Oleh Alia Basirah • 2 Jul 2017 • 6 min baca
Nama sebenar beliau ialah Syed Muhammad Naquib ibn Ali ibni Abdullah ibn Muhsin Al-Attas. Anak kelahiran Bogor, Jawa Barat ini lahir pada 5 September 1931. Al-Attas sangat istimewa kerana salasilah keluarga beliau adalah hasil susur galur daripada Saidina Hussin, cucu Nabi Muhammad SAW.
Maka, tidak hairanlah ada di antara nenek moyangnya yang menjadi wali dan ulama. Sheikh Nuruddin Al-Raniri, adalah antara keturunannya yang pernah menjadi ulama terkemuka di alam Melayu.
Pada usia lima tahun, Syed Muhammad Naquib Al-Attas telah mendapat pendidikan awal di Sekolah Dasar Ngee Heng, Johor. Beliau belajar di sana kerana mempunyai ramai saudara di Johor.
Walaubagaimanapun, semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu, beliau terpaksa kembali ke Jawa dan meneruskan pendidikannya di Madrasah Al-Urwatu Al-Wuthqa, iaitu sebuah pusat pendidikan yang menggunakan Bahasa Arab sebagai bahasa pengantar.
Selepas perang dunia kedua tamat pada tahun 1946, Al-Attas kembali semula ke Johor untuk menyambung peringkat menengah di Sekolah Bukit Zahrah dan Kolej Inggeris (1946-1951). Sebaik sahaja tamat pendidikan menengah, Al-Attas telah dipilih oleh Jenderal Sir Gerald Templer, pegawai Tinggi British Malaya pada masa itu untuk mengikuti latihan ketenteraan di Sandhurst, England.
Selama di England, beliau memanfaatkan peluang sepenuhnya untuk memahami aspek-aspek yang mempengaruhi semangat dan gaya hidup masyarakat Inggeris. Al-Attas juga suka meneroka negara sekitar Eropah seperti Sepanyol dan Afrika Utara bagi mengenali tradisi intelektual, budaya bangsa dan senibina Islam.
Sebaik sahaja tamat latihan ketenteraan di England, beliau ditugaskan untuk menjadi pegawai di regimen Melayu yang ketika itu sibuk dengan aktiviti memerangi Komunis yang bersarang di hutan.
Namun, beliau tidak lama di situ. Kecintaannya yang mendalam terhadap dunia akademik telah mendorongnya untuk meninggalkan kerjaya tentera dan memilih Universiti Malaya bagi menyambung pengajian.
Pengalaman Al-Attas belajar di sekolah tentera bukanlah suatu yang merugikan. Segala unsur positif dalam latihan ketenteraan yang diterimanya seperti ketaatan, kesetiaan dan disiplin yang tinggi telah banyak membentuknya menjadi sarjana muslim yang hebat dalam dunia akademik.
Bintang sarjana ini mula menyinar sejak melangkah ke universiti. Semasa pengajian di peringkat ijazah, Al-Attas telah menulis dua buah buku ilmiah yang mencerminkan kecemerlangan intelektual beliau. Antara karya terulung nukilan Al-Attas berjudul “Some Aspect of Sufism as Understood and Practised Amongs the Malays”.
Kehebatan karyanya telah mendapat pengiktirafan oleh Kerajaan Kanada sehingga mereka menawarkan biasiswa kepada Al-Attas untuk menyambung pengajian pascasiswazah di Universiti McGill, Montreal di Kanada.
Bagaikan bulan jatuh ke riba, Al-Attas sangat gembira dengan tawaran itu. Di Kanada, beliau berpeluang mengenali pelbagai cendekiawan hebat antarabangsa seperti Fazlur Rahman (Pakistan), Sayyed Hussin Nasr (Iran) dan Sir Hamilton Gibb (Britain).
Pada tahun 1962, beliau berjaya bergraduat dengan penulisan tesisnya yang bertajuk “Raniri and the Wujudiyyah of 17th Century Acheh”. Selepas tamat pengajian sarjana, Al-Attas kemudiannya meneruskan pendidikan doktoralnya di Universiti London. Pengajiannya di peringkat pasca ijazah telah banyak mencorak dan membentuk permikiran beliau.
Walaubagaimanapun segala ilmu falsafah yang dipelajarinya dari luar negara sentiasa dinilai dan dikonseptualkan berdasarkan kaca mata Islam. Itulah kehebatan Al-Attas. Sepanjang belajar di barat, Al-Attas tetap aktif berdakwah dan sentiasa membetulkan pandangan negatif yang dilemparkan kepada Islam.
Antara perjuangan Al-Attas dalam dunia akademik adalah untuk mendaulatkan proses Islamisasi Ilmu. Beliau dan rakan seangkatannya iaitu Ismail Al-Faruqi dan Fazlur Rahman banyak mengingatkan dunia Islam terhadap krisis akademik yang melibatkan pertembungan antara ilmu barat dengan pandangan Islam.
Mereka berpendapat masalah dualisme (suatu keadaan di mana dua perkara berjalan seiring tetapi tidak wujud keserasian), dikotomi (pembahagian atau dua kelompok yang saling bertentangan), dan sekularisme(secara simplistik bermaksud pemisahan antara agama dan urusan dunia) dalam pendidikan umat Islam harus dipulihkan. Al-Attas dalam bukunya, “Aims and Objective of Islamic Education” menukilkan:
Islamisasi ilmu perlu dilakukan kerana ilmu yang disebarkan ke seluruh dunia bukanlah ilmu yang benar tetapi telah disalut dan dibauri oleh sifat dan peribadi kebudayaan barat
Al-Attas dan rakan seperjuangannya berpendapat sistem pendidikan moden umat Islam hari ini telah menciplak model sistem pendidikan barat atas faktor modenisasi. Namun, impaknya tidak berjaya menandingi kreativiti dan kehebatan barat.
Ini disebabkan umat Islam tidak membangunkan wawasan mereka sendiri terhadap diri, dunia dan realiti seperti yang dipunyai oleh barat. Bagi Al-Attas, fenomena ini banyak ditonjolkan oleh sikap umat Islam yang menerima pendidikan tinggi di universiti barat yang belajar bukan kerana motivasi Islam tetapi kerana material dan kepentingan diri.
Mereka tidak bersikap sepertimana para ilmuwan silam atau para leluhur mereka yang mempelajari sains dari Yunani, Parsi dan India tetapi kemudiannya telah mengislamisasikan ilmu-ilmu tersebut.
Pendekatan para leluhur umat Islam terhadap pengetahuan asing adalah berlandaskan iman. Natijahnya umat Islam berjaya menguasai apa sahaja yang dikuasai oleh tamadun gergasi pada waktu tersebut.
Pendekatan yang berlandaskan iman oleh generasi awal Islam terhadap ilmu dan tamadun asing inilah yang membezakan generasi mereka dengan generasi muslim di abad moden. Pendekatan generasi muslim abad moden terhadap ilmu pengetahuan barat tidak diadunkan dengan unsur keimanan.
Menurut Al Faruqi (rakan seperjuangan Al-attas), orang-orang Islam pergi ke barat ibarat peminta sedeqah yang rakus untuk makan. Secara semulajadinya, barat tidak akan memberi umat Islam anak kunci ilmu pengetahuan dan kuasa. Perkara ini merupakan satu ikrar barat untuk menjadikan umat Islam terus bergantung kepada mereka.
Kesedaran Al-Attas dan rakan seperjuangannya tentang islamisasi ilmu banyak dibincangkan dalam pelbagai persidangan antarabangsa. Contohnya Persidangan Dunia Pertama mengenai Pendidikan Islam yang diadakan di Mekah pada tahun 1977.
Dalam persidangan tersebut, Al-Attas telah mengutarakan gagasan pengislaman ilmu melalui kertas kerjanya yang bertajuk “Premilinary Thoughts on The Nature of Knowledge and The Definition and Aims of Education”.
Bagi memperjuangkan islamisasi ilmu di Malaysia, Al-Attas juga telah mengasaskan kampus Pusat Permikiran Islam dan Ketamadunan Antarabangsa (ISTAC) yang dibina di Kuala Lumpur pada tahun 1991. Institusi ini diharap mampu menjadi pusat perbincangan ilmiah untuk pemikir-pemikir akademik melakukan transformasi yang lebih baik dalam sistem pendidikan di Malaysia.
Sumbangan Professor Syed Muhammad Naquib Al-Attas terutamanya dalam menjayakan agenda islamisasi ilmu dalam pendidikan hakikatnya adalah bakti yang cukup besar terhadap dunia akademik umat Islam.
Walaupun ideanya mendapat reaksi negatif daripada sesetengah pihak, tidak pernah sekalipun beliau terlintas untuk berputus asa dalam perjuangannya. Semoga perjuangannya yang mulia ini akan terus diwarisi oleh pemikir-pemikir yang ingin menjulang Islam sebagai asas ketamadunan yang agung.
Rujukan: Wan Mohd Nor Wan Daud (2014). Falsafah dan Amalan Pendidikan Islam Syed M. Naquib Al-Attas
Nota editor: Al-Attas adalah gelaran atau singkatan yang penulis gunakan mewakili Syed Muhammad Naquib Al-Attas
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.