Ibadah

Bagaimana Untuk Membezakan Kata Hati Yang Baik Dengan Buruk

Oleh Natirah Azira  •  14 Nov 2018  •  4 min baca

Dalam artikel yang lalu kita sudah jelas apa yang dimaksudkan dengan ilham dan beberapa pandangan ulama tentang perkara tersebut. Kali ini kita akan meneruskan perbincangan tentang bagaimana untuk membezakan antara ilham atau kata hati yang baik dengan buruk.

Sebelum itu, mari kita telusuri beberapa contoh ilham yang telah dianugerahkan oleh Allah kepada hamba-hambaNya.

#1- Ilham Yang Dikurniakan Kepada Umar bin Al-Khattab

“Sesungguhnya telah ada pada umat-umat sebelummu muhaddatsun, dan kalau ada pada umatku seorang darinya, maka Umar bin Al Khattab adalah orangnya. Ibnu Wahb berkata: makna muhaddatsun adalah mulhamun (orang yang mendapatkan ilham)” (HR Muslim)

Ibnu Hajar dalam menafsirkan kata al-muhaddats, berkata: al-muhaddats dengan fathah (baris atas) huruf dal-nya, iaitu seorang yang benar persangkaannya. Iaitu orang yang dicampakkan pada hatinya sesuatu dari malaikat. Maka seakan-akan ada orang lain yang memberitahukannya.

Sebahagaian menafsirkan al-muhaddats dengan mukallam, iaitu orang yang dilawan bicara oleh malaikat (yang bukan nabi). Atau pembicaraan dalam hatinya sekalipun dia tidak melihat malaikat yang berbicara dengannya. Dalam Musnad Al Humaidi disebutkan, bahwa al-muhaddats adalah orang yang diilhami kebaikan di dalam hatinya.

Dalam riwayat Tirmidzi dari Ibnu Uyainah, mengatakan: yang dimaksud dengan al-muhaddats adalah al-mufahhamun (orang-orang yang diberi kepahaman). (Fathul Bari, 7/50)

Maka dapat digariskan beberapa perkara penting berdasarkan pendapat para mufassir tentang makna orang yang memperoleh ilham iaitu:

-Orang yang benar sangkaannya
-Orang yang dilawan bicara oleh malaikat yang bukan Nabi (seperti Umar bin Al Khattab)
-Orang yang diilhamkan kebaikan ke dalam hatinya
-Orang-orang yang diberi kefahaman

#2- Ilham Yang Diberikan Kepada Ibu Nabi Musa

Dan Kami (wahyukan) ilhamkan kepada ibu Musa, “Susuilah dia, dan apabila kamu khuatir terhadapnya, maka jatuhkanlah dia ke sungai (Nil). Dan janganlah kamu khuatir dan jangan (pula) bersedih hati, kerana sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu, dan menjadikannya (salah seorang) dari para rasul. (Al Qasas, 28:7)

Di atas pula merupakan salah satu kisah yang sangat menakjubkan yang diabadikan dalam Al-Quran. Ibu Nabi Musa ketika itu telah diberikan ilham oleh Allah untuk menghanyutkan Nabi Musa di Sungai Nil. Bayangkanlah, hal di luar jangkaan fikiran manusia ini mampu dilakukan kerana Allah telah mencampakkan ilham serta keyakinan ke dalam hatinya.

#3- Ilham Yang Diberikan Kepada Haiwan (Lebah)

وَأَوْحَىٰ رَبُّكَ إِلَى النَّحْلِ أَنِ اتَّخِذِي مِنَ الْجِبَالِ بُيُوتًا وَمِنَ الشَّجَرِ وَمِمَّا يَعْرِشُونَ

Dan Rabbmu telah memberi ilham kepada lebah,”Buatlah sarang-sarang di bukit-bukit, di pohon-pohon kayu, dan di tempat-tempat yang didirikan manusia.” (An Nahl 16:68)

Maksud perkataan (أَوْحَىٰ) di sini bukanlah seperti wahyu yang diberikan kepada Rasulullah SAW. Uniknya perkataan Arab mampu memberikan banyak pengertian. Perkataan ‘wahyu’ dalam ayat ini lebih kepada ilham atau inspirasi yang diberikan kepada lebah untuk terus bertahan hidup dengan membina sarang di tempat-tempat yang sesuai untuknya.

Bagaimana Untuk Membezakan Kata Hati Yang Baik Dan Kata Hati Yang Buruk

Dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud R.A, Rasulullah SAW bersabda;

“Sesungguhnya syaitan memiliki bisikan pada manusia, dan malaikat juga memiliki bisikan. Bisikan syaitan menjanjikan keburukan dan mendustakan kebenaran. Sedangkan bisikan malaikat menjanjikan kebaikan dan mempercayai kebenaran.

Barangsiapa mendapatkannya, maka ketahuilah bahawa itu daripada Allah SWT, justeru hendaklah dia memuji Allah. Dan barangsiapa mendapatkan yang lain, maka hendaklah dia berlindung kepada Allah SWT daripada syaitan yang dilaknat.”

Sesungguhnya ilham, firasat atau petunjuk ini boleh dibezakan berpandukan Al-Quran dan Sunnah. Jika sesuatu ilham itu selari dengan nas Al-Quran dan Sunnah, dan apa yang diajarkan Nabi SAW, maka ia dikira sebagai ilham yang baik dan boleh diterima manakala jika ianya tidak selari, maka pastilah ianya ilham atau petunjuk yang buruk.

الَّذِي يُوَسْوِسُ فِي صُدُورِ النَّاسِ

مِنَ الْجِنَّةِ وَالنَّاسِ

“Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia. (Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia” (An-Nas, 114: 5-6)

Berdasarkan ayat di atas, Ustaz Khalid Basalamah dalam ceramahnya mengatakan bahawa menurut sebahagian para ulama, bisikan-bisikan dalam hati itu boleh jadi kerana syaitan dan boleh jadi kerana hati manusia itu sendiri, iaitu hati yang memang cenderung kepada keburukan.

Hakikatnya hati manusia mempunyai potensi yang baik dan juga buruk. Syaitan akan semakin menguasai kecenderungan buruk manakala malaikat pula akan mempengaruhi dan menguasai kecenderungan atau potensi yang baik.

Kata para ulama lagi, apabila seseorang sering membiasakan jiwanya dalam kebaikan, maka hatinya akan lebih peka dengan kebaikan, dan mereka yang membiasakan diri dalam keburukan, hatinya akan lebih peka dengan keburukan.

Malah, kadang-kadang hati manusia boleh jadi lebih buruk dari keburukan yang dibisikkan syaitan dan boleh lebih hebat dari kebaikan yang dibisikkan malaikat, kedua-duanya bergantung kepada bagaimana hatinya dibiasakan.

Kesimpulannya, untuk mendapat ilham dan firasat yang benar dari Allah, hati perlu sentiasa dibersihkan dan dibiasakan dengan kebaikan. Petunjuk Allah itu sentiasa ada untuk hamba-hambanya selagi kita berharap, percaya dan berusaha mencarinya. Wallahua’lam.

Sumber:
Kedudukan Ilham Dalam Islam


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami