Oleh Natirah Azira • 8 May 2019 • 3 min baca
Masjid dilihat sudah mula meriah menjelang waktu malam dengan aktiviti berbuka puasa dan juga solat tarawih. Ada masanya, jemaah terlalu ramai sehingga saf ‘melimpah’ sehingga ke luar. Ada pula yang memilih untuk solat di bahagian masjid yang jauh dan bukan dewan solat utama. Bolehkah hal ini dilakukan. Bagaimana pula dengan saf yang tidak bersambung?
Mengikut keterangan dari pihak Mufti Wilayah Persekutuan, terdapat syarat yang perlu ditepati bagi qudwah (ikutan) dari luar masjid. Syarat-syaratnya adalah seperti berikut:
1. Hendaklah tiada penghadang yang menegah daripada musyahadah (melihat kepada imam atau makmum yang sah qudwahnya dengan imam).
2. Hendaklah tiada penghalang bagi istitraq (boleh makmum berjalan sampai kepada imam tanpa perlu mengundur dan berpaling daripada kiblat).
3. Tidak melebihi 300 dzira’(hasta) di antara imam di dalam masjid dan makmum di luarnya. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 295-297; Nail al-Raja, hlm. 147)
*Jika 1 hasta dikira sebanyak 45 cm, maka 300 hasta mendekati 135 meter. Ia dikira bermula dari bahagian belakang masjid. Pendapat ini mengikut Mazhab Syafie.
Pendapat Ulama’ Malikiyyah
Solatnya sah selama boleh mengikuti imam baik melalui pembesar suara atau melihat imam.
Pendapat Ulama Syafieyyah
Membolehkan solat daripada luar masjid jika jaraknya masih terpisah sejauh minima 300 dziro’ (hasta).
Pendapat Mazhab Hanbali
Tidak disyaratkan bersambungnya saf, tetapi ada dua syarat yang mesti dipenuhi:
– Pertama, boleh melihat imam atau sebahagian makmum (saf).
– Kedua, mendengar melalui pembesar suara.
Imam Ibn hajar al-Haitami menyebutkan pada bab sekiranya makmum dan imam di dalam masjid yang sama:
صَحَّ الِاقْتِدَاءُ إجْمَاعًا وَإِن بَعُدَتْ الْمَسَافَةُ وَحَالَتْ الْأَبْنِيَةُ الَّتِي فِيهِ الْمُتَنَافِذَةُ الْأَبْوَابِ إلَيْهِ
Maksudnya: Sah mengikut imam secara ijma’ walaupun jarak yang jauh dan bangunan mempunyai laluan serta pintu yang menghubungkan. Lihat Tuhfah al-Muhtaj (2/313)
Kata Imam al-Nawawi:
ولو وقف في علو وإمامه في أسفل أو عكسه شرط محاذاة بعض بدنه بعض بدنه
Maksudnya: “Sekiranya makmum berada di platform yang tinggi dan imamnya di bawah, atau sebaliknya, (sah qudwah) dengan syarat bertentangan sebahagian badan makmum dan dengan badan imam.” Beliau berkata lagi: “makruh kedudukan makmum lebih tinggi daripada imam atau sebaliknya, melainkan terdapat keperluan maka hukumnya adalah disunatkan.” Lihat Minhaj al-Thalibin ( 1/41).
Manakala Imam Ibn Imad pula berkata:
“Jika solat di atas bumbung yang berada di luar masjid maka ikutannya tidak sah kerana berlainan bangunan dan kerana tidak bertentangan imam dengan makmum. Demikian dinaskan oleh Syeikh Abu Muhammad, jika berdiri makmum di halaman yang di dalam masjid maka hukumnya seperti masjid juga. Adapun halaman di luar masjid, maka berkata Imam al-Rafi’ie sesungguhnya jumhur ulama’ telah memberi hukumnya seperti masjid pada sah ikutan makmum dengan imamnya”. Lihat al-Qaul al-Tam Fi Ahkam al-Makmum wa al-Imam (90).
Jika ada keperluan untuk mengikut imam daripada tempat yang jauh dari dewan solat yang utama (di bahagian bangunan yang masih dikira sebagai masjid) kerana perlu mengejar masa untuk bertugas contohnya pegawai keselamatan, maka solatnya masih sah dan diberi kelonggaran dalam hal merapatkan saf.
Persoalan ketiga, jika rumah terlalu dekat dengan masjid dan mempunyai pintu yang menghubungkan, maka majoriti ulama menghukumkan masih sah. Sebagaimana pendapat Imam Syafie tentang perihal jarak 300 hasta, dalam hal ini juga tidak disyaratkan untuk melihat imam, cukup mendengar suara sahaja.
Keadaan di masjid mungkin menjadi sedikit tidak selesa apabila ramai jemaah yang berkunjung, dengan kepanasan yang terasa, dengan suara kanak-kanak dan sebagainya. Namun itulah masjid tempat berkumpul orang-orang beriman, yang ingin meraih ganjaran pahala yang istimewa serta tempat berkumpul para Malaikat yang mendoakan setiap kebaikan yang dilakukan.
Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan
Rumaysho.com
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.