Hukum

Apa Itu Tahnik Dan Bagaimana Cara Yang Betul Untuk Melakukannya

Oleh Natirah Azira  •  5 Dec 2018  •  3 min baca

Upacara tahnik bukanlah suatu yang asing dalam masyarakat kita. Ada yang memilih untuk melakukannya dan ada yang tidak. Mereka yang memilih untuk melakukan tahnik akan membawa bayi yang baru sahaja lahir menemui orang-orang tertentu untuk ditahnik. Di sesetengah tempat, perbuatan ini dipanggil ‘belah mulut’. Apakah sebenarnya perbuatan tahnik atau ‘belah mulut’ ini? Dari manakah ianya berasal?

Tahnik menurut kamus Idris Al-Marbawi bermaksud lelangit di dalam mulut. Secara umumnya tahnik bermaksud membelah mulut bayi dengan buah tamar yang dikunyah dan digosokkan ke lelangit bayi, dan sebahagiannya lagi masuk ke dalam perutnya.

Hukum Tahnik Dan Cara Melakukannya

Sunat mentahnik bayi dengan buah tamar sama ada bayi lelaki atau perempuan. Jika tidak ada tamar, gunakanlah sesuatu yang manis. Hal ini berdasarkan hadis daripada Anas bin Malik RA, katanya: Maksudnya:

“Aku membawa Abdullah bin Abu Talhah al-Ansari RA yang baru lahir menemui Rasulullah SAW pada ketika itu, baginda memakai aba’ah (العباءة) sedang melumurkan untanya dengan minyak. Baginda bertanya: “Adakah kamu membawa tamar?” Aku menjawab: “Ada,” lalu aku menyerahkan beberapa biji kepada Baginda.

Baginda pun memasukkan beberapa itu ke dalam mulut dan mengunyah-ngunyahnya. Kemudian, baginda membuka mulut Abdullah dan memasukkan tamar tersebut. Bayi itu pun menggerak-gerakkan lidah sambil menghisap manisnya.

Kemudian, Rasulullah SAW bersabda: “Kesukaan orang Ansar ialah buah tamar. Lalu Baginda menamakannya Abdullah.”Riwayat Muslim (2144) dan yang lainnya

Hadis seterusnya, daripada Abu Musa RA, katanya:

وُلِدَ لِي غُلاَمٌ، فَأَتَيْتُ بِهِ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم فَسَمَّاهُ إِبْرَاهِيمَ، فَحَنَّكَهُ بِتَمْرَةٍ، وَدَعَا لَهُ بِالْبَرَكَةِ، وَدَفَعَهُ إِلَىَّ، وَكَانَ أَكْبَرَ وَلَدِ أَبِي مُوسَى‏

Maksudnya: “Aku dikurniakan seorang anak lelaki. Aku membawanya menemui Rasulullah SAW. Baginda pun menamakannya Ibrahim dan mentahniknya dengan tamar dan mendoakannya dengan barakah lalu memulangkannya kepadaku. Adalah dia anak lelaki yang paling tua Abi Musa” Riwayat al-Bukhari (6198).

Hadis yang lain pula, daripada Aisyah R.Anha, katanya:

أَنَّ رَسُوْلَ اللهِ صلى الله عليه وسلم كَانَ يُؤْتَى بِالصِّبْيَانِ فَيُبْرِكُ عَلَيْهِمْ وَيُحَنِّكُهُمْ

Maksudnya: “Kanak-kanak lelaki dibawa menemui Rasulullah SAW, lalu baginda mendoakannya semoga diberkati Allah dan mentahniknya.”Riwayat Muslim (2147)

Berdasarkan keterangan tersebut, ulama menyatakan bahawa bayi yang baru lahir sunat dibawa menemui orang yang soleh dan bertakwa, meminta dan mentahniknya dan mendoakannya supaya beroleh kebajikan dan keberkatan.

Dalam al-Mu’tamad ada disebut, tahnik selayaknya dilakukan di kalangan orang yang soleh untuk berdoa kepada bayi yang baru dilahirkan dan jika sekiranya tiada yang lelaki, maka perempuan yang solehah juga boleh melakukannya.

Masa Untuk Melakukan Tahnik

Al-Bukhari menukilkan satu bab khusus dalam kitab sahihnya iaitu “Bab menamakan bayi dan mentahniknya pada petang kelahirannya sekalipun belum dilakukan akikah” (Ibnu Hajar, Fath al-Bari, Jilid 15, Halaman 390). Sekiranya bayi tersebut lahir pada pertengahan siang hari, tahnik boleh dilakukan selepas waktu tengah hari pada hari kelahirannya.

Dalam Kitab Al-Majmu’ dinyatakan bahawa sunnah melakukan tahnik menggunakan tamar pada hari kelahiran bayi tersebut. Tujuan dan hikmah tahnik pula dilakukan bagi melatih bayi makan dan menguatkannnya.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami