Hukum

Hukum Melakukan Dua Pekerjaan Dalam Satu Masa

Oleh Fizah Lee  •  30 May 2019  •  6 min baca

مَا أَكَلَ أَحَدٌ طَعَاماً قَطْ خَيْراً مِنْ أَنْ يَأْكُلَ مِنْ عَمَلِ يَدِهِ وَإِنَّ نَبِيَّ اللهِ دَاوُدَ كَانَ يَأْكُلُ مِنْ عَمَلِ يَدِهِ

“Tidaklah seseorang memakan makanan yang lebih baik dari memakan hasil jerih payahnya sendiri sendiri.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Islam sangat menuntut umatnya untuk melakukan pekerjaan. Ia dinilai sebagai ibadah kerana melalui pekerjaan, kita membantu menyempurnakan hak kepada diri sendiri serta fardu kifayah.

Semasa penciptaan Nabi Adam a.s, Allah telah memberikan ilham dan akal sebagai fitrah kepada manusia untuk berfikir. Apabila Nabi Adam telah diturunkan ke muka bumi, beliau telah melakukan pelbagai bentuk pekerjaan untuk menampung dirinya dan keluarganya.

Malah, ada riwayat yang mengatakan bahawa, beliau dikatakan mahir dalam bercucuk tanam sehingga hasil daripada pertaniannya itu mampu menampung dirinya.

Islam telah menilai pekerjaan sebagai sebuah kewajipan yang amat penting untuk melaksanakan fardu kifayah. Sembilan daripada sepuluh punca rezeki dikatakan bahawa datangnya daripada perniagaan. Malah Baginda SAW juga merupakan seorang peniaga yang amanah.

Walau bagaimanapun, tidak kiralah apa jua pekerjaan yang kita lakukan, jika niatnya ikhlas serta dilakukan dengan amanah dan penuh tanggungjawab, maka Allah akan melimpahkan rezeki yang melimpah ruah dari pintu dan sudut yang tidak disangka-sangka.

وَجَعَلْنَا النَّهَارَ مَعَاشًا

Mafhum: “Dan Kami telah menjadikan siang (dengan cahaya terangnya) – masa untuk mencari rezeki?” (Surah An-Naba, 78:11)

Bekerja di dalam Islam bukan sahaja untuk memenuhi keperluan duniawi, malah lebih kepada tujuan beribadah kepada Allah.

Oleh itu, umat Islam digalakkan untuk melakukan pekerjaan yang sesuai dengan kemampuannya. Antara syarat untuk menjadi pekerja yang baik ialah:

#1 – Halal Di Sisi Islam

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِن طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ وَاشْكُرُوا لِلَّـهِ إِن كُنتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ

Mafhum: “Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah jika betul kamu hanya beribadat kepada-Nya.” (Surah Al-Baqara, 2:172)

#2 – Mengikut Kemampuan

قَالَتْ إِحْدَاهُمَا يَا أَبَتِ اسْتَأْجِرْهُ ۖ إِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَأْجَرْتَ الْقَوِيُّ الْأَمِينُ

Mafhum: “Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: “Wahai ayah, ambillah dia menjadi orang upahan (mengembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat lagi amanah.” (Surah Al-Qasas, 28:26)

#3 – Tanggungjawab

إِنَّ اللَّـهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ ۚ إِنَّ اللَّـهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِ ۗ إِنَّ اللَّـهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا

Mafhum: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.” (Surah An-Nisa, 4:58)

Banyak lagi syarat yang dianjurkan dalam Islam supaya kita mampu menjadi pekerja yang tidak pecah amanah dan bertanggungjawab. Ini adalah untuk menentukan hasil dan harta yang diperoleh adalah halal agar tidak susah di akhirat kelak.

Berikut merupakan antara pekerjaan yang boleh menjadikan rezeki seseorang itu tidak berkat dan haram:

#1 – Riba

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا الرِّبَا أَضْعَافًا مُّضَاعَفَةً ۖ وَاتَّقُوا اللَّـهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Mafhum: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu makan atau mengambil riba dengan berlipat-lipat ganda, dan hendaklah kamu bertakwa kepada Allah supaya kamu berjaya.” (Surah Ali-Imran, 3:130)

#2 – Judi

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Mafhum: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala serta mengundi nasib dengan batang-batang anak panah adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (Surah Al-Ma’ida, 5:90)

#3 – Menipu Dalam Urus Niaga

Menurut sabda Nabi SAW yang bermaksud:

“Adapun sebahagian daripada isi neraka Wail di akhirat kelak adalah terdiri daripada peniaga yang menipu atau mengurangi timbanga.” (Hadis Riwayat Muslim)

#4 – Harta Rampasan

Harta rampasan yang datang daripada merompak, meragut dan memeras ugut dikira haram.

#5 – Zalim

Maksud: “Dan jangan sekali-kali orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah dari kemurahanNya – menyangka bahawa keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka. Bahkan ia adalah buruk bagi mereka.” (Surah Ali-Imran, 3:180)

#6 – Monopoli

Keadaan ini terjadi apabila peniaga yang menyimpan stok keperluan asas seperti gula, beras dan lain-lain dengan tujuan untuk menunggu harga barangan tersebut naik, barulah akan dijual ke pasaran untuk keuntungan berganda.

#7 – Rasuah

Melalui sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Majah, Rasulullah SAW bersabda:

Maksud: “Allah melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Oleh itu, sebagai umat Islam yang sangat mementingkan halal dan haram, kita perlu lebih berjaga-jaga dengan rezeki yang akan masuk ke dalam tubuh badan kita serta anak-anak kita supaya tidak tergolong dalam golongan mereka yang lalai.

Rasulullah SAW bersabda yang berbunyi:

Maksud: “Akan datang kepada manusia suatu masa (pada waktu) seseorang tidak lagi menghiraukan sesuatu yang diraihnya, apakah dari (sumber) yang halal atau dari (sumber) yang haram.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan An-Nasai)

Bolehkah Melakukan Kerja Lain

Selagi sesebuah pekerjaan itu boleh dijadikan sumber makanan dan pendapatan yang halal buat dirinya, maka seseorang itu boleh melakukan apa sahaja pekerjaan yang dirasakan sesuai sama ada sepenuh masa ataupun hanya separuh masa.

Bahkan, sebelum ini juga, kita telah digalakkan oleh pihak atasan untuk melakukan seberapa banyak pekerjaan bagi menampung kewangan sendiri.

Timbul pula persoalan, adakah dibolehkan bagi seseorang pekerja melakukan dua atau tiga kerja dalam satu masa?

Sesebuah syarikat pasti telah menetapkan kontrak atau syarat-syarat tertentu kepada staf mereka demi menjaga prestasi syarikat dan pekerja.

Melalui persoalan di atas, kita dapat melihatnya melalui contoh yang dibawakan, iaitu Ahmad yang bekerja sebagai Akauntan. Di samping itu, dia juga sedang melakukan perniagaan secara atas talian.

#1 – Dibenarkan oleh Majikan

Jika syarat oleh syarikat Ahmad telah membenarkan pekerjanya untuk melakukan banyak pekerjaan, maka ia adalah dibolehkan dan rezekinya dikira halal bagi kedua-dua pekerjaan tersebut.

#2 – Tidak Dibenarkan Oleh Majikan

Jika syarat yang telah ditetapkan oleh syarikat Ahmad tidak membenarkan pekerjanya melakukan dua pekerjaan dalam satu masa, maka Ahmad perlu mengikut dan mematuhi polisi syarikatnya itu. Hal ini bermaksud, Ahmad tidak boleh melakukan perniagaan atas taliannya semasa waktu kerjanya sebagai akauntan. Ia juga tidak dibolehkan menggunakan harta benda syarikat seperti wi-fi dan sebagainya.

Namun, jika dia melakukan urusan jual beli selepas waktu pejabatnya, maka itu adalah dibolehkan.

#3 – Dibenarkan Namun Bersyarat

Jika syarikat Ahmad telah membenarkan pekerjanya untuk melakukan pekerjaan lain dengan menetapkan syarat-syarat tertentu, seperti prestasi kerja yang perlu dijaga, tidak menggunakan harta syarikat secara berlebihan dan sebagainya, maka pekerja tersebut perlu menjaga dan mematuhinya.

Jika tidak dijaga prestasi kerja dan melanggar polisi syarikat, maka itu adalah tidak dibolehkan. Ia boleh menyebabkan rezeki yang diperoleh tidak berkat kerana kerja atau sumber utama kita adalah melaluinya.

Hal ini juga bertepatan dengan konsep amanah. Setiap pekerjaan yang diberikan perlulah dilakukan dengan amanah dan bersungguh-sungguh.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَخُونُوا اللَّـهَ وَالرَّسُولَ وَتَخُونُوا أَمَانَاتِكُمْ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

Mafhum: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).” (Surah Al-Anfal)

Majikan Sebagai Tauladan

كُلُّكُمْ رَاعٍ فَمَسْئُوْلٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، فَاْلأَمِيْرُ الَّذِي عَلَى النّاسِ رَاعٍ وَهُوَ مَسْئُوْلٌ عَنْهُم، وَالرِّ جُلُ رَاعٍ عَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ وَهُوَ مَسْئُوْلٌ عَنْهُمْ، وَالْمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ عَلَى بَيْتِ بَغْلِهَا وَوَلَدِهِ وَهِيَ مَسْئُوْلَةٌ عَنْهُمْ، وَالْعَبْدُ رَاعٍ عَلَى مَالِ سَيِّدِهِ وَهُوَ مَسْئُوْلٌ عَنْهُ، أَلاَ فَكُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُوْلٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ

Maksud: “Setiap kalian adalah pemimpin dan akan diminta dipertanggungjawabkan tentang apa yang dipimpinnya. Seorang amir (ketua) yang memimpin manusia, ia memimpin mereka dan akan diminta dipertanggunjawabkan tentang mereka. Seorang lelaki memimpin atas keluarganya dan ia akan diminta tanggungjawab tentang mereka. Seorang wanita adalah pemimpin atas rumah suami dan anaknya. Dia akan diminta tanggungjawab tentang mereka dan seorang budak pemimpin atas harta tuannya dan akan diminta tanggungjawab terhadapnya. Ketahuilah setiap kalian adalah pemimpin dan setiap kalian akan dipertanggungjawabkan ke atas dirinya sendiri.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Melalui hadis di atas, kita sedar bahawa setiap dari kita merupakan pemimpin terhadap diri sendiri. Pimpinlah diri anda supaya menjadi muslim yang berdisiplin dan amanah dalam setiap ibadah dan pekerjaan yang dilakukan.

Seorang pemimpin atau majikan dipandang tinggi oleh orang bawahan. Hal ini kerana, mereka merupakan contoh teladan yang akan menjadi ikutan buat semua. Jika baik majikannya, maka pekerjanya akan menjadi pekerja yang taat. Atau jika sebaliknya, maka begitulah hasilnya.

Oleh itu, tunjukkanlah contoh yang baik buat diri semua orang agar kita mampu mengutip pahala yang baik hasil daripada ikutan orang-orang sekeliling kita.

Harta Yang Haram


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami