Dewasa ini, kita sering disapa dengan pelbagai berita dan musibah yang melanda. Dibuka sahaja Facebook, Instagram mahupun Twitter, banyak berita peperangan yang terjadi di dunia luar. Ada juga bencana alam yang terjadi di beberapa buah negara yang kurang bernasib baik seperti kita seperti letusan gunung berapi di Bandung baru-baru ini.
Pernah kan, apabila kita mendengar berita ini, pasti hati kita akan meruntun sedih dan tidak dapat untuk membayangkan bagaimana perasaan mereka yang mengalaminya.
Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.
Satu pengajaran yang kita boleh belajar ialah, kuatnya hati mereka dalam menghadapi ujian-ujian tersebut, malah ada di antara mereka yang masih mampu tersenyum.
Apabila kita melihat perkongsian yang dilakukan oleh aktivis-aktivis dalam dan luar negara, banyak info dan maklumat yang akan kita peroleh. Dari segi sumbangan yang perlu disalurkan, bagaimana keadaan semasa di sana dan sebagainya.
Sebagai contoh, kita dapat lihat perkongsian dan perjuangan oleh Heliza Helmi berkenaan perjalanan beliau dalam membantu mangsa peperangan di Gaza, Syria, Palestin dan banyak lagi.
Sebenarnya, itu semua bukti dan tanda Allah menyayangi hamba-hambaNya. Allah tidak meletakkan ujian tanpa mengira sesuatu yang tidak dapat ditanggung oleh hambaNya. Allah juga meletakkan ujian ke atas bahu seseorang untuk menguji tahap keimanan mereka.
لَا يُكَلِّفُ اللَّـهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا
Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.
(Surah Al-Baqarah, 2:286)
Sebagai saudara semuslim yang mendengar berita-berita musibah tersebut, kita perlu sentiasa mengirimkan doa kepada mereka agar mereka kuat dalam menghadapi ujian tersebut.
Terdapat beberapa doa yang telah dianjurkan oleh Rasulullah SAW, antaranya ialah:
إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ، اللَّهُمَّ أجرْهُم فِي مُصِيبَتِهِمْ، وَأَخْلِفْ لَهُمْ خَيْرًا مِنْهَا
Innalillahi wa inna ilaihi roji’un, Allahumma ajirhum fii mushibatihim, wa akhlif lahum khoiron minha
Maksud: Sesungguhnya, kita milik Allah dan sungguh hanya kepadaNya kita akan kembali. Ya Allah, berilah mereka pahala dalam musibah mereka dan berilah ganti yang lebih baik.
Ini adalah berdasarkan sabda nabi yang telah diriwayatkan oleh Ummu Salamah, iaitu:
مَا مِنْ مُسْلِمٍ تُصِيْبُهُ مُصِيْبَةٌ فَيَقُولُ مَا أَمَرَهُ اللهُ: إِنَّا لِلهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ اللَّهُمَّ أْجُرْنِي فِي مُصِيْبَتِي وَاخْلُفْ لِي خَيْرًا مِنْهَا؛ إِلاَّ أَخْلَفَ اللهُ لَهُ خَيْرًا مِنْهَا
Maksud: Tiada seorang Muslim yang ditimpa musibah, lalu ia mengatakan apa yang diperintahkan Allah (iaitu); innalillahi wa inna ilia roji’un. Ya Allah, berilah aku pahala atas (musibah) yang menimpaku, dan berilah ganti bagiku yang lebih baik darinya; kecuali Allah memberikan kepadanya yang lebih baik darinya. (Hadis Riwayat Muslim)
Ramai yang menganggap bahawa doa ini hanya untuk mereka yang mengalami kematian sahaja. Anggapan ini perlu ditepis dan dilempar jauh-jauh kerana ia sebenarnya adalah kalimat yang diungkapkan apabila kita mendengar saudara kita mengalami musibah seperti terlibat dalam kemalangan, peperangan mahupun bencana alam.
Dalam Islam, kita disuruh untuk menjaga hati dan perasaan orang sekeliling daripada tersinggung. Oleh itu, berdasarkan beberapa riwayat yang diceritakan, doa ini akan dibaca oleh Rasulullah SAW secara perlahan atau dalam diam sahaja.
Cara bacaan ini telah diriwayatkan dari Abu Ja’far Muhammad bin Ali yang telah diriwayatkan melalui Sunan al-Tirmizi dan Sunan Ibnu Majah, dari Ibnu Umar, dari Umar bin al-Khattab, Rasulullah SAW telah bersabda:
اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِيْ عَافَانِيْ مِمَّا ابْتَلَاكَ بِهِ وَفَضَّلَنِيْ عَلَى كَثِيْرٍ مِمَّنْ خَلَقَ تَفْضِيْلاً
Maksud: “Segala puji bagi Allah yang telah menyelamatkanku dari musibah yang Allah timpakan kepadamu dan yang telah memuliakanku atas orang yang banyak, kecuali ia akan diselamatkan dari musibah tersebut, musibah apapun juga selama ia hidup.” (Hadis Riwayat Abu Hurairah)
Setiap orang akan merasa berbagai jenis ujian dalam hidupnya sama ada berat atau ringan, dalam jangka masa panjang atau pendek dan kecil atau besar. Sebagai hamba, kita perlu bersedia untuk menerima ujian itu untuk meningkatkan lagi tahap keimanan kita.
Jadilah muslim yang berkualiti yang sentiasa mengambil berat akan saudara semuslimnya. Kirimkan doa kepada mereka yang sedang ditimpa musibah, supaya suatu hari nanti mungkin mereka juga akan melakukan hal yang sama kepada kita.
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.