Ibadah

Antara Cara Allah Memakbulkan Doa HambaNya

Oleh Fizah Lee  •  22 Oct 2019  •  3 min baca

Doa merupakan senjata orang mukmin.

Kerap kali anda mendengar perkataan ini. Ia sering digunakan untuk membuktikan bahawa kehidupan ini adalah bergantung kepada tahap pengharapan kita kepada Allah.

Hidup yang penuh dengan ujian, dugaan, kesedihan, kegagalan dan juga kejayaan – semuanya adalah daripadaNya.

Oleh itu, Islam menganjurkan umatnya untuk berdoa kepada Allah pada setiap masa untuk diberikan kekuatan dalam menempuhi dugaan kehidupan ini kerana manusia tidak mempunyai daya dan upaya tanpa Allah.

Selain daripada mampu membantu kita memberi kekuatan, doa juga boleh memberikan kita pahala dan kebaikan, malah jika meninggalkannya tiada kemudaratan yang akan menimpa, namun diri sendiri yang akan rugi.

Malah, mereka yang tidak berdoa atau jarang menadah tangan untuk berdoa dikategorikan sebagai orang yang sombong.

Mafhum: “Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina.” (Surah Ghafir, 40:60)

Namun, seringkali persoalan-persoalan ini bermain di minda anda – mengapa Allah lambat mengabulkan doa atau bilakah Allah akan mengabulkan doa atau mengapa sesetengah doa berlalu begitu sahaja tanpa dikabulkan?

Allah itu Maha Mendengar dan Maha Berkuasa untuk mengabulkan doa setiap hambaNya, namun Allah mempunyai perancangan yang baik buat setiap hambaNya. Disebabkan itu, kadang-kadang Allah akan menyimpan doa kita untuk sesuatu yang lebih baik.

Jadi, untuk entri kali ini, kita akan melihat tata tingkat yang Allah telah aturkan untuk doa-doa hambaNya:

#1 – Doa Yang Segera Dimakbulkan

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ ۖ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ ۖ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ

Mafhum: “Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku, maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.” (Surah Al-Baqarah, 2:186)

#2 – Doa Yang Disimpan Untuk Waktu Lain

مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَدْعُو بِدَعْوَةٍ لَيْسَ فِيهَا إِثْمٌ ، وَلاَ قَطِيعَةُ رَحِمٍ ، إِلاَّ أَعْطَاهُ اللَّهُ بِهَا إِحْدَى ثَلاَثٍ : إِمَّا أَنْ تُعَجَّلَ لَهُ دَعْوَتُهُ ، وَإِمَّا أَنْ يَدَّخِرَهَا لَهُ فِي الآخِرَةِ وَإِمَّا أَنْ يَصْرِفَ عَنْهُ مِنَ السُّوءِ مِثْلَهَا قَالُوا : إِذًا نُكْثِرُ ، قَالَ : اللَّهُ أَكْثَرُ.

Maksud: “Tidak ada seorang Muslim pun yang berdoa dengan sebuah doa yang tidak tidak terkandung di dalamnya dosa dan pemutus silaturahim, kecuali Allah akan memberi salah satu dari hal berikut: Allah akan mengabulkannya dengan segera, menundanya untuk hari akhirat atau menghindarkannya dari keburukan yang melanda.” (Hadis Riwayat Tirmizi, no. 3381)

#3 – Doa Yang Diganti Dengan Terhindar Daripada Bahaya

بَلْ إِيَّاهُ تَدْعُونَ فَيَكْشِفُ مَا تَدْعُونَ إِلَيْهِ إِن شَاءَ وَتَنسَوْنَ مَا تُشْرِكُونَ

Bahkan, Dia lah (Allah) yang kamu seru, lalu Ia menghapuskan bahaya yang kamu pohon kepadaNya jika Ia kehendaki; dan kamu lupakan apa yang kamu sekutukan (dengan Allah dalam masa kamu ditimpa bahaya itu)(Surah Al-An’Anm, 6:41)

Kesimpulan

Allah berfirman dalam kalamnya mengenai boleh jadi kita suka sesuatu namun ia tidak baik untuk kita dan boleh jadi juga kita membenci sesuatu, namun ia rupanya adalah yang baik dan sesuai untuk kita.

Semuanya adalah di luar pengetahuan hambaNya kerana Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hambaNya.

Berdoa itu merupakan salah satu amalan yang perlu dilakukan bagi menjadikan kita seorang hamba yang sentiasa meletakkan pergantungan kepadaNya kerana Dia adalah pencipta kita.

Namun, jangan berburuk sangka dengan Allah apabila apa yang kita inginkan tidak menjadi kenyataan atau lambat dikabulkan kerana Allah menyimpan sesuatu yang lebih baik untuk kita.

Wallahu a’alam.

Rujukan:
Muslim.Or.Id
Harian Metro


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami