Oleh Noor Afidah Abu Bakar • 8 Feb 2018 • 3 min baca
Ini bukanlah kali pertama. Sudah dua kali saya melihat iklan produk kecantikan seperti ini ditularkan di media sosial.
Kali pertama adalah iklan produk kecantikan yang memaparkan bagaimana seorang suami mendera dan menceraikan isterinya kerana tidak cantik dan bergaya.
Yang terbaru ini juga adalah iklan premis kecantikan ataupun spa yang memaparkan bagaimana seorang perempuan dipukul oleh teman lelakinya kerana muka yang berjerawat.
Tidak cukup dengan itu, lelaki orang awam yang melihat wajah perempuan itu juga turut memukul dan menendangnya kerana wajahnya yang tidak menepati piawaian lelaki-lelaki dalam iklan tersebut.
Apakah yang cuba kita sampaikan kepada masyarakat melalui iklan-iklan sebegini? Apakah budaya yang cuba kita terapkan di kalangan kanak-kanak dan remaja yang menontonnya tanpa pantauan ibu bapa?
Yang lebih mengecewakan adalah komen-komen dari netizen yang membenarkan dan menganggap perkara serius seperti keganasan terhadap wanita adalah benar dan lucu, termasuklah komen dari perempuan sendiri.
Adakah jati diri dan keyakinan diri orang muda kita, terutamanya yang perempuan, begitu rapuh sehinggakan kita harus tunduk kepada penilaian yang dibuat oleh produk-produk kecantikan melalui iklan-iklan mereka yang melawan arus pembangunan insan.
Mungkinkah kita terlalu disogok dengan rancangan hiburan lawak sehingga menyebabkan kita kehilangan kewarasan untuk berfikir?
Saya khuatir kerana penerimaan kepada iklan yang berulang-ulang sebegini dalam jangkamasa yang singkat, adalah cerminan bahawa ia sememangnya berlaku dan menular dalam masyarakat sehinggakan diterima sebagai satu norma.
Keganasan terhadap wanita adalah tidak normal.
Jika anak lelaki dididik untuk menghormati ibu, kakak, adik perempuan, makcik-makcik, nenek, sepupu perempuan, saudara perempuan, dan juga kanak-kanak perempuan dan wanita umumnya.
Isu keganasan terhadap wanita ini tidak akan dijadikan bahan lawak sebaliknya semua akan bersatu hati membanteras dan mencemuh tindakan tersebut kerana ia adalah satu kesalahan yang bertentangan dengan nilai manusia yang waras.
Bayangkan yang dipermainkan dan diobjektifikasikan itu adalah ibu anda ataupun saudara perempuan anda. Adakah anda tidak rasa sedikitpun rasa jelek?
Jika tidak, ternyata anda memerlukan bantuan pakar psikiatri kerana ada yang tidak normal dengan pemikiran dan pembawaan anda.
#1- Didiklah anak lelaki untuk menghormati perempuan dengan tidak mempermain-main mereka.
#2- Didiklah anak lelaki untuk berlemah-lembut dengan perempuan kerana perempuanlah yang bakal menjadi ibu kepada anak-anak mereka dan penyambung generasi seterusnya.
#3- Didiklah anak lelaki untuk melihat perempuan sebagai manusia yang mempunyai perasaan dan maruah dan bukannya sebagai objek yang boleh dipergunakan sesuka hati.
#4- Walaupun mungkin perempuan itu sendiri tersilap dan merendahkan dirinya, didiklah anak lelaki untuk tidak menjatuhkan lagi nilai diri anak gadis itu dengan mempergunakannya atau mengejeknya.
#5- Didiklah anak lelaki melalui contoh teladan daripada anda sendiri sebagai seorang ayah yang tidak mempermainkan, mengeksploitasikan, memaki hamun, mendera dan berlaku ganas terhadap wanita.
Kanak-kanak dan remaja perempuan seharusnya dididik untuk tidak membenarkan kecantikan luaran dijadikan kayu ukur untuk menilai diri mereka oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan cuba mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan.
#1- Kelebihan dan kekuatan yang dimiliki oleh wanita seharusnya dihargai dari kecil oleh kedua ibu bapa supaya mereka yakin yang diri mereka sememangnya bernilai walaupun dipandang rendah oleh orang lain.
#2- Kenali anak perempuan anda dan tanya diri anda apakah kelebihan atau bakat yang dimilikinya? Fokus kepada kelebihan tersebut untuk menaikkan keyakinan dirinya.
#3- Galakkan anak perempuan memperkembangkan kelebihan dan bakat mereka dengan menjuruskannya ke jalan yang memanfaatkan dirinya, keluarga dan masyarakat secara umumnya.
Tidak ada salahnya sukakan kecantikan. Semua perempuan, walaupun kanak-kanak kecil sekalipun, suka dan ingin kelihatan cantik.
Tidak ada salahnya merawat kulit muka jika mempunyai masalah tetapi janganlah dibiarkan ia menjadi satu-satunya aspek yang menentukan taraf dan harga diri seorang perempuan.
Sehingga membiarkan diri kita dieksploitasikan dan diobjektifikasikan oleh pihak yang ingin mengaut keuntungan semata-mata. Know your value.
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.