Gaya Hidup

Hukum Guna Barang Orang Tanpa Izin – Adakah Dikira Mencuri?

Oleh Natirah Azira  •  23 Sep 2019  •  3 min baca

“Barang kau, barang aku juga!”

Bergaduh dengan adik-beradik kerana berebutkan barang adalah hal yang akan sering kita ingat apabila masing-masing semakin meningkat dewasa.

Pinjam baju, seluar, tudung, bahkan kadang-kadang makanan milik mereka dalam peti ais juga akan menjadi mangsa dek kenakalan kita.

Kadang-kadang tabiat meminjam ini boleh melekat sehingga kita menetap di rumah sewa dengan rakan-rakan, atau ketika berada di tempat kerja. Ekoran dari hubungan yang rapat, sesetengah orang menganggap bahawa ia hal picisan sahaja. Barang kepunyaan rakan diambil tanpa izin, dengan niat pinjam.

Namun, adakah tindakan ini dibenarkan? Atau ia juga boleh dianggap sebagai mencuri?

Di dalam kaedah fiqh Islam, terdapat satu kaedah yang digunakan ketika membahaskan isu ini yang perlu kita ketahui iaitu:

“Tidak boleh seseorang memanfaatkan sesuatu milik orang lain tanpa izinnya”

Izin di sini boleh dibahagikan kepada dua bahagian iaitu:

1. Izin Secara Langsung

Izin ini adalah izin yang biasa berlaku secara lisan contohnya meminta dan memberi izin secara terus antara dua pihak.

2. Izin Tidak Langsung (Izin dalalah)

Izin jenis ini pula merujuk kepada ‘urf atau kebiasaan. Contohnya, sekalipun tidak meminta izin, kebiasaannya kita tahu bahawa pemilik barang tersebut akan redha, tidak akan marah dan akan memberi pinjam.

Keadaan ini biasa berlaku dalam kehidupan berjiran (hubungan dengan jiran mesra dan rapat) – ingin meminjam cangkul, penyapu yang ada di luar rumah dan sebagainya.

Menurut Kitab Majmu’ Al-Fatawa (11/427), “izin secara ‘urf (kebiasaan) dianggap sama dengan izin secara lisan”.

Jika sebaliknya (pemilik barang tidak akan suka jika kita mengambil tanpa memberitahu), maka tidak boleh mengambil barangnya sekalipun dengan niat untuk meminjam. Lebih teruk lagi, jika lupa untuk memulangkan. Ia masih dikira mencuri dan tidak halal.

“Tidak halal harta seseorang kecuali dengan redha pemiliknya.” (HR. Ahmad 5/72. Syaikh Syu’aib Al Arnauth berkata bahawa hadis tersebut saahih lighoirihi).

Tambahan pula jika ia melibatkan urusan harta yang akan habis contohnya makanan dan duit.

Tidak timbul istilah kedekut kerana ia adalah hak mereka yang tidak bersangkutan dengan kita yang ingin meminjam. Jika keadaan mendesak, sebaiknya kita memaklumkan kepada mereka dengan meninggalkan pesanan (catatan dan nota) atau cara yang lebih mudah, kirim sahaja pesanan melalui mesej, seterusnya meminta maaf.

Hal ini mungkin nampak kecil bagi sesetengah pihak, namun ia sebenarnya hal yang bukan remeh kerana boleh mengganggu keharmonian perhubungan, lebih-lebih lagi di rumah ataupun di tempat kerja, dua tempat yang paling banyak kita habiskan masa. Sesungguhnya, seorang Mukmin adalah mereka yang turut menjaga urusan dengan tidak menzalimi orang lain.

Rujukan: Memanfaatkan Milik Orang Lain Harus Dengan Izin


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami