Sering terdengar di cuping-cuping telinga berkenaan kata-kata yang kurang menyenangkan jika berlakunya sesebuah perkahwinan di antara orang kaya dan kurang berkemampuan, antara yang tinggi latar belakang pendidikan dan yang rendah sedikit dan sebagainya.
“Eh, bukan ke pengantin perempuan ada PhD lulusan luar negara, takkanlah suaminya itu hanya pegawai biasa?”
Atau ada juga kata-kata ini, “Eh, kau tu perempuan kampung, boleh ke kahwin dengan ‘orang besar-besar’?”
Dan macam-macam lagi kata-kata yang kurang enak didengar di telinga berkenaan perkahwinan yang tidak setaraf ini atau dalam Islam kita gelarnya sebagai sekufu.
Apa itu sekufu? Adakah ia syarat sah untuk mendirikan sebuah rumah tangga atau hanya syarat yang telah diletakkan oleh orang dulu-dulu untuk menjaga taraf dan kehormatan masing-masing?
Sekufu itu sinonim dengan kesepadanan. Ia disebut dalam Bahasa Arab sebagai kafa’ah (كفاءة) yang bermaksud sama (المساوة) atau seimbang (المماثلة).
Dari segi istilah, ia telah diterangkan melalui kitab al-Fikh al-Manhaji, iaitu persamaan taraf antara lelaki dan perempuan dari beberapa aspek yang telah dilihat melalui pendapat beberapa mazhab.
Dalam Islam, konsep sekufu ada diterangkan untuk ‘membina masjid’. Para ulama’ mengatakan bahawa ia bukanlah syarat sah untuk membina sesebuah perkahwinan namun ia hanya sebuah syarat untuk meneruskan perkahwinan, dalam erti kata lain, ia hanyalah sekadar syarat untuk memilih pasangan dan juga bagi membantu interaksi dalam rumah tangga berjalan dengan lebih baik.
Qutaibah menceritakan kepada kami, Abdullah bin Wahab menceritakan kepada kami daripada Said bin Abdullah al-Juhani daripada Muhammad bin Umar bin Ali bin Abi Talib daripada ayahnya daripada Ali bin Abi Talib. Sesungguhnya Nabi SAW bersabda kepada beliau:
يَا عَلِيُّ ، ثَلاَثٌ لاَ تُؤَخِّرْهَا : الصَّلاَةُ إِذَا آنَتْ ، وَالجَنَازَةُ إِذَا حَضَرَتْ وَالأَيِّمُ إِذَا وَجَدْتَ لَهَا كُفْئًا
“Wahai Ali, tiga perkara jangan engkau lewatkan. Solat jika ia telah masuk, pengurusan jenazah jika telah datang kematian dan mengahwinkan seorang anak perempuan jika jumpa yang sekufu.” (Hadis Riwayat al-Tirmizi)
Menurut mazhab Syafi’e, sekufu ini tidak ditekankan terhadap keluarga lelaki, namun ia diletakkan terhadap perempuan dan walinya supaya mereka boleh menerima bakal suami dengan redha.
Sesebuah perkahwinan itu tetap sah jika tidak sekufu sekiranya pihak perempuan dan walinya bersetuju untuk menerima perkahwinan itu. Namun, rata-rata kita lebih mendengar pandangan dan komen netizen daripada memilih kebahagiaan sendiri.
Terdapat perbezaan mengenai sekufu di antara empat mazhab yang kita tahu.
1. Mazhab Maliki
Menurut Mazhab Maliki pasangan itu hendaklah sekufu dari segi agama dan juga kesihatan jasmaninya.
2. Mazhab Hanbali
Mereka perlu sekufu dari segi agama, pekerjaan, taraf ekonomi, sosial dan juga nasab(keturunan).
3. Mazhab Syafi’e Dan Mazhab Hanafi
Pasangan itu perlu sekufu dalam pekerjaan, agama, nasab, perlu merdeka, dilihat dari faktor sosial dan ekonomi serta sejahtera dari kecacatan.
وَأَنكِحُوا الْأَيَامَىٰ مِنكُمْ وَالصَّالِحِينَ مِنْ عِبَادِكُمْ وَإِمَائِكُمْ ۚ إِن يَكُونُوا فُقَرَاءَ يُغْنِهِمُ اللَّـهُ مِن فَضْلِهِ ۗ وَاللَّـهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ
Mafhum: “Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui. (Surah An-Nur, 24:32)
Pernah kita lihat banyak kes, jika bukan muslim ingin mengahwini muslim, maka dia perlu menukar agamanya. Muslim tidak boleh murtad, haram hukumnya keluar dari Islam. Sama agama di sini juga dimaksudkan dengan seseorang lelaki yang fasik itu perlu dipertimbangkan untuk menjadi suami kepada isteri yang solehah. Bimbang jika nanti perkahwinan itu boleh memudaratkan iman dan agama perempuan solehah itu.
Jika perempuan yang bakal dijadikan isteri itu kurang didikan agamanya manakala lelaki itu baik agamanya, maka itu tidak mengapa kerana lelaki merupakan pemimpin dalam keluarga dan jika diyakini boleh membimbing perempuan itu ke jalan yang benar, maka perkahwinan itu adalah digalakkan.
أَفَمَن كَانَ مُؤْمِنًا كَمَن كَانَ فَاسِقًا ۚ لَّا يَسْتَوُونَ
Mafhum: “(Jika demikian halnya) maka adakah orang yang beriman sama seperti orang yang fasik? Mereka tidaklah sama (dalam menerima balasan).” (Surah As-Sajda, 32:18)
Dari segi pekerjaan, digalakkan untuk kaum lelaki mempunyai pekerjaan yang lebih sedikit berbanding dengan kaum perempuan. Namun, sesebuah perkahwinan itu sah jika perempuan, wali dan pihak lelaki bersetuju dengan taraf pekerjaan mereka walaupun masing-masing tidak sekufu.
Contohnya, lelaki itu hanya bekerja sebagai pegawai keselamatan manakala isterinya sebagai pengetua sekolah, asalkan pekerjaan yang dilakukan adalah halal.
عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ أَطْيَبَ مَا أَكَلَ الرَّجُلُ مِنْ كَسْبِهِ وَوَلَدُهُ مِنْ كَسْبِهِ
Maksud: “Daripada ‘Aisyah, Rasulullah SAW bersabda; Sesungguhnya sebaik-sebaik harta yang dimakan oleh seseorang itu ialah hasil dari usahanya dan anaknya itu termasuk dalam usahanya.” (Hadis Riwayat An-Nasa’i)
تَخَيَّرُوْا لِنُطَفِكُمْ وَأَنْكِحُوْا الأَكْفَاءَ وَأَنْكِحُوْا إِلَيْهِمْ
Maksud: “Pilihlah tempat yang baik untuk meneruskan keturunanmu dan kahwinkanlah mereka yang sekufu dan kahwinkanlah mereka.” (Hadis Riwayat Al-Hakim)
Kecacatan di sini ialah kesihatan. Mazhab Syafi’e membahagikan kecacatan kepada dua, iaitu kecacatan yang mengaibkan seperti sakit AIDS, HIV dan kusta serta kecacatan yang kecil dan tidak mengaibkan seperti buta sebelah mata atau cacat pedengaran.
Sekiranya perempuan itu dikahwinkan oleh walinya dengan seorang lelaki yang tidak sekufu tetapi atas kerelaannya, maka perkahwinan itu adalah sah.
Keturunan atau nasab juga perlu diambil kira kerana Islam menekankan supaya menikah dengan pasangan yang baik.
Mafhum: “Dan Allah menjadikan bagi kamu dari diri kamu sendiri pasangan-pasangan (isteri), dan dijadikan bagi kamu dari pasangan kamu: anak-anak dan cucu-cicit, serta dikurniakan kepada kamu dari benda yang baik lagi halal; maka patutkah mereka (yang ingkar itu) percaya kepada perkara yang salah (penyembahan berhala), dan mereka kufur pula akan nikmat Allah.” (Surah An-Nahl, 16:72)
Mafhum: “Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan.” (Surah An-Nur, 24:32)
Adapun syarat ini tidak lagi terpakai pada masa sekarang kerana ‘hamba’ tidak lagi ada dalam Islam.
تَخَيَّرُوْا لِنُطَفِكُمْ وَأَنْكِحُوْا الأَكْفَاءَ وَأَنْكِحُوْا إِلَيْهِمْ
Maksud: “Pilihlah tempat yang baik untuk meneruskan keturunanmu dan kahwinkanlah mereka yang sekufu dan kahwinkanlah mereka.” (Hadis Riwayat Al-Hakim)
Sebaiknya perlu dilihat dari segi sosial dan ekonomi seseorang agar tidak memudaratkan perkahwinan mereka. Jika kita membaca ulasan oleh pengamal undang-undang di media sosial, ramai yang menyatakan bahawa salah satu daripada penyebab utama kepada masalah perceraian ialah disebabkan kewangan.
Sekufu masih wajar sebagai syarat untuk meneruskan perkahwinan agar setiap pasangan akan berasa selesa dengan mahligai yang dibina. Walau bagaimanapun, jika pasangan bersetuju untuk dikahwinkan dengan sesiapa, maka tiada masalah. Perlu difahami bahawa ‘sekufu’ hanyalah pemudah bagi seseorang itu menilai dan memilih pasangan.
وَالَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Mafhum: “Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.” (Surah Al-Furqan, 25:74)
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.