Tokoh

Ibn Khaldun: Pakar Sains Sosial Muslim

Oleh Anas  •  24 Jun 2017  •  3 min baca

Ibn Khaldun atau nama sebenarnya Abd al-Rahman Ibn Mohammad dilahirkan pada tahun 1332 C.E di Tunisia. Kedua-dua ibu bapanya merupakan Arab Yaman yang sudah pun menetap di Sepanyol tetapi berhijrah ke Tunisia selepas kejatuhan Seville.

Pendidikan awal Ibn Khaldun bermula di Tunisia sehinggalah usia beliau menginjak remaja. Selepas itu beliau berkhidmat di bawah pemerintah Mesir iaitu Sultan Barquq.

Kemudian Ibn Khaldun berpindah pula ke Fez. Perpindahan ini adalah kerana keinginannya terhadap ilmu dan suasana ilmu yang lebih baik.

Malangnya, berlaku pergolakan politik yang memberi kesan kepada kerjayanya. Antara kesan daripada pergolakan itu adalah beliau terpaksa mendapatkan perlindungan di sebuah perkampungan kecil di Algeria.

Tapi, hikmahnya Ibn Khaldun mendapat peluang untuk menulis siri pertama buku beliau mengenai sejarah dunia iaitu Muqaddimah.

Masa depan kerjayanya masih kabur semasa di Algeria. Akhirnya beliau tinggal di Mesir. Namun, di sinilah impiannya menjadi kenyataan. Namanya masyhur dan dia mendapat kehormatan.

Ibn Khaldun dilantik menjadi Ketua Hakim Malakite dan juga menjadi tenaga pengajar di Universiti Al-Azhar. 24 tahun usianya dihabiskan di sana.

Dalam tempoh itu dia tetap menghadapi dugaan besar yang memberi kesan kepada kerjayanya. Beliau pernah 5 kali dibuang daripada jawatannya.

Sumbangan utama Ibn Khaldun terletak pada falsafah sejarah dan sosiologi. Buku untuk siri pertama beliau iaitu Muqaddimah yang ditulis beliau sebelum ini adalah mengenai analisa kepada pertistiwa-peristiwa bersejarah.

Bagi para pemikir moden, Muqaddimah merupakan buku pertama yang berbicara mengenai falsafah sejarah, sosiologi, demografi, sejarah budaya dan pelbagai lagi cabang sains.

Ia menekankan tentang langkah mengenalpasti fakta-fakta psikologi, ekonomi, persekitaran dan sosial yang menyumbang kepada perkembangan tamadun manusia dan sejarah semasa.

Buku Muqaddimah juga dikenali kerana konsep ‘asabiyyah’ yang dinyatakan di dalamnya. Pada masa kini, ia dikenali sebagai ‘nasionalisme’. Konsep inilah yang dibincangkan dalam Muqaddimah bagi mengkaji jatuh bangun sesebuah tamadun.

Kaedah Ibn Khaldun ini adalah sesuatu yang baru memandangkan pengkaji sejarah sebelum itu menterjemah sejarah melalui konteks politik.

Sebaliknya, Ibn Khaldun melihat kepada ruang yang lebih luas iaitu dengan menekankan sisi persekitaran, sosiologi, psikologi dan faktor ekonomi. Apa yang dilakukan oleh Ibn Khaldun ini adalah suatu revolusi di dalam sains sejarah dan juga merupakan asas kepada sosiologi.

Kaedah yang digunakan Ibn Khaldun juga menjadi persediaan asas kepada pemerhatian terhadap peranan negeri, komunikasi, propaganda dan kecenderungan dalam sejarah.

Kitab al-Ibar merupakan siri keduanya selepas Muqaddimah. Sebagaimana kehebatan buku yang pertama, buku yang kedua ini pula menerangkan tentang sejarah Arab, pemerintah Muslim kontemporari, pemerintah Eropah kontemporari, sejarah kuno Arab, sejarah Mesir, dan sejarah Afrika Utara terutama Berber dan puak yang tinggal di lokasi berhampiran.

Siri yang terakhir pula meliputi peristiwa-peristiwa yang berlaku di dalam hidup Ibn Khaldun sendiri dan dikenali sebagai Al-Tasrif. Ia kemudian menjadi satu cara baru dalam seni menulis autobiografi.

Sebagaimana tokoh-tokoh cendekiawan Islam yang lain, karya-karya Ibn Khaldun juga telah diterjemahkan ke dalam banyak bahasa asing sama ada di Timur dan juga di Barat.

Ramai ahli sains percaya yang sains sosial tidak akan mencapai tahap yang kita miliki pada masa kini tanpa adanya pemikiran Ibn Khaldun.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Anas

Seorang penulis yang suka bereksperimentasi dengan pelbagai bidang dalam penulisan. Pernah menulis buku kanak-kanak dan juga majalah.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami