Gaya Hidup

Benarkah 9/10 Punca Rezeki Adalah Dari Perniagaan

Oleh Natirah Azira  •  30 Sep 2019  •  3 min baca

“9 daripada 10 punca rezeki berasal daripada perniagaan”

Saya adalah salah seorang daripada sekalian ramai manusia di muka bumi ini yang mempercayai bahawa orang yang berniaga akan mendapat kekayaan yang luar biasa. Atau itu mungkin kerana saya terlalu banyak melihat drama di kaca TV atau video-video yang tular di media sosial tentang jutawan segera di negara ini.

Para pembaca di luar sana juga pasti pernah mendengar tentang kata-kata di atas yang menyebutkan bahawa ia berasal daripada hadis Nabi SAW sendiri. Bahkan ianya dikuatkan dengan bukti bahawa Nabi SAW sendiri menjadi seorang ahli perniagaan yang berjaya. Dikatakan bahawa kepercayaan ini disandarkan kepada hadis di bawah:

عَلَيْكُمْ بِالتِّجَارَةِ فَإِنَّ فِيْهَا تِسْعَةَ أَعْشَارِ الرِّزْقِ

Maksudnya: “Hendaklah kamu berniaga kerana padanya 9 daripada 10 rezeki.”

تِسْعَةُ أَعْشَارِ الرِّزْقِ فِي التِّجَارَةِ

Maksudnya: “9 daripada 10 rezeki berada pada perniagaan.”

Pandangan Para Ulama Berkenaan Hadis Ini

Imam Ibn Abd al-Bar pernah mengisyaratkan di dalam kitabnya bahawa hadis ini dhaif (Lihat Kitab al-Istizkar, 619/8).

Manakala Imam al-Iraqi ketika mentakhrijkan hadis ini di dalam Kitab Ihya’ Ulumuddin berkata:

Berkata Ibrahim al-Harbi di dalam Gharib al-Hadis, hadis tersebut datang daripada Nu’aim bin Abd al-Rahman dan perawi-perawinya adalah thiqah.

Dikatakan bahawa Nu’aim adalah daripada golongan sahabat seperti yang dinyatakan oleh Ibn Mandah tetapi dakwaan itu salah, kerana Nu’aim sebenarnya adalah seorang tabi’i, maka hadis tersebut jatuh kepada jenis hadis mursal.
(Hadis mursal: gugurnya nama sahabat dalam senarai perawi yang menyambungkan hadis tersebut kepada Nabi SAW) (Rujuk Kitab Al-Mughni, 419/1)

Pihak Mufti Wilayah Persekutuan juga cenderung berpandangan bahawa hadis di atas adalah dhaif kerana berlaku keguguran pada sanad hadis tersebut. Walaupun hadis tersebut adalah dhaif, tetapi berniaga adalah salah satu pekerjaan yang mulia dalam Islam.

Mulianya Sifat ‘Iffah Dalam Mencari Rezeki

Sebenarnya, Islam menggalakkan semua jenis pekerjaan tidak kira sama ada seseorang itu menjadi ahli perniagaan, ahli sukan, tukang memasak atau apa sahaja asalkan ia adalah hasil daripada usaha dan titik peluh sendiri. Rasulullah SAW juga menyebutkan bahawa tidak ada makanan lebih baik yang dimakan oleh seseorang melainkan yang diusahakan sendiri.

Nabi-nabi yang diutuskan sepanjang zaman juga mengusahakan pekerjaan mereka sendiri contohnya Nabi Daud yang menjadi tukang besi, Nabi Idris dengan kegiatan menulis dan menjahit dan Nabi Yusuf seorang bendahara negara Mesir sehingga mampu menguruskan ekonominya dengan baik.

Allah juga menyukai sifat ‘iffah iaitu menahan diri daripada meminta-minta kepada manusia. Perumpamaan yang disebutkan dalam satu hadis tentang kemuliaan orang yang berusaha mencari rezeki dengan usaha sendiri ibarat orang yang bersusah payah membawa tali-talinya dan pergi ke bukit mencari kayu bakar, kemudian bersusah payah memikulnya untuk dijual, adalah lebih baik daripada orang yang hanya meminta-minta.

Dari Abi Abdillah (Zubair) bin Awwam R.anhu, ia berkata: Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya, seorang di antara kalian membawa tali-talinya dan pergi ke bukit untuk mencari kayu bakar yang diletakkan di punggungnya untuk dijual sehingga ia bisa menutup kebutuhannya, adalah lebih baik daripada meminta-minta kepada orang lain, baik mereka memberi atau tidak”. (HR Bukhari, no. 1471)

Kita sedia maklum, sekarang adalah masa-masa yang mencabar untuk mendapatkan pekerjaan lebih-lebih lagi dalam sektor kerajaan. Jika dahulu mungkin kita berfikir bahawa orang yang bekerja dalam sektor kerajaan, maka masa depan dan kewangan lebih terjamin, tetapi kini tidak lagi.

Keadaan ekonomi yang sentiasa berubah turut memerlukan kita untuk menyesuaikan diri dengan mencuba apa jua jenis pekerjaan walau berlainan dengan bidang yang dipelajari semasa di universiti.

Saranan untuk sentiasa berusaha terkandung dalam firman Allah di bawah iaitu:

“Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing)…” (Surah Al-Jumu’ah 62:10)

Kesimpulannya, rezeki Allah bukan semata-mata terletak pada jenis pekerjaan, tetapi pada usaha dan kesungguhan yang ingin dilakukan oleh seseorang.

Rujukan: Mufti Wilayah Persekutuan


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami