Gaya Hidup

4 Hikmah Disebalik Pengharaman Arak

Oleh Fazli Abdullah  •  9 May 2019  •  4 min baca

Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”Surah Al-Ma’idah 5:90

Kita sedia maklum bahawa arak adalah minuman yang diharamkan dalam agama Islam. Ada sebab Allah mengharamkan arak. Larangan dalam Islam bukan bererti mengongkong tetapi menjaga. Menjaga diri daripada terjerumus dalam kebinasaan dan kerosakan.

Di sini disenaraikan empat hikmah disebalik pengharaman arak. Semoga artikel ‘kecil’ ini dapat merungkai kekusutan dan kemusykilan dalam benak hati kita. Semoga kita semua di dalam rahmatNya. Amin.

#1- Menjaga Agama

Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Tidak berzina seorang penzina ketika dia berzina dia dalam keadaan beriman. Tidak meminum arak oleh seseorang ketika meminumnya dia dalam keadaan beriman. Dan tidak mencuri seorang pencuri ketika dia mencuri, berada dalam keadaan beriman.”Hadis riwayat Bukhari dan Muslim

Orang yang beriman dan patuh pada suruhan agama, dia tidak akan sesekali mencuba mendekati bahkan meminum arak.

Arak akan mencemarkan imej dan peribadi seseorang yang beragama Islam. Jelas-jelas Islam melarang umatnya meminum arak. Arak juga akan menjejaskan dan menghalang daripada kualiti solat seseorang.

Bayangkan jika solat dalam keadaan mabuk, ia akan menganggu fokus dan menyebabkan kehilangan akal yang waras. Serta terlupa rakaat, tersilap bacaan dan merosakkan solat. Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:

“Wahai orang yang beriman, janganlah kamu melakukan solat, sedang kamu dalam keadaan mabuk, sehingga kamu mengerti apa yang kamu ucapkan.”Surah an-Nisa’ 4:43

#2- Menjaga Kesihatan Tubuh Badan

Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Dan Kami tetap memberi kemudahan kepadamu untuk (melaksanakan segala perkara) Ugama yang mudah diterima oleh akal yang sihat.”Surah Al-A’la 87:8

Menurut laporan di beberapa buah negara Eropah, mereka mengakui bahawa di hospital-hospital bagi setiap tiga buah katil terdapat satu katil yang diduduki oleh pesakit yang disebabkan arak. Ini bermakna satu pertiga pesakit-pesakit di hospital tersebut adalah berpunca dari arak.

Selain itu, arak boleh menyebabkan kerosakan hati. Penyakit ini lebih banyak menimpa kepada orang yang ketagih arak berbanding orang lain pada kadar 6 atau 8 kali ganda. Bukan itu sahaja, ia juga menyebabkan saluran darah tersekat.

Terbuktilah bahawa arak menyebabkan banyak masalah dan penyakit kepada tubuh badan. Oleh itu, pengharaman arak menjadi antara satu langkah awal yang tepat untuk menjaga kesihatan tubuh badan kita daripada penyakit yang berbahaya.

#3- Menjauhi Pembaziran

Meminum arak akan menyebabkan banyak kerugian dan pembaziran. Ketagihan yang melampau akan memberi kesan kepada kewangan.

Sebuah majalah di Britain menganggarkan bahawa kerugian kewangan akibat alkohol dari segi masalah perubatan adalah 640 juta pound dalam setahun. Kerugian keseluruhan akibat daripada minuman memabukkan dianggarkan sebanyak 20,000 juta pound sterling dalam setahun.

Menurut sebuah buku mengenai perubatan pula melaporkan masalah di Amerika, bahawa kerugian negara Amerika akibat kekurangan produktiviti dan kehilangan pekerjaan akibat minuman arak melebihi 71 juta dolar setahun.

Inilah hikmahnya Allah mengharamkan arak. Arak telah menyebabkan pelbagai kesan buruk yang akan menjejaskan sesebuah negara. Sesungguhnya Allah tahu mana yang baik untuk hambaNya.

#4- Menjaga Keselamatan Diri, Keluarga dan Negara

Akal akan menjadi tidak waras apabila arak diminum dalam jumlah yang tertentu. Disebabkan itu, sesetengah tingkah laku dan perbuatan dilakukan tanpa sedar dan tidak terkawal.

Banyak kesan buruk yang akan menimpa keluarga dan masyarakat khususnya. Penderaan isteri dan anak-anak, kes rogol, kes kemalangan yang boleh membawa maut dan pelbagai kesan yang membimbangkan. Menurut sebuah buku bertajuk Safe Food mengatakan bahawa:

1. Satu pertiga dari kemalangan jalan raya berpunca daripada arak.
2. Satu perlima dari pencabulan seksual atas kanak-kanak adalah disebabkan arak.
3. Satu perdua daripada korban kebakaran adalah disebabkan arak.

Oleh itu, janganlah sesekali teringin untuk mencuba minuman yang memabukkan ini. Ia bukan sahaja memberi kesan kepada si peminum, malah kepada keluarga, masyarakat dan bahkan negara turut menerima tempiasnya.

Kesimpulan

“Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya dan mereka bertanya pula kepadamu: Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)? Katakanlah: “Dermakanlah – apa-apa) yang berlebih dari keperluan (kamu). Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) supaya kamu berfikir.”Surah Al-Baqarah 2:219

Allah S.W.T telah memberi akal kepada kita untuk berfikir dan membuat pilihan yang bijak dan betul. Dengan akal yang sihat, kita dapat mengetahui mana yang baik dan mana yang buruk kepada kita. Maka, gunakanlah akal dengan sebaiknya.

Jelaslah segala bukti dan fakta yang disampaikan sudah cukup untuk membuatkan kita yakin dengan pengharaman arak ini.

Allah sayang akan hambaNya dan Dia melarang kita dari masuk ke dalam kebinasaan. Sesungguhnya Allah itu Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Rujukan:
1. Keindahan Islam-Hikmah-Hikmah di Sebalik Pensyariatan (Penterjemah: Dr Abdul Basit Abd. Rahman)
2. Al-Quran dan Terjemahan


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fazli Abdullah

Dilahirkan di Kedah. Hobi membaca dalam genre agama dan motivasi. Mengemari lagu nasyid. Menjadikan penulisan sebagai medan penyebaran ilmu dan kebenaran. tzkrh.com adalah ruangan penulisan pertamanya menulis dengan serius.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami