Ibadah

Bagaimanakah Kedudukan Orang Gila Di Akhirat

Oleh Hafizah Ramli  •  29 Oct 2019  •  3 min baca

Apabila melihat orang yang tidak terurus, berada di jalanan, bercakap sendirian malah menggunakan bahasa yang tidak difahami, ramai yang akan menganggap golongan ini gila atau kurang siuman. Hal ini demikian kerana, mereka tidak mampu membuat pertimbangan atau berfikir seperti biasa.

Namun, seandainya mereka dibawa menjalani pemeriksaan kesihatan, kemungkinan ‘gila’ yang difahami oleh orang ramai sebenarnya dapat diterjemahkan ke dalam bahasa perubatan. Mereka mungkin menghadapi masalah mental contohnya schizophrenia yang akan mengakibatkan mereka dapat mendengar ‘suara’ atau melihat ‘sesuatu’ yang tidak dapat dilihat oleh orang normal.

Menurut Abdul Ghafur melalui penulisannya menyebut bahawa dalam Islam ia disebut sebagai majnun yang bermaksud menutup atau tertutup. Malah, menurutnya lagi, ia adalah orang yang akalnya tidak mampu lagi diterangi oleh cahaya Ilahi.

Allah tidak pernah meninggalkan umatnya sama ada baik atau tidak akalnya. Setiap manusia akan diberi penghakiman yang sewajarnya di akhirat kelak, namun untuk golongan yang kurang siuman ini, jumhur ulama’ telah mengeluarkan pendapat berdasarkan hujah dan dalil yang ditinggalkan oleh Nabi dan para sahabat.

#1 – Gila Sejak Lahir

Syaikh Ibnu ‘Utsaimin RA menjelaskan:

المولود، وهو متخلفٌ عقلياً حكمه حكم المجنون ليس عليه تكليف؛ فلا يحاسب يوم القيامة، ولكنه إذا كان من أبوين مسلمين أو أحدهما مسلم، فإن له حكم الوالد المسلم؛ أي أن هذا الطفل يكون مسلماً فيدخل الجنة

Maksud: “Anak yang lahir dalam keadaan cacat akal, hukumnya seperti orang gila, dia tidak dibebani syariat. Oleh kerananya, amal perbuatannya tidak akan dihisab di hari kiamat kelak. Jika ia berasal dari kedua orang tua yang muslim atau salah satunya muslim, maka statusnya kan mengikut kepada orang tua yang beragama Islam. Ini bermaksud, anak ini menjadi muslim sehingga dia dimasukkan ke syurga.” (Majmu’ Fatawa wa Rasa-il ibni ‘utsaimin, 2/18)

Menurut jumhur ulama’, mereka yang kurang siuman atau mempunyai penyakit akal dan minda sejak lahir tidak dikira catatan amal sama ada baik atau buruk.

Hal ini kerana, golongan ini tidak mampu untuk menentukan antara yang baik atau buruk. Maka, mereka mengelaskan golongan ini adalah antara mereka yang akan masuk syurga tanpa hisab (yaumul hisab).

Tambah lagi, sama ada mereka Islam atau bukan Islam, keadaannya sama sahaja, iaitu mereka tidak akan dihisab di akhirat kelak.

وَمَا كُنَّا مُعَذِّبِينَ حَتَّىٰ نَبْعَثَ رَسُولًا

Mafhum: “Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapa pun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah).” (Surah Al-Isra’, 17:15)

#2 – Gila Selepas Baligh

Bagi mereka yang ditarik akalnya akibat penyakit dan ia berlaku selepas baligh atau setelah waras, jumhur ulama’ mempunyai khilaf terhadap golongan ini. Sebagai contoh, dia mula ditimpa penyakit gila berumur 30 tahun.

رفع القلم عن ثلاثة عن النائم حتى يستيقظ، وعن الصبي حتى يبلغ، وعن المجنون حتى يعقل

Maksud: “Catatan amal diangkat dari tiga jenis orang: orang tidur sampai dia bangun, anak kecil sampai dia baligh dan orang gila sampai dia sembuh dari gilanya.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari, no. 225)

Sebahagian ulama’ berpendapat bahawa golongan ini tidak akan dihisab dan dimasukkan ke syurga secara langsung. Hal ini kerana, mereka memiliki status sama seperti anak kecil yang belum baligh disebabkan akalnya yang ditarik.

Untuk pendapat kedua, sebahagian ulama’ lagi menyebut bahawa, segala amal perbuatannya sebelum gila, iaitu sepanjang berumur 30 tahun tetap akan dihisab dan dihitung dan itulah yang menjadi penentu sama ada mereka akan ke syurga atau ke neraka.

Menurut Tafsir Munir Zuhailiy hal 39 juz 15 maktabah syamilah menyebut bahawa, mereka cenderung untuk bersetuju dengan pendapat kedua.

#3 – Sekejap Waras Sekejap Gila

Para ulama’ berpendapat bahawa golongan ini akan terputus amalnya ketika mereka dalam keadaan tidak waras dan dikira pula amalnya ketika mereka dalam keadaan berakal.

Menurut kitab Al-Muktamad, 155 menyebut: “Jika ia sembuh dan berbaki masa untuknya solat
(bertakbir) maka wajib baginya solat dalam tempoh tersebut (hilang akal).”

Kesimpulan

Gila itu merupakan sejenis penyakit dan sebagai manusia biasa, adalah menjadi tanggungjawab kemanusiaan untuk membantu golongan ini.

Allah lebih mengetahui akan apa yang terbaik dan bagaimana caranya golongan ini dihisab di akhirat kelak.

Rujukan:
Mufti Wilayah
Konsultasi Syariah


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Hafizah Ramli

Merupakan seorang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami