemah-lembut tadbirNya bagi apa yang dikehendakiNya; sesungguhnya Dia lah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana Surah Yusuf 12:100

Limpahan kebebasan baginda memang berpunca dari 3 mimpi bukan islam itu. Jika mereka bertiga tidak bermimpi, nabi Yusuf A.S akan kekal merengkok dalam lubang penjara sehingga akhir hayat dan baginda juga tidak akan dikenal sebagai “Hero Penyelamat Mesir.”

Subhanallah! Hebat sekali perancangan Allah yang Maha Hebat! Mimpi menjadi sebab hidayah dan keselamatan orang beriman.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Abdullah Bukhari

Beliau merupakan seorang Sarjana Usuluddin (Tafsir Al-Quran) dan kini menjadi seorang pensyarah di Jabatan Tilawah Al-Quran, Pusat Bahasa, UIAM. Beliau juga merupakan pemikir dan penulis Nota Tafsir Wartawan al-Quran yang kerap dikongsikan bersama pembaca, lebih-lebih lagi pengguna Facebook. Selain daripada itu, penulisan beliau juga kerap tersiar di akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami