Gaya Hidup

Ayuh Kita Semarakkan Budaya Membaca

Oleh Fazli Abdullah  •  26 Jan 2018  •  5 min baca

Membaca adalah salah satu perbuatan yang harus dilakukan oleh setiap manusia. Bahkan, wahyu pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad saw adalah bermula dengan kalimah Iqra’ (Bacalah).

Seperti di sekolah, kita perlu ada kemahiran membaca. Kemahiran membaca dapat melancarkan pembelajaran di sekolah. Bukan di sekolah sahaja, di tempat pengajian yang lebih tinggi.

Jika mahu melakukan sesuatu kajian, rujukan ataupun semakan ia memerlukan kemahiran membaca. Ya, membaca. Itu asasnya. Apa kebaikan membaca dalam kehidupan kita? Ada yang memberi pertanyaan sebegini.

Ada yang menganggap amalan membaca ini adalah satu amalan yang membuang masa. Terperuk di dalam bilik. Diam tidak bersuara.

Tetapi bagi orang yang membaca pasti akan tahu kebaikannya. Orang yang merasai sahaja yang terasa kelazatan membaca.

Mari kita ketahui beberapa kebaikan daripada amalan membaca. Semoga memberi semangat untuk kita menjadikan membaca sebagai hobi ‘kedua’ kita selepas ini. Jom;

#1 – Menambah Ilmu Pengetahuan

Membaca adalah jambatan ilmu. Antara slogan yang selalu diucapkan apabila diadakan kempen membaca dan bulan membaca. Membaca dapat menambahkan lagi pengetahuan yang kita ada.

Mungkin sebelum ini ilmu yang kita ada cumalah asas sahaja. Tetapi apabila membaca, kita akan mendapat ilmu yang lebih mendalam dan lebih khusus.

Dengan banyak membaca, ia tidak merugikan kita kerana ia terus memberi dan memberi kita ilmu pengetahuan. Selagi kita rajin membaca, selagi itulah ilmu akan semakin mencambah subur di minda. Percayalah.

#2 – Mengurangkan Tekanan

Membaca juga dapat mengurangkan tekanan. Ia memberi kita kelapangan dan ketenangan ketika membaca. Dengan situasi dan keadaan sekeliling yang sunyi dan tidak bising, ia dapat memberi ketenteraman pada hati.

Memandangkan penduduk dunia kini yang sibuk dengan pekerjaan dan aktiviti harian, pasti akan merasai tekanan dalam hidup. Jadi, membaca dapat menangani masalah ini. Ini membuktikan yang membaca bukan amalan yang sia-sia. Malah, ia menjadi ubat kepada stres.

Menurut kajian, membaca dapat membuatkan fikiran lebih santai sehingga dapat membantu menurunkan tingkat stress hingga 67%. Subhanaallah, suatu yang menakjubkan.

#3 – Menghargai Masa Yang Terluang

Setiap manusia diberikan 24 jam sehari. Tiada siapapun yang kurang ataupun melebihi masa yang ditetapkan. Dengan membaca, kita dapat menghargai masa yang terluang. Terutama di masa lapang, di cuti persekolahan, sebelum tidur dan sebagainya.

Kita sebagai umat Islam semestilah menghargai masa yang dianugerahkan Allah ini. Masa antara ciptaan Allah yang cukup hebat. Ia tidak akan menunggu kita bahkan ia terus berdetik tanpa berhenti. Itulah masa.

Daripada berborak kosong, melepak dan termenung tiada sebab lebih baik kita gunakan masa itu dengan membaca.

#4 – Mencerdaskan Otak

Membaca dapat menghasilkan minda yang cerdas dan baik. Dengan membaca, ia membuatkan otak kita bekerja dan memproses ilmu yang diperoleh.

Jika otak kita tidak berkerja dan dibiarkan tanpa ada aktiviti yang merangsang otak, akhirnya kita menjadi lemah daya ingatan, kurang kecerdasan, dan menyebabkan otak menjadi lembab.

Ini dibuktikan dengan penemuan daripada American Association of Neurology, orang yang suka membaca akan mendapat kemungkinan lebih kecil mengalami kehilangan kemampuan mengingat daripada orang yang tidak suka membaca.

Membaca ini perlu dipupuk dari kecil lagi. Insyaallah, anak yang suka membaca, ia akan mencerdaskan lagi daya fikir yang ketika itu sedang aktif berkembang.

#5 – Menjadikan Komunikasi Kita Lebih Baik

Kita tidak akan terlepas daripada berjumpa dan berkomunikasi dengan masyarakat. Tahukah kita, yang membaca membuatkan kemahiran komunikasi kita lebih baik.

Kita akan lebih cekap mengeluarkan kata kerana kita mempunyai ilmu hasil daripada pembacaan. Kita juga lebih yakin untuk menceritakan sesuatu isu atau ilmu.

Kita tidak akan mendiamkan diri jika kita mengetahui sesuatu dan dapat membetulkan kesalahan orang lain tanpa ragu.

Hal ini kerana membaca dapat memberi isi-isi penting dan maklumat untuk memantapkan dan meningkatkan komunikasi agar tidak kaku. Kita akan lebih berani berkata. Dan keyakinan kita akan bertambah maju.

Jadikan Budaya Membaca Menyeronokkan!

Tidak dapat disangkal lagi, membaca banyak manfaatnya. Penulis hanya memberikan 5 kebaikan daripada membaca. Sebenarnya ada lebih puluhan lagi kebaikan yang kita dapat perolehi daripada membaca.

Sekarang bagaimana mahu menjadikan membaca ini sebagai budaya dan satu keseronokkan?

#1- Mulakan membaca dengan buku yang ada gambar dan berwarna. Lihat gambar dahulu. Selepas itu cuba baca sepintas lalu.

#2- Pilih dan baca buku yang nipis dan ringan isinya. Jangan mulakan yang bermuka surat tebal.

#3- Peruntukkan sehari satu atau dua muka surat. Sebaik-baiknya diamalkan setiap hari. Walaupun sedikit, yang penting beristiqamah(berterusan).

#4- Adakan satu kumpulan membaca. Peruntukkan setengah jam atau sejam untuk dibaca. Setiap seorang membaca satu muka surat atau dua muka surat yang lain lihat buku dan dengar. Lakukan sehingga habis masa yang ditetapkan.

#5- Beri hadiah kepada diri sendiri apabila berjaya menamatkan satu buku. Dengan cara ini, kita lebih bersemangat untuk membaca pada waktu seterusnya.

Ikuti Amalan Ulamak Dan Orang Soleh Terdahulu

Ibn al-Jauzi pernah bercerita tentang dirinya;

“Aku tidak pernah berasa ‘kenyang’ membaca dan menelaah buku. Ketika aku melihat sebuah buku baharu yang belum aku ketahui kandungannya sebelum itu, aku seperti melihatnya sebuah kotak emas.”

Membaca pada hati ulama cukup besar dan bernilai sekali. Dengan membaca maka dapatlah cahaya ilmu yang dirakam di buku.

Ulama dan tokoh-tokoh hebat pasti tidak akan meninggalkan amalan membaca. Apatah lagi ia dijadikan amalan rutin dan perkara yang membuatkan diri lebih dekat dengan kejayaan serta menghindari kejahilan (kebodohan).

Kesimpulan yang dapat kita ambil dalam artikel ini adalah membaca membawa seribu manfaat. Manfaat yang membawa kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.

Selain itu, membaca adalah amalan ulama-ulama terdahulu. Jadi, amat rugilah kita jika dibiarkan sahaja amalan baik ini ditinggalkan kerana ia dilakukan oleh orang-orang hebat. Tidak mahukah kita menjadi orang yang hebat?

Seterusnya, semaikan minat membaca ini dari kecil lagi. Ibu bapa perlu memainkan peranan untuk menjadikan membaca sebagai satu perkara yang penting dalam kehidupan.

Membaca buku cerita sebelum anak-anak tidur serta menjadi contoh terbaik kepada anak-anak dapat menjadikan amalan ini lebih berkesan dan berkekalan.

Akhir sekali, hayati pesanan Imam Syafie ini;

“Jika kamu inginkan kejayaan di dunia, hendaklah dengan ilmu. Jika kamu inginkan kejayaan di akhirat, hendaklah dengan ilmu. Jika kamu inginkan kejayaan kedua-keduanya hendaklah juga dengan ilmu.”

Jalan menuju ilmu salah satunya adalah membaca. Waallahua’lam.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fazli Abdullah

Dilahirkan di Kedah. Hobi membaca dalam genre agama dan motivasi. Mengemari lagu nasyid. Menjadikan penulisan sebagai medan penyebaran ilmu dan kebenaran. tzkrh.com adalah ruangan penulisan pertamanya menulis dengan serius.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami