Ibadah

Disebalik Surah Al Ikhlas Tersembunyi Siapa Itu Tuhan

Oleh Fazli Abdullah  •  25 Jan 2019  •  2 min baca

Surah al-Ikhlas antara surah popular yang menjadi amalan dalam kehidupan. Dibaca ketika solat, dibaca ketika sebelum tidur dan ada yang mengamalkan tiga kali bacaan kerana ia seperti khatam 30 juzuk al-Quran. Daripada Abu Darda’ R.A, Rasulullah S.A.W pernah bertanya kepada para sahabat:

“Sanggupkah kalian membaca sepertiga al-Quran dalam semalam?” Lalu para sahabat bertanya, “Bagaimana caranya kita membaca sepertiga al-Quran? Lalu Nabi S.A.W menjelaskan, “Qul huwallahu ahad senilai sepertiga al-Quran.”Hadis riwayat Imam Muslim

Surah al-Ikhlas hanya mempunyai empat ayat sahaja. Namun, isinya menjelaskan tentang tuhan iaitu Allah S.W.T dengan kalimah yang mudah difahami.

Surah ini diturunkan setelah Rasulullah S.A.W ditanya oleh kaum Quraisy (atau pendita Yahudi atau Nasrani), tentang Tuhan Baginda S.A.W. Lalu Allah menurunkan surah ini.

Allah Itu Maha Esa

“Katakanlah (Muhammad), “Dialah Allah, Yang Maha Esa.”Surah al-Ikhlas 112:1

Allah Esa, Dia adalah tunggal. Tidak ada dua dan tidak ada tiga. Tiada tuhan melainkan Allah S.W.T. Tidak ada sekutu bagiNya. Tidak ada yang dapat menyamai dan sama denganNya.

Mustahillah jika Dia lebih daripada satu. Kalau Dia banyak dan mempunyai dua dan tiga, maka terbagilah kekuasaan-Nya. Jika begitu masing-masing mempunyai kekuasaan tersendiri. Ertinya masing-masing kurang berkuasa. Masing-masing memerlukan. Itu bukan sifat Allah. Allah itu satu. Hanya Dia satu-satunya. Allah jauh daripada sifat kelemahan.

Allah Adalah Segalanya“Allah tempat meminta segala sesuatu.”Surah al-Ikhlas 112:2

Segala sesuatu yang berada di bumi dan di langit adalah ciptaanNya. Dialah yang menciptakan segalanya.

Kerana itulah, Allahlah tempat segalanya bergantung harap padaNya. Dialah selayaknya tempat kita bergantung dan berlindung. Abu Hurairah R.A berkata:

“Erti Ash-Shamad ialah segala sesuatu memerlukan dan berkehendak kepada Allah S.W.T, berlindung kepadaNya; sedang Dia tidaklah berlindung kepada sesiapa jua pun.”

Husain bin Fadhal mengertikan:

“Dia berbuat apa yang Dia mahu, dan menetapkan apa yang Dia kehendaki.”

Allah Tiada Anak

“Ia tidak beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan;”Surah al-Ikhlas 112:3

Mustahil Dia beranak. Yang memerlukan anak hanyalah makhluk yang bernyawa yang menghendaki keturunan yang akan melanjutkan hidupnya. Kerana dengan keturunan itu bererti hidupnya akan bersambung. (Tafsir Al-Azhar)

Allah tidak mungkin beranak kerana Dia tidak mati dan tetap hidup selama-lamanya. Dan Allah juga tidak diperanakkan. Allah tidak mempunyai bapa dan tidak mempunyai ibu.

Jika Allah berbapa itu menunjukkan sifat Allah adalah lemah. Dia perlu patuh kepada bapaNya. Hal ini menyebabkan bapaNya pula lebih berkuasa. Itu bukan sifat Allah!

Allah Tidak Serupa Dengan MakhlukNya

“Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya”Surah al-Ikhlas 112:4


Tidak ada yang sesiapapun yang sama dengan Allah. Manusia adalah makhluk. Allah adalah Tuhan. Manusia akan mati. Allah tidak akan mati.

Makhluk mempunyai kekurangan dan kelemahan. Allah tidak ada sebarang kekurangan dan kelemahan. Seluruh makhluk yang berada di atas muka bumi adalah tidak sama dengan Allah S.W.T.

Oleh itu, janganlah sewenang-wenangnya membuat satu kenyataan Allah adalah seperti benda itu, seperti benda ini. Segala kenyataan itu adalah salah. Apabila Allah sama dengan makhluk itu bukan Tuhan lagi namanya, itu sudah menjadi makhluk.

Kesimpulan

Sesungguhnya Surah al-Ikhlas telah memberi jawapan kepada yang mencari kebenaran. Allah menurunkan wahyu kepada Nabi Muhammad S.A.W. Dan Nabi Muhammad S.A.W telah menyampaikan kepada kita semua.

Sungguh beruntunglah kepada sesiapa yang bersahabat baik dengan al-Quran. Daripada Abu Umamah al-Bahili ra, Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Bacalah al-Quran, sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat memberi syafaat kepada golongannya.”Hadis riwayat Imam Muslim

Akhirnya, apabila berfikir dengan akal yang waras pasti hati kita turut membenarkan. Sungguh benarlah Allah itu Maha Esa. Bayangkan jika sebuah negara ada dua orang Perdana Menteri? Apa akan terjadi?

Pasti akan tercetusnya masalah dan huru-hara. Masing-masing memberi pendapat dan atur cara yang berbeza.

Jika manusia boleh menjadi pancaroba mentadbir negara, bagaimana pula jika di dunia ini ada dua tuhan mentadbir seluruh dunia? Wallahu a’lam.

Rujukan:
1 .Tafsir Al-Azhar (Hamka)
2. Nurul Furqan Juz ‘Amma (Tafsir al-Quran berdasarkan Tafsir al-Jalalain)
3. 300 Hadis Bimbingan


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fazli Abdullah

Dilahirkan di Kedah. Hobi membaca dalam genre agama dan motivasi. Mengemari lagu nasyid. Menjadikan penulisan sebagai medan penyebaran ilmu dan kebenaran. tzkrh.com adalah ruangan penulisan pertamanya menulis dengan serius.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami