Gaya Hidup

3 Sebab Paling Utama Berlaku Kegagalan Ketika Anda Berkomunikasi

Oleh Natirah Azira  •  29 Aug 2018  •  4 min baca

“The most important thing in communication is hearing what isn’t said”Peter Drucker


Kata beliau, perkara paling penting dalam komunikasi adalah mendengar apa yang tidak diperkatakan oleh bibir.

Kerap kali kita menghadapi masalah untuk berbincang dan menyampaikan apa yang kita rasa dan fikirkan kepada seseorang bukan?

Walhal kita sedang bercakap bahasa yang sama. Bahasa manusia, bukan bahasa ayam dan itik. Tapi mengapa perbincangan kerap kali menemui jalan buntu. Yang terdengar hanya suara bingit dan rasa sakit hati yang bersisa.

Mari kita imbas kembali kali terakhir kita bergaduh dengan sesiapa, apa sebenarnya yang berlaku?

#1- Prasangka Menghalang Kita Untuk Memahami

Mengikut ilmu psikologi, manusia kerap kali ingin memahami apa yang berlaku di sekelilingnya. Kita ingin tahu sebab dan akibat kepada sesuatu perkara. Kita bukan hanya ingin tahu tentang ‘apa’ yang terjadi, namun kita juga ingin ingin tahu ‘mengapa’ ia terjadi.

Tetapi dalam banyak keadaan persoalan mengapa tidak terjawab secara mudah atau dengan kadar segera. Maka kita mula mencari sebab sendiri yang mungkin tidak tepat. Dalam kata lain, kita mula bersangka.

Saya berikan satu contoh situasi yang berlaku. Seorang pelajar datang lewat ke kelas dalam keadaan yang kusut masai. Buku pula tidak dibawa.

Guru yang melihat barangkali terus membuat andaian bahawa pelajar itu adalah seorang pelajar yang malas atau cuai.

Mengikut ilmu psikologi, seseorang yang membuat andaian ini mungkin sudah terjatuh dalam perangkap ‘correspondence bias’.

Tidak ada definisi tepat yang menterjemahkan istilah ini ke dalam bahasa Melayu. Tetapi dalam bahasa lebih mudah, orang yang membuat andaian boleh jadi berat sebelah dalam mentafsir dan memahami perkara yang terjadi.

Mereka ‘menyepadankan’ apa yang mereka lihat (datang lewat/keadaan kusut masai) dengan sikap yang mereka rasakan sesuai dengan pelaku (pemalas).

Mereka lebih cenderung untuk menyalahkan ‘diri si pelaku’ daripada mengambil kira ‘faktor luaran’ yang menjadi punca.

Contoh dalam situasi di atas, pelajar tersebut datang dalam keadaan kusut masai boleh jadi kerana bekalan air di rumahnya tiba-tiba tidak ada dan buku tidak dibawa mungkin kerana adiknya mengeluarkan semula dari dalam beg.

#2- Masa Yang Tidak Sesuai

Masa yang tidak sesuai juga boleh menjadi sebab komunikasi tidak dapat berjalan dengan baik. Bayangkan jika kita baru penat pulang dari kerja, pasangan atau keluarga sudah ‘menembak’ dengan bebelan atau masalah, sudah pasti kepenatan fizikal ditambah lagi dengan kepenatan mental boleh menyebabkan ketidakseimbangan emosi.

Idea serta masalah tidak dapat dibincangkan dengan baik, malah hal yang kecil juga mampu menjadi besar.

Ambil lah masa untuk bertenang, berehat dan menyegarkan diri. Fahami emosi orang di sekeliling kita dengan belajar membaca ‘cue’ atau tanda seperti raut wajah, bahasa badan, dan intonasi suara sebelum memulakan perbualan atau perbincangan.

Semua maklumat kecil begini dapat memberi maklumat yang besar dalam komunikasi.

#3- Kita Memakai Kaca Mata Yang Berbeza

Saya menggunakan istilah kaca mata di sini bagi memberikan gambaran bahawa setiap manusia mempunyai cara fikir yang berbeza walaupun melihat sesuatu yang sama.

Pernah anda dengar tentang gelas ‘separuh kosong’ vs ‘separuh penuh’? Seorang guru meletakkan gelas yang separuh berisi air di hadapan para pelajar lalu beliau bertanya kepada mereka apa yang mereka lihat.

Sebahagian menjawab gelas itu separuh penuh dan ada pula yang menjawab gelas itu separuh kosong. Bagaimana hal ini boleh berlaku sedangkan kita memandang sesuatu yang sama!

Itulah unik dan kompleksnya otak manusia. Cara kita melihat sesuatu mungkin dipengaruhi oleh emosi ketika itu atau pengalaman yang lalu.

Kajian psikologi mendapati bahawa seseorang dalam mood yang baik lebih mudah untuk menolong orang lain berbanding orang yang dalam keadaan sedih dan sugul.

Saya berikan satu lagi contoh mudah dalam kehidupan seharian kita. Si suami membelanjakan wang yang banyak untuk mengubah suai kenderaan. Dia melihat hal itu bukanlah suatu pembaziran tetapi komitmen terhadap minat sedangkan si isteri berpendapat sebaliknya.

Isu sebegini boleh mendatangkan konflik dan pertengkaran kerana sebenarnya cara fikir setiap orang berbeza. Hal ini boleh diselesaikan apabila pasangan suami isteri memandangnya dari kaca mata yang lain pula iaitu ‘prioriti’ dan bukan lagi ‘perbelanjaan wang’.

Isteri boleh menasihati suami supaya mengutamakan keperluan yang lain dahulu. Jika ada lebihan wang barulah boleh dilaburkan kepada minat.

Banyak lagi sebenarnya situasi-situasi yang mampu kita teliti bagi mencari jawapan mengapa komunikasi tidak dapat berjalan dengan baik. Ingat semula adegan-adegan cekak pinggang, suara bingit dan wajah merah padam dan lihatlah ianya daripada perspektif yang berbeza.

Elakkan menyalahkan orang di sekeliling kita secara seratus peratus. Fahami emosi, kenali diri sendiri dan orang lain supaya kita lebih banyak mendengar untuk memahami berbanding mendengar hanya untuk menjawab.

“Perkataan yang baik dan pemberian maaf lebih baik daripada sedekah yang diiringi tindakan yang menyakiti. Allah Maha Kaya, Maha Penyantun” Surah Al Baqarah 2:264



Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami