Keluarga

Sikap Empati Yang Dipandang Enteng Dalam Perhubungan

Oleh Baha'uddin Hamizan  •  2 Feb 2019  •  4 min baca

Dalam hiruk pikuk kita menjalani kehidupan yang terlalu sibuk mencari nafkah diri dan keluarga, kita sering beranggapan bahawa nafkah itu semestinya hanya berupa bentuk material seperti wang untuk membayar komitmen bil, sewaan dan hutang seisi keluarga.

Walhal ada satu aspek lain yang juga penting untuk kita tidak mengabaikannya sama sekali yang menjadi asasi kita semua selaku manusia iaitu nafkah spiritual seperti kasih sayang, perhatian, pendidikan, belas kasihan, empati, dihormati, dilindungi dan seumpamanya.

Pada kali ini penulis hendak mengajak pembaca semua berfikir semula mengenai kepentingan untuk kita berhenti sebentar dan merenung berkenaan dengan sifat empati yang semakin ramai orang abaikan dalam menjaga perhubungan. Tidak kisah lah sama ada hubungan sahabat handai, ahli keluarga mahupun pasangan lelaki dan wanita.

Mengapa Persoalan Seperti Empati Yang Penulis Berminat Hendak Bangkitkan?

Kalau persoalan seperti kasih sayang, perhatian dan lain-lainnya ramai orang mungkin boleh tangkap apa yang ada dalam fikiran tetapi empati masih ramai yang tidak mengerti. Sehingga ramai sekali tersilap dalam membezakan empati dan simpati.

Menurut seorang ahli falsafah sosiologi Roman Krznaric empati itu bermaksud “empathy is something that anyone can cultivate in their daily life.” Atau erti maksudnya sikap meletakkan perasaan kita pada orang lain atau cuba meletakkan diri kita dalam kasut orang lain.

Saya ada sempat menonton sebuah video yang padat dan ringkas berkenaan empati yang disampaikan oleh Brene Brown (PhD) seorang professor psikologi di University of Houston Texas yang mana beliau ada kemukakan perbezaan antara simpati dan empati.

Ramai orang tersalah faham mengenai empati sehingga apabila mereka mempraktikkan simpati disangkanya sebagai empati walhal dia cuma kasihankan orang itu dengan cara yang luar dari kerangka masalah, bukan jauh di dasar permasalahan.

Simpati berbeza dengan empati, simpati adalah satu sikap di mana kita cuma melihat seseorang yang berada dalam kesusahan dari luar sudut seperti sedih melihat dia menangis, sedih lihat dia lapar dan penilaian kita hanya berasaskan fizikal luaran seperti mimik muka.

Bahkan kadangkala pengamal simpati ini suka selesaikan masalah seseorang itu tanpa mendengar dahulu atau mengadakan komunikasi yang serius (deep conversation).

Mereka mendengar tetapi setelah itu cepat memberi jawapan, segera menghukum dan gemar melakukan perbandingan masalah diri dia dengan si peluah tadi. Contohnya si peluah bercakap tentang masalah tunang dia yang gemar buat dirinya tergantung tak bertali tetapi si pengamal simpati tadi akan mencelah dengan berkata;

“Sekurang-kurangnya kamu dah bertunang, sabar sahajalah. Tengok aku ini masih belum bertunang pun tahu?”

Walhal si peluah itu tadi masalahnya tidak sama, situasinya berbeza, tunangnya orang lain dan dari segenap aspek semuanya berbeza. Namun bagi si pengamal empati pula dia akan mendengar tanpa melakukan sebarang komentar sehinggalah si peluah itu sendiri meminta suatu jawapan bimbingan.

Pengamal empati akan cuba letakkan dirinya dalam kasut si peluah yang mana wajahnya akan berkerut dan menghadap sama-sama perasaan itu. Dia cuba ambil masalah si peluah itu lalu dimasukkan ke dalam poketnya agar dia turut menjiwai perasaan si peluah.

Contohnya bila peluah meluahkan masalah, si pengamal empati akan melakukan cara sentuhan seperti pelukan atau memberi tisu sebagai tanda sokongan moral secara mendalam.

Kalau kita ambil contoh dari kisah Rasulullah SAW sendiri baginda pernah menjadi pengamal empati seperti kisah ini:

“Bahawa suami Barirah adalah seorang hamba bernama Mughith. Aku seakan masih terbayang dia mengikuti Barirah dari belakang serta menangis sehingga airmatanya mengalir atas janggutnya. Nabi SAW berkata kepada ‘Abbas: “Wahai ‘Abbas, tidakkah kau hairan melihat cintanya Mughith kepada Barirah dan bencinya Barirah kepada Mughith?”. Lalu Nabi SAW berkata (kepada Barirah): “Tidak mahukah jika engkau kembali kepadanya”. Barirah berkata: “Apakah engkau memerintahkanku?”. Nabi SAW bersabda: “Aku hanya mencadangkan”. Kata Barirah: “Aku tidak memerlukan dia”.
(Riwayat Bukhari)

Nabi SAW tidak menghukum terus perbuatan si Barirah yang menolak cintanya si Mughith sekalipun baginda ada kapasiti sebagai seorang pemimpin umat islam yang amat disegani dan diiktiraf oleh Allah SWT sebagai utusanNya namun baginda lebih banyak cuba memahami keadaan si Mughith.

Kalau kita di tempat baginda, mungkin kita terus mencadangkan sesuatu yang diluar dari batas seperti menyuruh-nyuruh Barirah menerima cinta bekas suaminya itu semula. Rasulullah SAW bersabda:

حزَارَ النَّبِىُّ -صلى الله عليه وسلم قَبْرَ أُمِّهِ فَبَكَى وَأَبْكَى مَنْ حَوْلَهُ فَقَالَ « اسْتَأْذَنْتُ رَبِّى فِى أَنْ أَسْتَغْفِرَ لَهَا فَلَمْ يُؤْذَنْ لِى وَاسْتَأْذَنْتُهُ فِى أَنْ أَزُورَ قَبْرَهَا فَأُذِنَ لِى فَزُورُوا الْقُبُورَ فَإِنَّهَا تُذَكِّرُ الْمَوْتَ »

Rasulullah menziarahi makam ibunya, lalu beliau menangis, kemudian menangis pula lah orang-orang di sekitar beliau. Beliau lalu bersabda: “Aku meminta izin kepada Rabb-ku untuk memintakan ampunan bagi ibuku, namun aku tidak diizinkan melakukannya. Maka aku pun meminta izin untuk menziarahi kuburnya, aku pun diizinkan. Berziarah-kuburlah, kerana itu dapat mengingatkan engkau akan kematian” (Riwayat Muslim)

Para sahabat yang berada di sekeliling baginda sedang melakukan empati iaitu turut berkongsi perasaan sedih bersama baginda SAW. Itulah empati yang sebenar. Berkongsi rasa, memahami, mendengar dahulu dan mengekspresikan perasaan dengan cara yang sepatutnya.

Cuma bagi seorang Islam kita dituntut agar menjaga adab ketika meluahkan rasa sedih seperti tidak meratap berlebihan yang boleh mendatangkan kesan buruk pada emosi dan keadaan sekeliling.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Baha'uddin Hamizan

Graduan dari Universiti Teknologi MARA, Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi. Penulis bersama buku bertajuk Pematah Hati Yang Tak Dirindukan (Must Read) dan Cinta (Puteh Press). Vlogger kepada channel Youtube bernama Bahak Stories.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami