Oleh Natirah Azira • 23 May 2019 • 3 min baca
Sedar tidak sedar kita sudah hampir memasuki tempoh sepuluh hari terakhir dalam bulan Ramadan. Apa khabar puasa yang kita laksanakan? Adakah kita telah menjaganya sebaik mungkin? – Sahur walaupun seteguk air, meninggalkan kata-kata yang buruk, menjaga solat dan juga hal-hal lain.
Allah menyediakan ganjaran yang tidak terkira banyaknya buat mereka yang tidak hanya berpuasa, malah menjaga kualiti puasanya. Allah akan membalasnya secara khusus buat mereka yang berpuasa – bayangkan orang yang anda sayangi berkata ‘saya akan memberikan hadiahnya sendiri kepada awak bila kita berjumpa nanti’. Bukan melalui khidmat pos laju atau ‘delivery‘. Pasti hati berbunga-bunga.
Bukan melalui malaikat tetapi Allah akan memberikannya sendiri kepada orang yang berpuasa. Bayangkanlah di penghujungnya anda mendapat ganjaran puasa yang sempurna yang tidak ada cela.
كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ لَهُ ، إِلاَّ الصَّوْمَ فَإِنَّهُ لِى ، وَأَنَا أَجْزِى بِهِ
“Setiap amalan manusia adalah untuknya. Kecuali amalan puasa itu untuk Allah dan Dia yang nanti akan membalasnya” (HR. Bukhari no. 5927 dan Muslim no. 1151).
Dikatakan bahawa syurga mempunyai lapan pintu dan salah satu pintunya bernama Ar-Rayyan yang dikhususkan untuk orang yang berpuasa sahaja.
عَنْ سَهْلٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ فِي الْجَنَّةِ بَابًا يُقَالُ لَهُ الرَّيَّانُ يَدْخُلُ مِنْهُ الصَّائِمُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ لَا يَدْخُلُ مِنْهُ أَحَدٌ غَيْرُهُمْ يُقَالُ أَيْنَ الصَّائِمُونَ فَيَقُومُونَ لَا يَدْخُلُ مِنْهُ أَحَدٌ غَيْرُهُمْ فَإِذَا دَخَلُوا أُغْلِقَ فَلَمْ يَدْخُلْ مِنْهُ أَحَدٌ
Dari Sahl RA, Nabi SAW telah bersabda: “Sesungguhnya dalam syurga ada satu pintu yang disebut dengan Ar-Rayyan, yang pada hari Kiamat tidak akan ada orang yang masuk ke syurga melewati pintu itu kecuali orang-orang yang berpuasa.
Tidak akan ada seorangpun yang masuk melewati pintu tersebut selain mereka. Lalu dikatakan kepada mereka; Mana orang yang berpuasa?, maka orang yang berpuasa berdiri menghadap. Tidak akan ada seorang pun yang masuk melewati pintu tersebut selain mereka. Apabila mereka telah masuk semuanya, maka pintu itu ditutup dan tidak akan ada lagi seorang pun yang masuk melewati pintu tersebut”. (HR Bukhari No: 1763, Status Hadis Sahih)
Ar-Rayyan berasal daripada perkataan ‘Al-Riyy’ yang bermaksud puas, tidak haus dan tidak dahaga. Bermakna golongan yang memasuki pintu ini tidak akan pernah merasa haus lagi sebagaimana ketika berpuasa di dunia.
Saat itu, orang yang berpuasa akan menjadi VIP dan masuk melalui pintu khusus. Jika di dunia kita dijemput hadir ke majlis penting, kita menjadi VIP atau paling kurang pun menjadi orang kuat VIP, itupun sudah terasa bangga maka apatah lagi di akhirat kelak.
Allah memberi ganjaran tersebut kerana di dunia mereka telah menahan diri dan syahwat selama sebulan lamanya. Tidak makan, tidak minum, tidak melakukan hal-hal yang dilarang bahkan menambah lagi dengan amalan sunat yang lain seperti membaca Al-Quran, bersedekah dan menunaikan solat malam seperti Tarawih.
“Jika engkau meninggalkan sesuatu karena Allah ‘azza wa jalla, maka Allah akan mengganti padamu dengan yang lebih baik” (HR. Ahmad 5: 78, sanad hadis ini sahih kata Syaikh Syu’aib Al Arnauth).
Allah Taala berfirman,
يَدَعُ شَهْوَتَهُ وَأَكْلَهُ وَشُرْبَهُ مِنْ أَجْلِى
“Disebabkan dia telah meninggalkan syahwat dan makanan keranaKu” (HR. Bukhari no. 7492 dan Muslim no. 1151).
Setiap kali kita merasa penat dan berat, ingatlah bahawa kita sedang mengumpul bekalan untuk kemudahan di akhirat kelak. Kita sedang membayar ‘deposit’ untuk kunci pintu Al-Rayyan yang akan kita peroleh di akhirat kelak. InsyaAllah.
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.