Inspirasi

7 Tips Merawat Jiwa Yang Kosong

Oleh Fazli Abdullah  •  10 Oct 2018  •  5 min baca

Andai jiwa kita kosong, maka hidup kita terasa tidak bermakna. Walaupun diri dikelilingi dengan kesenangan dan kemewahan, ia seperti tidak mengisi jiwa yang sedang berkecamuk dan gersang.

Bagaimana cara untuk mengisi jiwa yang kosong? Ketahuilah setiap penyakit ada penawarnya, Insyaallah. Jiwa yang kosong boleh diubati apabila kita melakukan perkara yang sudah diajar di dalam Islam seperti;

#1- Niat Kerana Allah

Wahai hamba-hambaKu yang beriman! Sesungguhnya bumiKu adalah luas (untuk kamu bebas beribadat); oleh itu, (di mana sahaja kamu dapat berbuat demikian) maka hendaklah kamu ikhlaskan ibadat kamu kepadaKu.”Surah Al-Ankabut: 56

Ikhlaskan hati kerana Allah. Dilakukan segala perkerjaan adalah kerana Allah bukan kerana manusia. Dihina, dikutuk, dan diuji tidak merasa kecewa. Jiwa kosong menjelma kerana niat bukan kerana Allah. Di kala niat ingin dipuji, namun ditunggu tidak datang.

Hasilnya diri terasa keseorangan. Sebenarnya kita diperhati Allah.Walau tidak dipandang manusia, Allah tetap bersama kita.

Perasaan kita akan terasa tenteram dan tidak lemah dengan ujian kerana hati sudah tersemat dengan keikhlasan kerana Allah. Jadi, betulkan niat jangan dikotori. Hapuskan segala niat yang salah. Buat semata-mata kerana Tuhan.

#2- Banyakkan Beristighfar

Dan Dia lah Tuhan yang menerima taubat dari hamba-hambaNya (yang bertaubat) serta memaafkan kejahatan-kejahatan (yang mereka lakukan); dan Ia mengetahui akan apa yang kamu semua kerjakan.”Surah Ash-Shura: 25

Daripada Abdullah bin Mas’ud R.A., Nabi S.A.W bersabda;

“Penyesalan adalah taubat.”Riwayat Ibn Majah

Beristighfar itu kita memohon keampunan daripada Allah S.W.T. Memohon segala kesilapan dan dosa dimaafkan oleh Allah S.W.T. Beristighfar perlu ada rasa dan bukan saja-saja dikata. Mulut berbicara, hati mengakuinya dan perbuatan perlu meninggalkan dosa lalu.

Bila diulang. Dan diulang. Pada masa dan ketikanya hati merasa tenang. Terasa bagai beban dikurangkan sedikit demi sedikit. Cubalah. Jiwa penuh dosa akan terhakis sedikit demi sedikit dengan alunan istighfar yang sebenar-benar pengharapan.

Banyakkanlah beristighfar itulah penyelesaian yang terbaik yang tidak harus ditinggalkan untuk merawat jiwa. Jiwa kosong kepada jiwa yang suci.

#3- Tinggalkan Maksiat

Dan sesiapa yang melakukan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri (dengan melakukan maksiat) kemudian ia memohon ampun kepada Allah, nescaya ia akan mendapati Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” Surah An-Nisa’: 110

Maksiat adalah racun kepada kehidupan. Sifat maksiat memang manis (bagi jiwa yang dalam kekosongan) tetapi manisnya hanya seketika. Walau manis, ia tetap berbahaya.

Janganlah menjadikan maksiat sebagai penyelesai masalah kerana ia menambahkan lagi masalah. Arak misalnya, disangka ubat hilangkan stres tetapi ia menjadikan akal tidak menentu.

Pelbagai lagi masalah yang bertandang kerana maksiat tersebut. Tinggalkan maksiat itu jalannya. Percayalah maksiat tidak akan membawa kita ke mana-mana. Nikmatnya singkat. Masalah pula meningkat.

#4- Menuntut Ilmu Agama

Dan juga supaya orang-orang yang beroleh ilmu mengetahui bahawa ayat-ayat keterangan itu benar dari Tuhanmu, lalu mereka beriman kepadanya, sehingga tunduk taatlah hati mereka mematuhinya; dan sesungguhnya Allah sentiasa memimpin orang-orang yang beriman ke jalan yang lurus.”Surah Al-Hajj: 54

Orang berilmu dan orang tidak berilmu bezanya jauh sekali. Orang berilmu tahu mana yang salah dan mana yang betul. Orang tidak berilmu pula menyangka semua yang dilakukan betul dan menganggap salah adalah betul dan betul pula dikatakan sebaliknya.

Jiwa yang kosong dapat dirawat dengan menuntut ilmu agama. Pelajarilah dari guru yang benar. Amalkan apa yang diketahui dan dipelajari. Insyaallah, Allah permudahkan segala urusan untuk memperbaiki jiwa. Daripada Mu’awiyah bin Abu Sufyan R.A., Nabi S.A.W bersabda ;

“Siapa yang Allah mahukan kebaikan padanya, nescaya Allah memberikan kefahaman agama kepadanya.” Riwayat al-Bukhari dan Muslim

#5- Mentadabur al-Quran

Orang-orang yang Kami berikan Kitab kepada mereka, sedang mereka membacanya dengan sebenar-benar bacaan (tidak mengubah dan memutarkan maksudnya), mereka itulah orang-orang yang beriman kepadanya; dan sesiapa yang mengingkarinya maka mereka itulah orang-orang yang rugi.” Surah Al-Baqarah:121

Dalam kehidupan kita tidak lari daripada al-Quran. Al-Quran adalah panduan kehidupan. Memberi panduan ke arah kebenaran dan menghalang daripada melakukan kejahatan.

Dalam al-Quran pelbagai kisah para Nabi terdahulu, kisah umat yang diazab Allah, peringatan, nasihat dan pelbagai pengisian rohani yang baik untuk jiwa yang kosong.

Membaca sahaja tidak memadai, kita perlu fahami isi yang ingin disampaikan dan amalkan suruhan Allah yang tercatat di dalamnya. Insyaallah, jiwa tidak kosong malah jiwa terasa tenang.

#6- Beristiqamah Dalam Melakukan Kebaikan

Daripada Aisyah R.H.A., Nabi S.A.W bersabda ;

Wahai manusia lakukanlah amalan mengikut keupayaan kamu. Sesungguhnya Allah tidak jemu sehinggalah kamu jemu. Amalan yang paling Allah sukai ialah amalan yang berterusan walaupun sedikit.”Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Beristiqamahlah melakukan kebaikan walaupun sedikit. Apa itu istiqamah? Istiqamah itu maknanya dilakukan secara berterusan. Amalan baik walaupun kecil dilakukan berterusan lebih Allah sukai daripada amalan baik yang dilakukan banyak namun tidak konsisten.

Allah tidak memandang kuantiti tetapi kualiti. Setiap kita boleh sahaja memilih amalan apa yang sesuai dan mampu kita lakukan. Contoh, berzikir 100 kali setiap hari. Ada yang membaca al-Quran setiap selepas solat Maghrib.

Apa yang penting istiqamah. Insyaallah, amal kebaikan yang dilakukan akan memberi kesan pada jiwa. Dan jiwa tidak akan terasa kosong lagi.

#7- Berdoa Kepada Allah

Dan Ia memperkenankan doa permohonan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, dan Ia menambahi mereka dari limpah kurniaNya (selain dari yang mereka pohonkan). Dan (sebaliknya) orang-orang yang kafir, disediakan bagi mereka azab seksa yang seberat-beratnya.”Surah Ash-Shura: 26

Berdoa kepada Allah agar diberi kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat. Dan mintalah kepada Allah dengan bersabar dan penuh kekhusyukan.

Kita sebagai hamba pasti ada masa jatuh dan masa bangunnya. Jadi berdoalah memohon pertolongan kepadaNya. Allah sentiasa menanti doa kita. Hanya kita yang melupakanNya. Pada jiwa yang kosong, rawatlah dengan memohon doa.

Bermunajat dan berdoa dengan setulus hati. Kebahagiaan pasti akan menghampiri. Terasa nikmatnya doa pada Ilahi. Cubalah.

Konklusinya, jiwa yang bahagia adalah jiwa yang dekat dengan Allah swt. Jiwa juga perlukan makanan seperti badan kita. Makanannya sudah disebut di atas.

Semoga 7 tips di atas dapat memberikan penyelesaian dan merawat jiwa yang kosong. Beramallah sepanjang kehidupan, nescaya ia tidak akan rugi walau sedikit pun. Waallahua’lam

Rujukan:
1. 300 Hadis Bimbingan Ke Arah Mencari Reda Allah (Penulis: Dato Dr Haji Zahazan Mohamed dan Ustaz Ahmad Hasan Mohd. Nazam)


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fazli Abdullah

Dilahirkan di Kedah. Hobi membaca dalam genre agama dan motivasi. Mengemari lagu nasyid. Menjadikan penulisan sebagai medan penyebaran ilmu dan kebenaran. tzkrh.com adalah ruangan penulisan pertamanya menulis dengan serius.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami