Dalam pengertian syarak, iktikaf bermaksud berada dalam masjid dengan niat tertentu. Hukum bagi ibadah ini adalah sunat muakkad dan sunat untuk beriktikaf pada setiap waktu. Iktikaf boleh dilakukan pada bila-bila masa, sama ada di bulan Ramadan mahupun pada bulan-bulan lain.
Tetapi ianya lebih dituntut dan afdal jika dilakukan pada 10 malam terakhir Ramadan kerana fadhilat pada bulan tersebut lebih banyak berbanding waktu lain. Firman Allah:
“Bagi sesiapa yang beriktikaf sehari semalam atau lebih hendaklah memulakan iktikaf itu (di masjid) sebelum matahari terbenam dan keluar daripada masjid setelah masuk matahari hari berikutnya.”(Kitab al-Majmuk: Jilid 6, muka surat 483)
Iktikaf juga merupakan ibadah yang mempunyai kelebihan dan hikmat tertentu. Antaranya:
Iktikaf merupakan perbuatan yang dapat membersihkan hati daripada perkara-perkara tercela. Selain itu, amalan ini juga membuatkan seseorang itu menyerahkan sepenuh dirinya untuk beribadah kepada Allah. Iktikaf juga dapat menjauhkan diri daripada kesibukan dan tipu daya dunia.
Dengan beriktikaf kepada Allah SWT, seseorang itu akan mengelakkan dirinya dari melakukan dosa, kecuaian, maksiat dan pelbagai tindakan tidak berfaedah lain kerana masanya itu digunakan untuk beriktikaf. Lalu, disebabkan iktikaf seseorang itu akan terpelihara dan terselamat dari keadaan tersebut.
Iktikaf juga merupakan salah satu sunnah Rasulullah dan merupakan ibadah yang tidak pernah ditinggalkan sepanjang hidup Baginda. Dalam sebuah hadis yang bermaksud:
“Daripada Aisyah ra, isteri Nabi SAW, bahawa sesungguhnya Nabi SAW pada 10 hari terakhir bulan Ramadan. Baginda melakukan amalan iktikaf tersebut sehingga Baginda wafat. Kemudian para isteri Baginda meneruskan amalan iktikaf selepas itu.”(Hadis Riwayat al-Bukhari)
Selain itu, iktikaf juga telah menjadi amalan bagi para nabi yang terdahulu sebelum Rasulullah SAW. Dalam firman Allah SWT:
“Dan kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail (dengan berfirman): ‘Bersihkanlah RumahKu (Kaabah dan Masjid al-Haram dari segala perkara yang dilarang) untuk orang-orang yang bertawaf dan orang-orang yang beritikaf (yang tetap tinggal padanya) dan orang-orang yang rukuk dan sujud”(Al- Baqarah: 125)
Allah SWT juga menjanjikan habuan dan ganjaran yang sangat istimewa untuk para hambaNya yang meninggalkan dunia dan beriktikaf. Bukan sahaja balasan syurga, tetapi hadiah yang istimewa pula di syurga kelak. Imam Al-Khatib dan Ibnu Syahin meriwayatkan hadits dari Tsauban ra meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Barang siapa yang beriktikaf antara Maghrib dan Isyak di masjid, dengan tidak berbicara kecuali solat dan membaca al-Quran, maka Allah berhak membangunkan untuknya istana di syurga.”
Pahala sehari beriktikaf adalah Allah SWT akan menghadangnya dengan api neraka jahanam dengan tiga parit, dan setiap satu parit begitu besar, seluas alam ini. Selagi hari iktikafnya bertambah, sebanyak itulah ganjarannya juga akan bertambah. Dari Ibnu Abbas ra:
“Barang siapa beriktikaf satu hari kerana mengharap keredaan Allah, Allah akan menjadikan jarak antara dirinya dengan api neraka sejauh tiga parit, setiap parit sejauh jarak timur dan barat.”(Hadis Riwayat Thabrani dan Baihaqi)
Iktikaf ini juga disamakan dengan waktu bertenang dan bertafakur. Apabila diri jauh daripada kegiatan atau aktiviti-aktiviti keduniaan hati akan menjadi tenang dan tidak terlalu memikirkan masalah dunia yang dihadapi.
Apatah lagi jika iktikaf yang dilakukan pada bulan puasa, pasti akan bertambah hampir dengan Allah SWT, kerana keberkatan bulan tersebut.
Rupa-rupanya sangat besar ganjaran dan pahala yang diberikan Allah SWT kepada golongan hambaNya yang melakukan iktikaf. Namun ada dalam kalangan kita yang hanya melihat ibadah ini sebagai ringan dan amalan remeh-temeh.
Oleh itu, perbanyakkanlah ibadah ini di samping mendirikan solat sunat, berzikir, beristighfar, berselawat, membaca Al-Quran atau apa-apa sahaja amalan yang mendekatkan diri kepada Allah. Semoga iktikaf kita diterima oleh Allah SWT dalam meraih ganjarannya, Amin.
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.