Oleh Baha'uddin Hamizan • 4 Dec 2018 • 7 min baca
Pernah suatu ketika dalam perbualan saya dengan beberapa kawan perempuan di tempat kerja mengenai perhubungan masing-masing, mereka kebanyakannya meluahkan pada saya setiap sudut yang berlaku dalam hubungan mereka dengan tunang dan suami.
Situasi mereka hampir sama sahaja iaitu mereka tidak tahu untuk berkomunikasi secara jelas bagi mengetahui isi hati pasangan masing-masing.
Ada yang mengeluh kenapa pasangan mereka tidak faham bagaimana hendak memahamkan pasangan mereka bahawa mereka ingin dilayan sebagai seorang yang istimewa.
Kalau mereka masih yang belum berkahwin mungkin boleh diterima lagi atas alasan untuk menjaga adab tatasusila, tetapi yang sudah mendirikan rumah tangga, pasangan patut dilayan dengan istimewa.
Alasan untuk tidak melayan kononnya mahu menjaga diri sebelum berkahwin pun bukan alasan yang kukuh lagi kerana kita boleh sahaja berkomunikasi secara baik tanpa meninggalkan ‘blue tick’ atau membuat satu komunikasi itu cuma berjalan satu hala semata.
Dalam Islam sendiri tidak ada dalil secara sarih (jelas) mengharamkan lelaki dan wanita ajnabi dari berkomunikasi selagi mana perbualan itu bukan mendekati ke arah penzinaan.
Bagi yang sudah berkahwin pun apatah lagi, sepatutnya komunikasi mereka berjalan dengan baik.
Namun masih ada juga yang belum berjaya menemui formula yang bagus untuk saling faham memahami dan saling menyalurkan perasaan kasih sayang itu.
Semua ini kerana masing-masing tidak memahami bagaimana konsep ‘serve of love’ itu bertindak.
Apa yang boleh saya simpulkan dari perbualan santai saya bersama kawan-kawan perempuan saya ialah kesemua dari kita tidak faham konsep bagaimana mahu menyampaikan pada pasangan ‘bahasa cinta’ yang mereka suka untuk dicintai.
Contohnya kita suka makan roti canai tetapi orang bagi kita nasi lemak, kita mungkin makan untuk alas perut yang sedang lapar namun kita tidak lebih gembira jika diberikan roti canai berbanding nasi lemak.
Macam itu juga hal ini dalam sesebuah perhubungan, setiap dari kita ada gaya bahasa atau suatu tindakan dari kita yang kita mahu sampaikan pada mereka. Dan kita juga mahu pasangan sampaikan bahasa cinta yang kita suka.
Hal ini disebut oleh seorang ahli pengkaji perhubungan yang bernama oleh Gary Chapman dalam bukunya yang terkenal The Five Love Language: The Secret To Love That Last. Menurut beliau ada lima jenis bahasa cinta yang setiap orang mahu diperlakukan iaitu;
Ada orang sukakan diri dia diberitahu setiap hari yang dia disayangi, dicintai, diperlukan dan apa-apa sahaja kata-kata yang indah yang menunjukkan harga diri kita diangkat.
Biasanya lelaki sukakan bahasa ini, mereka berorientasikan kepada kejayaan maka sudah tentulah mereka perlukan kata pujian dari isteri tentang pengorbanan yang selama ini mereka lakukan untuk menyara keluarga dan melindungi. Contohnya;
“ Terima kasih awak sebab selalu buatkan saya rasa selamat dengan awak”
Sebahagian kalau terima kata-kata seperti ini cair terus. Kadangkala pasangan kita itu rasa diri mereka tak dihargai kerana kurangnya kata-kata macam ini terbit dari mulut kita.
Entah kenapalah berat sangat mulut kita mahu ucapkan bukan? Bukannya perlu keluarkan duit pun untuk keluarkan perkataan seperti itu.
Setiap hari kita akan lalui hari mencabar di tempat kerja, di tempat belajar, atau apa sahaja proses kehidupan yang kita lalui. Sudah tentulah kita semua perlukan motivasi dari orang yang terdekat dengan kita supaya lebih kuat.
Kita semua berada di zaman IT dan serba digital 4.0, maka sungguh mencabar untuk dapat meluangkan masa yang betul-betul berkualiti sekalipun kita berdepan semasa dalam sesi komunikasi.
Walaupun kita berada di depan mata seseorang kini, kita belum tentu dapat menghasilkan satu perbualan yang berkualiti.
Belum pasti kita dapat betul-betul bicarakan perkara bermanfaat yang boleh menaikkan lagi pengetahuan kita tentang pasangan.
Perbualan yang berkualiti boleh meningkatkan lagi rasa kasih kita pada seseorang, lebih kenal dia dan lebih faham dia dan sudah tentulah di situ lahirnya sebuah keakraban yang lebih kuat.
Ada orang sukakan aktiviti yang boleh berkongsi luangkan masa bersama, sama ada beriadah, lepak, atau makan bersama.
Baginya itu sudah cukup dianggap rasa dirinya disayangi. Kadangkala dengan hanya menghadirkan jasad dan jiwa bersama dengan dia sudah cukup baik.
Pemberian hadiah boleh juga menjadi salah satu bahasa cinta yang diperlukan seseorang. Ada sebahagian orang suka dirinya dihargai melalui pemberian sebegini, tidak perlu nilai yang mahal pun tidak mengapa asalkan diberi sesuatu.
Contohnya kita beri dia sesuatu hadiah untuk hargai waktu-waktu susah perit bersama, bagi diri dia itu sudah cukup baik sekali.
Kita jangan fikir pula orang yang jenis ini materialistik. Tidak semestinya, sebab amalan macam ini juga pernah diamalkan oleh Rasulullah S.A.W terhadap isteri baginda iaitu Aisyah.
Nabi memberikan susu sebelum masuk tidur. Amalan memberi hadiah juga sesuai dengan tuntutan dalam Islam untuk menyemarakkan lagi rasa kasih di antara satu sama lain.
تَهَادُوا تَحَابُّوا.
“Saling memberi hadiahlah, nescaya kalian akan saling mencintai.”Riwayat al-Baihaqi
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقْبَلُ الْهَدِيَّةَ وَيُثِيْبُ عَلَيْهَا.
“Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam menerima hadiah dan beliau membalasnya.”Riwayat Bukhari
Kebiasaannya kaum wanita paling suka jenis bahasa cinta yang ini sebab bila mereka berkahwin dengan kita merekalah paling sibuk menguruskan soal suami dan anak-anak.
Segala percaturan jadual dalam rumah kita dialah yang menyusun dan mengaturnya. Walaupun kita lihat macam mudah tapi sebenarnya susah dan memenatkan.
Jadi kaum lelaki khususnya suami perlulah mengambil peluang menyampaikan khidmat bantu mereka di dapur dan ringankan tulang supaya keakraban hubungan itu semakin terserlah.
Tiadalah isu untuk diluahkan sampai ke media sosial dan merungut di tempat kerja. Tetapi kaum perempuan juga janganlah gunakan gaya tubuh kiasan untuk buatkan suami faham untuk meminta bantuan.
Sebaliknya belajarlah teknik komunikasi yang lebih efisyen untuk lelaki faham bahawa anda sebenarnya perlukan sebuah pertolongan.
Bahasa lelaki dan perempuan amat berbeza jadi benda ini perlu dimainkan peranannya kedua belah pihak. Apapun dalam situasi hubungan kita tidak boleh terfikir wujudnya rasa;
“Eh, asyik aku saja yang kena fikir macam mana mahu jaga perasaan dia, dia bila?”
Sebab hubungan ini adalah suatu komitmen dan kebertanggungjawaban. Nabi adalah ikon lelaki suami yang paling ke hadapan dalam menyampaikan khidmat buat para isteri baginda. Menerusi hadis ini;
كَانَ فِي مِهْنَةِ أَهْلِهِ فَإِذَا حَضَرَتِ الصَّلاَةُ قَامَ إِلَى الصَّلاَةِ
“Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam dalam sibuk membantu isterinya, dan jika tiba waktu solat maka beliau pun pergi solat” Riwayat Bukhari
Sentuhan fizikal yang dimaksudkan bukanlah semata-mata hubungan kelamin seksual. Perlu dibezakan naluri seks dengan keperluan sentuhan fizikal.
Macam hubungan anak dengan ibu bapa, sentuhan fizikal mereka lebih kepada belaian dan usapan di kepala, cium di pipi, pegang tangan, bersalam, pelukan dan seumpamanya. Itulah perbezaannya, jangan terkeliru.
Sebab itu masa saya baca fatwa ulamak terkemuka iaitu Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya al-Mu’asiroh beliau pernah diajukan aduan oleh seorang wanita bahawa dirinya diabaikan dari sudut nafkah batin.
Apa yang dimaksudkan wanita tersebut bukanlah nafkah seksual tapi keperluan rohani batin seperti sokongan, belaian, kemanjaan dan seumpamanya.
Kita perlu faham selain dari keperluan makan minum, kita juga ada keperluan lain dalam minda dan rohani kita iaitu sokongan kasih sayang.
Makanan inilah yang ramai orang kurang penuhkan. Walhal memberikan makanan sebegini akan dapat melahirkan pemikiran yang lebih sihat dan bertenaga dari sudut emosional.
Emosi akan dipenuh dengan benda kebaikan dan positif. Maka penuhilah pasangan punya keperluan ini dengan cara-cara yang diaturkan oleh syarak.
Apa yang Dr Gary Chapman sebut hanyalah garis panduan dari aspek humanistic (kemanusiaan) adapun kita yang beragama Islam masih berada di dalam kerangka panduan syarak. Maka jenis bahasa cinta ini hanya selari dengan pasangan yang sudah halal sahaja.
Setelah kita baca dan amati kelima-lima bahasa cinta ini barulah kita boleh bertindak dengan bertanya pada pasangan yang mana satukah mereka rasa diri mereka dipenuhi?
Di sinilah pentingnya kita berterus terang dengan pasangan supaya tidak selalu ‘makan hati’. Tidak selalu runsing memikirkan mengapa diri seolah-olah tidak dihargai dan di pihak satu lagi pula juga merasakan benda yang sama.
Akhirnya, kita hanya berpusing-pusing dalam satu status persoalan “Adakah dia masih ingin bersamaku?” Hentikan perkara ini, lakukan segera perubahan untuk semaikan lagi rasa cinta itu.
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.