Oleh Fizah Lee • 8 Jul 2019 • 5 min baca
Filem Annabelle Comes Home yang telah mula ditayangkan di wayang sejak 26 Jun lepas telah mencetuskan fenomena dalam dunia perfileman bagi peminat-peminat cerita seram. Apabila dilihat ulasan dan juga komen berkenaan filem ini, rata-rata memberikan pendapat yang baik dan berpuas hati dengan filem tersebut.
Namun, ada juga dalam kalangan penonton yang kurang berpuas hati kerana filem kali ini kurang menakutkan dan jalan cerita serta plot yang biasa dan sudah boleh diagak sama seperti filem Annabelle yang sebelum ini.
Walau bagaimanapun, banyak mesej positif yang telah disampaikan melalui filem kali ini. Penulis melihat ia dari sudut pengajaran dan juga teguran bersama kepada diri sendiri dalam menghadapi kehidupan.
Melalui kisah ini, wujud satu watak, iaitu Daniela Rios yang dimainkan oleh Katie Sarife yang telah memberi kesan yang mendalam. Watak yang dilakonkannya dikatakan menjadi kerana mampu menimbulkan kemarahan terhadap rata-rata penonton.
Terdapat satu plot yang membuatkan penulis berfikir bahawa, kalaulah watak Daniela tidak terlalu mengikutkan nafsunya semata-mata untuk berjumpa ayahnya yang telah meninggal dunia, pasti tidak akan muncul kekecohan dan kekacauan dalam rumah tersebut.
Sikapnya yang tidak reda dengan kematian ayahnya dan terus-menerus menyalahkan diri sendiri di atas kemalangan yang berlaku telah menyebabkan hidup mereka huru-hara serta menghidupkan semula patung berhantu tersebut. Bukan itu sahaja, roh-roh lain yang telah dikurung telah diseru sehingga menimbulkan kekacauan kepada mereka. Disebabkan keegoannya untuk memanggil semula roh ayahnya, kawan-kawannya yang lain juga telah menjadi mangsa.
Dalam Islam, kita ditekankan untuk berpegang teguh kepada enam rukun Iman. Salah satunya ialah dengan percaya kepada qada’ dan qadar Allah. Takdir yang telah Allah tetapkan kepada kita merupakan suatu ujian sama ada untuk mengukuhkan iman atau tidak. Hanya diri kita yang layak dan mampu mengharunginya. Mungkin kita pernah membidas nasihat dan kata-kata semangat yang diberikan dengan jawapan-jawapan sedemikian;
‘Hanya aku yang merasakan sakit ini, kau mana tahu.’
‘Kau tidak berada di tempat aku, memanglah kau pandai memberi nasihat kepada aku.’
Dan bermacam-macam lagi dialog seperti ini yang menunjukkan bahawa lemahnya kita terhadap ujian yang diberikan Allah. Namun, sedarkah anda bahawa setiap ujian yang diberikan itu adalah bersesuaian dengan kemampuan diri sendiri. Allah tidak akan memberikan ujian di luar kemampuan kita.
Jika kita ingin membeli kasut, pasti kita akan beli yang sama saiz bukan? Jika kecil sedikit, pasti akan melecet kaki, atau jika terlebih besar, pasti tidak akan dipakai. Begitu juga dengan ujian, jika terlebih atau terkurang sudah pasti tidak dapat dikandung oleh badan sendiri.
ا يُكَلِّفُ اللَّـهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا ۚ لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا اكْتَسَبَتْ
“Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya.” (Surah Al-Baqara, 2:286)
Dalam Al-Quran, perkataan takdir telah dinyatakan sebanyak 70 kali untuk menekankan mengenai perjalanan hidup yang sedang dilalui ini adalah bersandarkan takdir dan ketentuan yang Allah berikan.
Syarat untuk mati ialah hidup. Apabila kita mempunyai nyawa, secara automatiknya kita layak untuk merasai kematian.
كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ ۗ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu.” (Surah Al-Baqara, 3:185)
Mereka yang telah pergi tidak akan kembali. Orang yang mati akan berada di alam barzakh untuk menerima balasan baik atau buruk. Jika diseru walau dengan apa cara sekali pun, mereka tidak akan kembali.
Mereka yang tidak menerima hakikat akan mula meminta dan percaya kepada makhluk ghaib. Inilah yang akan menyebabkan syirik kepada Allah kerana kita telah meletakkan kepercayaan dan pergantungan selain daripada Allah.
Penulis teringat sebuah drama bersiri genre seram yang pernah popular di TV3 suatu masa dahulu yang bertajuk Waris. Ia mengisahkan mengenai si isteri yang tidak reda dengan kematian suaminya dan berjumpa dengan bomoh untuk menghidupkan kembali si suami.
Pada awalnya, si isteri bahagia dengan kehidupan barunya bersama suaminya yang dihidupkan semula, namun akhirnya ia memakan diri sendiri dan mendatangkan kekacauan sehingga kepada beberapa keturunannya yang lain.
Walaupun ia hanyalah fiksyen, namun tidak salah untuk kita mengambil iktibar daripada kesalahan yang ditunjukkan. Malah, sebenarnya banyak kisah penyembahan kepada alam ghaib dan kematian yang berlaku dalam masyarakat kita.
Apabila ajal yang telah ditetapkan oleh Allah telah sampai, kehidupan mereka di atas muka bumi ini sudah dikira tamat. Sebagai manusia, tugas terakhir kita kepadanya ialah dengan mendoakan kesejahteraan mereka di alam sana, bukan dengan meratapi kematian mereka. Ia sekali gus akan membuatkan roh mereka tidak tenang di alam sana.
Jika yang dipuja itu benar-benar hidup kembali, percayalah itu bukan manusia yang pernah kita dambakan sebelum ini, sebaliknya jin dan syaitan yang menyerupai manusia dan berusaha untuk menyesatkan kita yang masih hidup.
Jika dilihat pada pengakhiran filem ini, watak Ms Warren menyampaikan kata-kata yang positif kepada Daniela, iaitu setiap yang berlaku bukanlah atas kesalahannya dan dia perlu berhenti menyalahkan dirinya sendiri agar bapanya boleh hidup dengan tenang di alam sana.
Walaupun filem ini bukanlah filem Islam atau yang mengamalkan kepercayaan dan gaya hidup muslim, namun kita boleh mengambil iktibar dan mesej positif yang disampaikan melalui filem ini. Yang hidup perlu meneruskan kehidupan seperti biasa.
Tidak salah menangisi kematian mereka, namun jangan sampai meratapi dan menyalahkan diri sendiri sehingga hilang akidah dan kepercayaan kepada Tuhan. Yang paling penting ialah dengan sentiasa mengirimkan doa kepada mereka.
وَلَوْ أَنَّهُمْ رَضُوا مَا آتَاهُمُ اللَّـهُ وَرَسُولُهُ وَقَالُوا حَسْبُنَا اللَّـهُ سَيُؤْتِينَا اللَّـهُ مِن فَضْلِهِ وَرَسُولُهُ إِنَّا إِلَى اللَّـهِ رَاغِبُونَ
Mafhum: “Dan (amatlah baiknya) kalau mereka berpuas hati dengan apa yang diberikan oleh Allah dan RasulNya kepada mereka, sambil mereka berkata: “cukuplah Allah bagi kami; Allah akan memberi kepada kami dari limpah kurniaNya, demikian juga RasulNya; sesungguhnya Kami sentiasa berharap kepada Allah.” (Surah At-Tawba, 9:59)
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.