Tokoh

Abu Bakar As-Siddiq: Peneman Sejati Di Gua Tsur

Oleh Rabiatul Adaweeyah  •  13 Jun 2017  •  7 min baca

Hijrah. Kerana kekejaman dan penganiayaan terhadap umat Islam yang semakin melampau, Rasulullah SAW mengajak umat Islam untuk berpindah ke Madinah. Setelah sebahagian besar umat Islam berhijrah, Rasulullah juga berhijrah selepas terselamat daripada dibunuh di rumah Baginda.

Sebelum fajar menjengah, Rasulullah dan peneman akrabnya Abu Bakar as-Siddiq meninggalkan kota itu untuk menuju ke Madinah. Dalam perjalanan, mereka memlilih berhenti berehat dan bersembunyi di Gua Tsur atas petunjuk Allah SWT melalui malaikat Jibril.

Sebelum Rasulullah SAW masuk ke dalam gua itu, Abu Bakar masuk terlebih dahulu dan menutup lubang-lubang untuk memastikan tempat itu sesuai untuk mereka berteduh. Setelah dirasa segalanya baik, Abu Bakar mempersilakan Rasulullah untuk masuk ke dalam gua itu.

Sementara itu, kaum kafir Quraisy yang sedar akan ketiadaan Rasulullah di Madinah segera memburu dan mengejar Baginda. Sesiapa yang berjaya menangkap dan membawa pulang Nabi Muhammad akan dihadiahkan dengan 100 ekor unta.

Lalu pasukan Quraisy berpecah untuk mencari Rasullah di merata tempat. Mereka bersungguh-sungguh mencari Rasululah demi mendapatkan hadiah yang lumayan itu, selain niat utama untuk membunuh Baginda dan membantutkan penyebaran Islam.

Orang-orang kafir Quraisy itu sangat kecewa kerana mereka tidak menemui Rasulullah, sehinggalah mereka tiba di hadapan pintu gua dan tercari-cari jika terdapat Nabi Muhammad di kawasan itu.

Manakala melalui celahan batu, Abu Bakar dapat melihat orang orang-orang Quraisy di luar gua, beliau sangat gusar dan bimbang jika mereka menemui Rasulullah di situ dan menangkap Baginda. Beliau sangat sayang pada Nabi Muhammad dan akan sedaya upaya melindungi Rasulullah SAW. Abu Bakar berkata,

“Ya Rasulullah, jika mereka menundukkan kepala ke bawah, pasti mereka akan ternampak kita.”

Lalu ditenangkan sahabatnya itu oleh Rasulullah dengan berkata;

“Wahai Abu Bakar, janganlah engkau menganggap hanya kita berdua di sini. Sesungguhnya kita bertiga, dan yang ketiga adalah Dia, yang menggenggam kekuasaan Maha Allah SWT.”

Mendengarkan kata-kata itu, serta merta Abu Bakar menjadi tenang dan hilang segala kebimbangan hatinya. Sebenarnya, Abu Bakar tidak sesekali takut akan kematian dirinya sendiri, tetapi yang dirisaukan adalah keselamatan kekasih hatinya iaitu Nabi Muhammad SAW yang berada di sisinya kini.

Tidak dapat dia membayangkan jika Madinah tanpa purnama itu. Dia sangat bimbang akan apa-apa kejadian yang menimpa Rasulullah SAW. Sungguh tinggi kasih sayang lelaki itu kepada Nabi Muhammad SAW.

Tidak lama kemudian, tibalah para kaum Quraish yang mengejar Baginda di hadapan pintu gua, namun kedengaran mereka berkata-kata;

“Di sini terdapat ada dua merpati liar, mungkin ada seseorang di dalamnya.”

Pada masa yang sama Rasulullah SAW dan Abu Bakar mendengar jelas perbincangan mereka. Mengertilah mereka bahawa Allah telah menurunkan perlindungan kepada mereka. Terdapat suara dalam kalangan mereka yang mencadangkan,

“Kita masuk saja ke dalam gua itu.”

“Mengapa kita perlu masuk gua ini? Di sana pun ada labah-labah dan sarangnya yang lebih tua sebelum lahirnya Muhammad itu. Jika Muhammad memasuki gua itu sudah tentulah telur dan sarangnya sudah pecah.” Bantah suara yang lain.

Ternyata dengan kekuasaan dan kebesaran Allah SWT, ketika Baginda SAW masuk ke gua bersama Abu Bakar, Allah telah menumbuhkan pohon untuk menghalangi orang-orang kafir itu melihat gua. Kemudian Allah SWT memerintahkan seekor labah-labah untuk membuat sarangnya di hadapan pintu masuk gua, lalu mengutus dua ekor merpati liar untuk singgah dan membuat sarang juga di situ.

Lalu, tanpa memasuki gua itu, kumpulan kafir Quraisy yang mengejar Baginda terus menuruni bukit dan pulang dengan perasaan yang penuh hampa. Manakala di dalam gua, dua sahabat itu melahirkan rasa syukur yang tinggi atas pertolongan Allah SWT. Lalu mereka bersepakat untuk bergantian berjaga.

Dalam tidurnya, Nabi Muhammad SAW melabuhkan kepalanya di pangkuan riba Abu Bakar. Abu Bakar memangku Baginda dengan penuh kelembutan. Beliau sangat gembira dan berbesar hati dapat memangku insan mulia itu. Abu Bakar juga sangat berhati-hati andai Rasulullah terjaga dari tidurnya yang nyenyak, sehinggakan langsung tidak bergerak dan dengan rela menahan lenguh demi insan tercinta itu.

Wajah Baginda yang mulia dan suci itu ditatap lama-lama dengan penuh kasih sayang yang tiada bandingnya. Abu Bakar seolah-olah terpesona melihat Rasulullah SAW yang sedang ketiduran seumpama bayi bersama haruman yang keluar dari tubuh Baginda. Beliau seolah-olah ingin berkeadaan begitu selamanya kerana berasa sangat tenang meriba Rasululalh SAW.

Sesekali Abu Bakar berasa sedih mengingatkan perlakuan kaum Qurasiy terhadap Baginda. Beliau juga begitu kesal dengan kezaliman dan gangguan mereka terhadap insan mulia yang mendamaikan itu.

Tiba-tiba ketenangan Abu Bakar terganggu apabila ternampak seekor ular berdesis dan mendekati kakinya. Abu Bakar ingin menarik kakinya untuk mengelak daripada ular itu, namun jika beliau berbuat begitu pasti akan mengejutkan Rasulullah SAW daripada tidur yang nyaman di ribaannya.

Lalu Abu Bakar hanya membiarkan saat ular itu menggigit pergelangan kakinya, beliau tidak berbuat apa-apa malah tidak berganjak sedikit pun. Abu Bakar hanya menahan kesakitan yang luar biasa itu daripada mengejutkan lena Rasulullah, sehinggalah ular itu melepaskan kakinya dan berlalu pergi.

Dengan serta merta, bisa ular menjalar dan Abu Bakar mulai berasa sakit di keseluruhan kaki dan anggota badannya. Kala ini Abu Bakar sudah tidak dapat menahan kesakitannya, dia mulai menangis dengan sangat perlahan untuk mengelakkan Rasulullah dari tersedar.

Namun tanpa sengaja, air mata kesakitan itu menitis mengenai pipi Rasulullah lalu membuatkan Baginda terjaga. Serta merta Abu Bakar menyeka air matanya dan berhenti menangis. Beliau sangat kesal kerana tangisannya itu telah membuatkan kekasih hatinya terjaga dari tidurnya.

“Wahai sahabatku Abu Bakar, adakah kau menyesal kerana mengikut perjalanan ini?” Tanya Rasulullah SAW apabila melihat Abu Bakar menahan tangisnya.

“Wahai Rasullah, tentu saja tidak. Aku sangat ikhlas untuk mengikutimu ke mana-mana sahaja.” Jawab Abu Bakar dengan yakin.

“Jadi, mengapakah engkau mengalirkan air mata wahai sahabatku?” tanya Baginda lagi.

“Wahai Rasulullah, ada seekor ular yang baru sahaja menggigitku dan bisanya sangat cepat meresapi tubuhku ini.” Jawab Abu Bakar sambil menahan sakitnya.

“Lalu mengapakah kau tidak menjauhi ular itu.” Tanya Rasulullah SAW lagi dengan hairan.

“Wahai Rasulullah, aku bimbang jika aku mengelaknya ia akan menganggu tidurmu.” Abu Bakar berasa sungguh kesal dengan dirinya yang membuatkan Rasululalh SAW terjaga.

“Sesunguhnya aku sangat berbahagia memiliki sahabat sepertimu wahai putera Abu Quhafah. Allah jua pemberi sebaik-baik balasan.”

Lalu Baginda SAW mendekati pergelangan kaki Abu Bakar dan menyebut nama Allah SWT, Baginda mengusap bekas gigitan ular itu dengan ludahnya dan serta merta sakit yang dirasai oleh Abu Bakar menghilang.

Abu Bakar menarik kakinya daripada Rasulullah lantaran malu dengan kekasihnya itu. Namun, Baginda tetap menatap Abu Bakar dengan rasa cinta sepertimana Abu Bakar mencintainya.

Kemudian, giliran Nabi Muhammad SAW pula untuk berjaga dan Abu Bakar pula berehat. Rasulullah SAW menawarkan ribanya untuk Abu Bakar, namun sesekali Abu Bakar tidak sesekali mahu membebankan kekasihnya yang penuh kemuliaan itu.

Di gua yang berada di Jabal Tsur yang kering dan hening itu itulah Rasulullah SAW dan Abu Bakar berlindung selama tiga hari tiga malam, sebelum kedua-dua sahabat itu meneruskan perjalan suci mereka ke kota bercahaya.

Oleh itu, tidak mustahillah Abu Bakar sangat istimewa bagi Rasulullah SAW. Dan disebabkan itulah Baginda memilihnya sebagai orang paling layak untuk mendampingi Baginda dalam penghijrahan ini (dari Mekah ke Madinah).

Dalam perjalanan ini Abu Bakar sangat menjaga dan memuliakan Baginda sehinggakan beliau seolah-olah tidak pernah letih dengan perjalanan itu. Dengan itu Abu Bakar merupakan manusia paling tinggi martabatnya dalam kalangan para sahabat Rasulullah SAW, sehinggakan baginda SAW pernah menyampaikan berita gembira mengenai kedudukan yang utama di antara para penghuni syurga.

“Nama Abu Bakar akan diseru dari segenap pintu syurga dan dialah pengikutku yang pertama akan memasukinya.”

RUJUKAN:
1. Muhammad Suhair Asyaraf (2015) Bercinta Dengan Rasulullah Seolah-Olah Kamu Melihatnya.Hijjaz Record Publishing: Petaling Jaya.
2. Abul Fida’ Ismail bin Umar Ibnu Katsir Al Qurasyi. (2009) Al Fushul fi Sirah Ar Rasul: Juz I (Cet. III). Kuwait: Ghuras.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Rabiatul Adaweeyah

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Malaya dalam Pengkhususan Pengajian Media Dan Sejarah. Sekarang bertugas sebagai Editor di sebuah syarikat penerbitan buku.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami