Seringkali kita terkeliru apabila ingin membezakan antara mentadabbur dan mentafsirkan ayat Al-Quran. Jangan tersilap dalam mendefinisikan dua perkara ini ya? Mari kita lihat penjelasannya secara ringkas di dalam artikel ini.
Apakah pengertian tadabbur dan tafsir ?
Tadabbur ialah merenungkan ayat Al-Quran untuk mencari petunjuk daripada dalil ayat tersebut untuk diterapkan di dalam ilmu dan amal. Tadabbur juga salah satu cara untuk mengambil hikmah, pengajaran dan menghayati ayat-ayat Allah SWT serta mengkiaskan pengajaran tersebut terhadap kehidupan secara peribadi, organisasi atau masyarakat.
Khatirah (lintasan hati) yang kata jamaknya bermaksud khawatir juga adalah termasuk di dalam definisi ini.
Tafsir ialah mendefinisikan makna ayat dan penjelasan satu persatu terhadap ayat-ayat Allah yang termaktub dalam Al-Quran. Penafsiran ayat Al-Quran juga memerlukan seseorang yang cukup ilmunya dan pakar dalam bidang ilmu bahasa Arab, ilmu tafsir, ilmu usul fiqh, nasikh wa mansukh, dan lain-lain ilmu yang berkaitan dengan penjelasan maksud ayat-ayat Allah SWT di dalam Al-Quran.
Tafsir dikhususkan kepada para ulama kerana ia adalah satu bidang ilmu yang tinggi. Adapun tadabbur merupakan satu tuntutan kepada umat Islam (Bahkan manusia secara keseluruhannya) kerana ia adalah sumber hidayah, petunjuk dan jalan yang lurus bagi semua manusia.
Allah SWT berfirman, “Dan sesungguhnya telah Kami permudahkan Al-Quran itu untuk peringatan, maka tiadakah orang yang mahu mengambil peringatan?” – Surah Al-Qamar ayat 17.
1. Mengungkap makna tersirat ayat.
2. Tujuan untuk mengetahui makna ayat, asbab nuzul, nahu, peristiwa dan lain-lain hukum.
3. Mempunyai syarat khusus supaya tidak melampaui makna daripada ayat-ayat Allah yang tersirat.
4. Dengan adanya tafsir, maka lebih mudah untuk mentadabbur.
1. Menghayati maksud ayat dan merefleksi untuk kehidupan diri.
2. Mengambil manfaat dan menerapkan ayat pada iman dan amal.
3. Cuba memahami ayat secara umum.
4. Merupakan tujuan daripada penurunan Al-Quran itu sendiri yang mendorong seorang hamba untuk tunduk dan patuh terhadap aturanNya yang terkandung di dalam Al-Quran.
Tiada satu ayat pun dalam Al-Quran yang tidak memberi pengajaran buat diri kita. Setiap kali kita mentadabbur ayat Al-Quran pasti kita akan mempelajari hikmah dan nasihat yang begitu banyak. Segala peringatan yang Allah SWT sebut di dalam Al-Quran sewajarnya menjadi pegangan dan ingatan buat diri kita setiap hari.
Teman pembaca sekalian, jika kita tidak mampu menangis kerana masih kurang penghayatan kita terhadap ayat-ayat Allah maka menangislah kerana kita tidak mampu untuk memahaminya.
Teruskanlah berusaha sungguh-sungguh untuk menjadikan Al-Quran sebagai sahabat yang kita boleh berinteraksi dengannya. Bukankah Al-Quran ini adalah kalam Allah? Kata—kata Allah Yang Maha Agung. MasyaAllah, rugilah kalau setiap hari kita terlepas daripada membaca Al-Quran.
Kita mahu Al-Quran menjadi syafaat di akhirat kelak, anehnya untuk membukanya dan membaca walau sepotong ayat setiap hari pun kita masih malas.
Bila nak mula? Sekaranglah saat terbaik. Mulakanlah hari kita dengan membaca Al-Quran walaupun dengan hanya sepotong ayat. Tutuplah hari kita juga walau dengan sebaris ayat Al-Quran. Lama-kelamaan kita pasti menjadi orang yang mencintai Al-Quran.
Jom belajar bahasa syurga? Hari-hari baca Al-Quran ya?
Sungguh besar hikmah daripada membaca dan mengajarkan Al-Quran. Bukan sahaja dapat pahala malah dapat mendidik hati kita menjadi lebih baik. Seluruh kehidupan kita juga lebih teratur dan berkah. Percayalah!
Allah SWT menurunkan Al-Quran kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibril. Hikmah daripada penurunan Al-Quran ini adalah untuk diri kita sebenarnya. Al-Quran ini untuk kita amalkan. Kita nak rasa Al-Quran ini macam hidangan lazat dari langit. Subhanallah!
Di akhir artikel ini, penulis ingin berkongsi serangkai doa yang boleh kita amalkan agar kita sentiasa berusaha memperbaiki diri.
Maksudnya: “(Mereka berdoa dan berkata): “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau memberi petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisi-Mu, sesungguhnya Engkau jualah Tuhan yang melimpah-limpah pemberian-Nya.” – Surah Ali Imran ayat 8.
Wallahualam.
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.