“Ibu kelar leher anak kerana halusinasi”
“Penggal kepala, kerat badan bapa, suspek direman tujuh hari”
“Bapa tetak anak sampai mati”
Semakin hari semakin ngeri tajuk akhbar yang kita baca. Setengah tahun pertama tahun ini sahaja menyaksikan lambakan berita pembunuhan, kes bunuh diri, dan peristiwa tragis yang membabitkan isu kesihatan mental.
Jenayah yang berlaku langsung tidak dapat diterima oleh benak fikiran. Akal waras seorang manusia tidak akan melakukan hal-hal yang sangat tragis lebih-lebih lagi melibatkan orang yang disayangi dan sangat dekat dengan diri sendiri.
Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menjangkakan bahawa penyakit mental akan menjadi bebanan nombor dua di dunia menjelang 2020. Kata orang ramai, itulah realiti masyarakat yang sakit pada hari ini. Namun realiti yang menyakitkan ini tidak boleh diterima begitu sahaja. Ia tidak boleh diterima sebagai suatu kebiasaan.
Justeru di barat, kajian yang dilakukan melibatkan taraf kesihatan mental seseorang sangat giat dijalankan. Antaranya kajian tentang suasana di tempat kerja, taraf hidup, sosioekonomi dan juga hubungan sosial antara masyarakat itu sendiri yang dapat memberi kesan kepada kesihatan mental seseorang.
Masalah kesihatan mental tidak harus lagi menjadi topik ‘taboo’. Masalah mental bukan tentang ‘gila’ semata-mata. Sebagaimana badan kita akan ditimpa sakit dari semasa ke semasa, begitu juga dengan fikiran. Kehidupan kita setiap saat digerakkan oleh otak dan minda, maka, menjaga kesihatan minda adalah suatu kemestian yang perlu dilakukan.
Setiap orang terdedah kepada masalah kesihatan mental. Sesetengah orang merasakan bahawa masalah mental berlaku disebabkan iman yang lemah, tidak cukup ibadah dan sebagainya. Hal ini tidak tepat.
Jika perkara ini benar, maka orang bukan Islam adalah orang yang paling dahulu akan ditimpa masalah mental. Masalah mental tidak mengira agama, bangsa, budaya mahupun jantina. Ia tentang minda manusia itu sendiri. Kajian dilakukan untuk mengenal pasti ‘stressor’ atau punca yang menyebabkan masalah mental terjadi.
Tubuh badan kita adalah amanah yang diberikan oleh Allah, maka setiap amanah akan ditanya di akhirat kelak. Salman pernah menasihati Abu Darda’ yang tidak punya keinginan lagi kepada dunia (tidak mahu makan kerana ingin puasa, dan bangun terlalu awal untuk mengerjakan solat malam). Salman lalu menasihatkan Abu Darda’ bahawa pada diri dan keluarganya juga ada hak yang perlu ditunaikan.
Maka mari kita teliti beberapa langkah yang boleh kita lakukan untuk menjaga diri dan bagi memastikan taraf kesihatan mental kita berada pada tahap yang baik;
Sebagaimana kita menjaga badan dengan pemakanan yang seimbang dan senaman, begitu juga dengan minda. Buat pemeriksaan dengan bertanya, adakah hari ini kita diselubungi stres atau tekanan yang melampau? Adakah minda kita masih mampu menguruskan tekanan tersebut?
Kongsikan apa yang mengganggu fikiran kita dengan orang yang kita percaya. Bercakap memang tidak dapat menyelesaikan masalah, namun beban perasaan dapat dikurangkan dan minda kita akan menjadi jernih semula. Kita dapat berfikir dengan jelas .
Usah merasakan bahawa berkongsi rasa adalah suatu yang membebankan. Ramai orang yang mengambil berat tentang diri kita dan sudi menjadi pendengar yang baik.
Perlu ditegaskan di sini, bahawa masalah mental berlaku bukan kerana kurangnya ibadah, sebaliknya ibadah boleh dijadikan amalan yang mampu melindungi diri di peringkat awal. Ia bukan punca, tetapi ia kaedah pencegahan. Sesuai dengan firmanNya, bahawa apabila kita mengingati Allah hati akan menjadi tenang.
Langkah yang disebutkan di atas adalah usaha yang dapat kita lakukan di peringkat awal sebelum kita ditimpa apa-apa masalah mental yang kronik. Namun jika masalah tersebut sudah tidak dapat dikawal, rawatan dari pakar adalah suatu kemestian.
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.