Ibadah

5 Peringkat Dalam Solat Menurut Ibnu Qayyim

Oleh Natirah Azira  •  11 Oct 2019  •  3 min baca

Maksud iman sebenarnya merangkumi tiga perkara, iaitu ikrar di lisan bahawa seseorang itu beriman, meyakini dalam hati dan dibuktikan dengan perbuatan.

Maka salah satu tanda iman seseorang adalah dia menjaga ibadah zahir yang wajib seperti solat. Kita sedia maklum kepentingan solat sebagai tiang atau pasak dalam hidup. Tanpa solat, hidup hilang makna kehambaan yang sebenarnya.

Justeru kerana pentingnya solat, Ibnu Qayyim ada menggariskan 5 tahap solat:

#1- Peringkat Pertama

Mereka adalah orang yang menunaikan solat sekadar untuk menggugurkan kewajipan.

Kesalahan yang dilakukan pada peringkat ini seperti:

Tidak menyempurnakan wudhu – contohnya sekadar menyiram air ke atas anggota wudhu sedangkan perintah dalam berwudhu ialah dengan menggosok dan meratakan air.

Ramai juga orang yang tidak menjaga kesempurnaan wudhu khususnya wanita dengan tidak membersihkan dengan teliti solekan yang dikenakan pada wajah.

Di dalam solat pula, mereka tidak menjaga rukun-rukun dalam solat, tidak menutup aurat dengan sempurna dan lain-lain.

#2- Peringkat Kedua

Pada peringkat kedua ini, seseorang itu telah menjaga waktu solat, rukun-rukun serta batas-batas. Mereka juga adalah golongan yang telah menyempurnakan wudhu, namun ketika berada dalam solat, fikiran mereka melayang dan teringatkan perkara-perkara di luar solat.

Dia tidak sedar apa yang dikerjakan dalam solat. Jika dia solat berjemaah, dia tidak sedar apa yang dibaca oleh imam, sedar-sedar sahaja sudah salam.

#3- Peringkat Ketiga

Pada peringkat ini, orang yang bersolat lebih kurang sama seperti gologan pada peringkat kedua. Bezanya dia cuba untuk melawan bisikan-bisikan yang muncul sehingga solatnya tidak khusyuk kerana lebih memberi perhatian kepada usaha menepis fikiran-fikiran yang muncul.

Dia masih tidak dapat fokus sepenuhnya kepada apa yang dilakukan dalam solat.

#4- Peringkat Keempat

Pada peringkat ini, orang yang mendirikan solat sudah berjaya menyempurnakan hak-hak dalam solat contohnya rukun-rukun telah dilakukan semuanya dengan sempurna, dia juga menjaga batas dalam solat.

Hatinya tenggelam dalam menjaga setiap kewajipan dalam solat sehingga tidak ada satu pun yang terlepas dari perhatiannya. Tumpuan dan keinginan hatinya hanya tertumpu kepada usaha untuk mendirikan solat sebagaimana yang sepatutnya.

#5- Peringkat Kelima

Ciri pada peringkat ini sama dengan peringkat keempat, namun apa yang istimewa, mereka yang bersolat mampu menghadirkan perasaan sedang berkomunikasi dengan Allah dan merasa sedang dilihat Allah (ihsan).

Orang dalam keadaan ini tenggelam dalam kekhusyukan komunikasinya dengan Allah. Keadaan inilah dikira sebagai tahap yang paling afdhal dan oaling tinggi.

Pembahagian ini bukanlah bertujuan untuk mengelaskan manusia dalam kelompok paling baik atau tidak, tetapi untuk menjadi panduan agar kita boleh menilai sendiri kualiti solat yang dilaksanakan selama ini. Adakah dibuat sekadar sambil lewa atau kita benar-benar memaknakan solat yang didirikan.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami