Seringkali kita mendengar mengenai perumpamaan yang diletakkan kepada solat witir. Ada yang berpendapat bahawa ia merupakan solat tambahan yang dilakukan malah ada juga yang mengatakan ia merupakan penutup kepada solat-solat sunat yang telah dilakukan.
Namun, apa itu maksud witir yang sebenar? Adakah ia merupakan amalan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW atau hanya amalan yang dibuat-buat?
Witir sebenarnya berasal daripada bahasa Arab, iaitu وِتْر yang bermaksud ganjil. Manakala, dari segi istilah, ia membawa erti solat yang dilakukan dalam bilangan rakaat yang ganjil selepas solat Isyak sehingga terbitnya fajar.
Ia dinamakan berikut kerana jumlah rakaat yang dilakukan adalah ganjil sama ada satu, tiga, lima dan seterusnya. Malah, ia tidak boleh dilakukan dalam bilangan yang genap.
Terdapat tiga cara melakukan witir. Contoh yang dapat dibawakan ialah melakukannya dengan tiga rakaat:
عَنِ ابْنِ عُمَرَ أَنَّهُ قَال : كَانَ النَّبِيُّ يَفْصِل بَيْنَ الشَّفْعِ وَالْوِتْرِ بِتَسْلِيمَةٍ
Maksud: “Dari Ibnu Umar RA, Nabi SAW telah memisahkan antara rakaat yang genap dengan rakaat yang ganjil melalui salam.” (Hadis Riwayat Ahmad)
Melalui hadis di atas, dapat dilihat bahawa Rasulullah melakukan witir dengan tiga rakaat dan dua kali salam. Ini adalah seperti yang diamalkan oleh mazhab Syafi’e.
كَانَ وتِرُ بِخَمْسٍ لاَ يَجْلِسُ إِلاَّ فِي آخِرِهَا
Maksud: “Rasulullah SAW pernah solat witir lima rakaat tanpa duduk tahiyat kecuali di bahagian akhir.” (Hadis Riwayat Tirmizi)
Rasulullah juga dikatakan pernah melakukan solat witir sebanyak lima kali rakaat dan dengan hanya satu salam. Jika diamalkan berdasarkan dalil ini, sebahagian jumhur ulama’ berpendapat bahawa tidak perlu dibacakan tahiyat awal, sebaliknya hanya tahiyat akhir sahaja.
Menurut mazhab Syafi’e dan Hambali, cara ini boleh dilakukan. Malah terdapat masjid-masjid yang turut mengamalkan cara ini.
Namun, mereka berbeza pendapat dengan mazhab Maliki yang meletakkan hukum makruh bagi solat witir hanya dengan satu kali salam. Hal ini kerana, tiada kerehatan dalam solat.
عَلَّمَنَا أَصْحَابُ مُحَمَّدٍ أَنَّ الْوِتْرَ مِثْل صَلاَةِ الْمَغْرِبِ فَهَذَا وِتْرُ اللَّيْل وَهَذَا وِتْرُ النَّهَارِ
Maksud: “Para sahabat Nabi SAW mengajarkan bahawa solat witir itu serupa dengan solat Maghrib. Solat ini adalah witir malam dan solat Maghrib adalah witir di petang hari.” (Hadis Riwayat Tirmizi)
Menurut pendapat mazhab Hanafi, witir ini dilakukan sama dengan solat Maghrib dan mempunyai tasyahud awal, iaitu duduk tahiyat awal untuk membacanya. Mazhab Hanafi membolehkan solat witir dengan cara ini.
Namun, berbeza pula dengan pendapat mazhab Syafi’e yang mengatakan ia boleh dilakukan namun kurang disukai. Malah sebagaian jumhur ulama’ berpendapat bahawa makruh hukumnya solat dengan cara ini kerana ia sama dengan solat Maghrib.
Oleh itu, kita lihat pada hari ini, imam-imam melakukan solat witir dengan tiga rakaat dan dua kali salam kerana ia merupakan sunnah yang dianjurkan dan diterima oleh para ulama’ berdasarkan mazhab Syafi’e.
Mereka juga berpendapat bahawa solat perlu dilakukan dengan penuh tenang, maka perlu ada kerehatan dalam solat tersebut, tidak kiralah witir itu dilakukan sebanyak tiga atau lima rakaat sekali pun.
Solat witir boleh dilakukan selepas melakukan solat sunat Tarawih dan juga solat malam yang lain. Secara tepatnya, ia boleh dilakukan selepas solat Isya sehingga terbit fajar, iaitu sebelum solat Subuh.
Namun, ada beberapa persoalan yang timbul, iaitu adakah perlu melakukan witir selepas Tarawih jika berniat ingin melakukan Tahajjud atau bolehkah melewatkan solat witir, iaitu tidak terus melakukannya selepas Tarawih?
Berdasarkan persoalan ini, terdapat dua pendapat yang telah dikeluarkan oleh jumhur ulama’, iaitu:
Para ulama’ berhujah dengan mengemukakan hadis nabi yang bermaksud: “Tidak ada dua witir dalam satu malam.” (Hadis Riwayat Tirmizi)
Mazhab Hanafi, Maliki dan Hambali berpendapat bahawa tidak perlu melakukan solat witir selepas Tarawih jika ingin menunaikan solat malam lain selepasnya walaupun jarak masa yang agak lama.
Malah, dalam mazhab Syafi’e juga dikatakan pendapat yang sama. Namun, boleh sahaja jika ingin melakukan witir selepas tarawih walaupun ingin melakukan solat malam selepasnya.
Dalam Mazhab Syafi’e, boleh dilakukan solat witir walaupun jika sudah berniat untuk melakukan solat sunat malam. Hal ini kerana, bimbang jika terlupa atau tidak terbangun untuk tahajjud.
Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud:
“Sesiapa yang merasakan dirinya tidak mampu untuk bangun pada penghujung malam, digalakkan untuk mengerjakan solat witir pada awal malam, tetapi bagi sesiapa yang merasakan dirinya mampu dan yakin untuk bangun pada penghujung malam, sebaiknya mengerjakan solat witir pada akhir malam.” (Hadis Riwayat Ahmad, Muslim, Tarmizi dan Ibnu Majah)
الْوِتْرُ لَيْسَ بِحَتْمٍ كَهَيْئَةِ الْمَكْتُوبَةِ وَلَكِنَّهُ سُنَّةٌ سَنَّهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
Maksud: “Solat witir bukanlah sebuah keharusan namun ia adalah sunnah yang selalu diamalkan oleh Rasulullah SAW.” (Hadis Riwayat An-Nasai’I dan Tirmizi)
وَإِنَّ اللَّهَ وِتْرٌ يُحِبُّ الْوِتْرَ
Maksud: “Sesungguhnya Allah itu witir dan mencintai yang witir (ganjil).” (Hadis Riwayat Tirmizi dan Abu Daud)
إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ زَادَكُمْ صَلاَةً صَلُّوهَا فِيمَا بَيْنَ صَلاَةِ الْعِشَاءِ إِلَى صَلاَةِ الصُّبْحِ الْوَتْرُ الْوَتْرُ
Maksud: “Sesungguhnya Allah menambahkan satu solat kepada kalian, maka lakukanlah solat tersebut di antara solat Isya dan solah Subuh, iaitu solat witir. Solat witir!” (Hadis Riwayat Ahmad)
Hukum solat witir adalah harus. Jadi, tiada salah jika ingin melakukannya secara berjemaah atau berseorangan dan secara selepas Tarawih atau menangguhkannya sehingga selepas Tahajjud.
Malah, tidak mengapa jika tidak diamalkan, namun ia merupakan amalan yang sering dilakukan oleh Rasulullah. Oleh itu, adalah lebih baik untuk mengamalkannya daripada meninggalkannya.
Rasulullah SAW sentiasa menjaga hubungannya dengan Allah walau dengan sekecil-kecil ibadah. Bahkan, solat witir itu walaupun dilihat hanya sebagai ibadah sunat, namun besar pahalanya di sisi Allah.
حَدَّثَنَا أَبُو الْوَلِيدِ الطَّيَالِسِيُّ وَقُتَيْبَةُ بْنُ سَعِيدٍ الْمَعْنَى قَالَا حَدَّثَنَا اللَّيْثُ عَنْ يَزِيدَ بْنِ أَبِي حَبِيبٍ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ رَاشِدٍ الزَّوْفِيِّ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ أَبِي مُرَّةَ الزَّوْفِيِّ عَنْ خَارِجَةَ بْنِ حُذَافَةَ قَالَ أَبُو الْوَلِيدِ الْعَدَوِيُّ خَرَجَ عَلَيْنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ قَدْ أَمَدَّكُمْ بِصَلَاةٍ وَهِيَ خَيْرٌ لَكُمْ مِنْ حُمْرِ النَّعَمِ وَهِيَ الْوِتْرُ فَجَعَلَهَا لَكُمْ فِيمَا بَيْنَ الْعِشَاءِ إِلَى طُلُوعِ الْفَجْرِ
Maksud: “Telah diceritakan kepada kami Abu Walid dan Qutaibah dari Kharijiah, Abu Al-Walid al-Adawi berkata: Rasulullah SAW menemui kami dan berkata: “Sesungguhnya Allah telah mewajibkan bagi kalian sebuah solat yang dia lebih baik bagi kalian daripada unta merah, iaitu solat witir. Dan ia telah dilakukan diantara solat Isya sehingga terbit fajar.” (Hadis Riwayat Abu Daud)
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.