Pernahkah kita terfikir kenapa kanak-kanak begitu mahir menggunakan gajet seperti telefon pintar dan tablet walaupun tidak pernah diajar?
Menurut kajian yang dijalankan di University of California, Berkeley untuk membandingkan penggunaan mesin antara kanak-kanak berusia 5 tahun dan pelajar universiti, kemahiran anak-anak kecil ini didapati berpunca dari kecenderungan semulajadi anak-anak kecil untuk menyelesaikan masalah (problem solving).
Penggunaan gajet memerlukan ‘trial and error’. Anak-anak tidak takut untuk mencuba pelbagai strategi untuk membuatkan gajet berfungsi walaupun mereka belum pandai membaca ‘instructions’. Anak-anak kecil juga didapati lebih kreatif dalam proses penyelesaian masalah dan menggunakan strategi yang berbeza berbanding orang yang lebih dewasa.
Selain itu mereka juga belum memahami sepenuhnya konsep ‘kesan’ dan ‘akibat’ (cause and effect) oleh itu mereka tidak terbatas oleh pemikiran-pemikiran negatif.
Jika beginilah sifat semulajadi anak-anak kecil, apakah yang boleh menyebabkan anak-anak ini hilang kecenderungan semulajadi itu dan menjadi takut melakukan kesilapan?
Apabila kanak-kanak takut melakukan kesilapan, pemikiran dan pembelajaran mereka tidak dioptimumkan. Mereka akan terdorong untuk sentiasa berada di zon selamat dan mengelakkan diri dari eksplorasi pemikiran dan pembelajaran.
Antara sebab-sebabnya ialah:
Apabila kanak-kanak semakin membesar, mereka semakin menyedari bahawa melakukan kesilapan sering dianggap sebagai satu kekurangan dan lebih buruk lagi sebagai satu ‘kebodohan’. Kanak-kanak kian takut melakukan kesilapan apabila ibu bapa dan guru kecewa dan marah apabila mereka melakukan kesilapan.
Kiranya ini berlaku, mereka akan mengaitkan kesilapan dengan ketakutan dan kegagalan. Bahagian otak yang berfungsi dalam proses ‘decision making’, ‘problem solving’, pemikiran kritis dan kreatif akan lebih aktif kiranya emosi kita tenang dan stabil. Adanya skima jawapan yang tidak menggalakkan jawapan dari pemikiran yang kritis dan berbeza dari orang lain menghalang kepelbagaian pemikiran.
Memang menjadi lumrah untuk semua ibu bapa mempunyai harapan dan impian terhadap anak-anak. Walau bagaimanapun, harapan yang tidak realistik dengan usia dan perkembangan anak memberikan tekanan yang besar terhadap anak.
Anak-anak sentiasa inginkan perhatian ibubapa. Harapan ibu bapa yang tidak dapat ditunaikan menyedihkan mereka dan meninggalkan kesan yang mendalam terhadap keyakinan diri seorang anak. Rendahnya keyakinan diri menyebabkan anak takut untuk keluar dari zon selamat.
Ada juga ibu bapa yang melakukan semua perkara untuk anak-anak kerana tidak yakin akan kebolehan anak dan tidak mahu mereka melakukan kesilapan. Ini memberi implikasi yang buruk terhadap persepsi anak-anak berkaitan ‘kesilapan’.
Semua anak memandang tinggi terhadap ibu bapa mereka. Untuk memotivasikan anak-anak, ada ibu bapa yang hanya menceritakan tentang kepandaian dan kejayaan mereka kepada anak-anak. Ibu bapa ini tidak pernah menyebut tentang kesilapan yang telah mereka lakukan sebagai manusia biasa. Mereka tidak pernah berkongsi kisah kesedihan dan kekecewaan yang mereka pernah lalui.
Apabila ini kaedah motivasi yang kita pilih, anak-anak takut untuk mencuba kerana bimbang tidak berjaya seperti ibu bapa yang dianggap hebat dan sempurna. Ini sudah cukup untuk membuatkan mereka takut melakukan kesilapan. Ceritakanlah juga tentang kesilapan dan kegagalan kita, emosi kita ketika itu dan bagaimana cara kita mengatasi dan bangkit dari kegagalan tersebut.
“Papa dan mama mahu anak-anak papa dan mama berjaya”. Itulah kata-kata semangat yang sering kita sebut.
Jikalau definisi berjaya yang dimaksudkan ibu bapa adalah mendapat nombor satu dan mendapat semua A dalam peperiksaan, adakah anak-anak gagal jika mereka tidak dapat menepati definisi kejayaan itu?
Adakah kita menilai usaha-usaha anak atau hanya hasilnya?
Jelaskan maksud kejayaan kepada anak-anak.
Jelaskan jika mereka belajar dari kesilapan, itu juga dianggap sebagai satu kejayaan. Sebagai seorang Muslim, jelaskan juga jika kesilapan yang anak lakukan akhirnya boleh mendekatkan diri kepada Allah SWT itu juga satu kejayaan.
Oleh itu biarlah anak-anak mencuba dan melakukan eksplorasi. Bimbinglah mereka dan berilah kata-kata semangat kepada mereka. Fokuskan pada usaha yang berterusan. Pantaulah supaya mereka berada dalam batas yang sepatutnya selagi tidak membantutkan perkembangan pemikiran dan pendidikan mereka.
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.