Tokoh

Nouman Ali Khan: Pendakwah Yang Berjaya Mencuri Perhatian Ummah

Oleh Rabiatul Adaweeyah  •  9 Jun 2017  •  3 min baca

Nouman Ali Khan lahir pada 4 Mei 1978 di Berlin, Jerman dan berketurunan Pakistan. Beliau merupakan seorang penceramah Islam yang terkenal di Amerika Syarikat dan juga pengasas kepada Institut Bayyinah (The Bayyinah Institute for Arabic and Quranic) yang berpusat di Amerika Syarikat.

Sebagai anak kepada seorang diplomat, Nouman Ali Khan sering berpindah-pindah negara. Beliau menceritakan semasa kecilnya, beliau tidak terlalu bersungguh dalam menjalani tuntutan agama.

Dengan itu, beliau juga tidak pernah belajar bahasa Arab, tidak pernah belajar tajwid, tidak pernah menghafal al-Quran dan hanya belajar beberapa surah al-Quran semasa kanak-kanaknya.

Nouman Ali Khan menghabiskan usia kecilnya di Jerman, termasuk menjalani pendidikan formal dengan bahasa Jerman. Kemudian beliau bersekolah di Arab Saudi.

Namun sekolah yang dimasukinya adalah sekolah Pakistan yang berbahasa Urdu. Pun begitu, beliau cemerlang dalam akademiknya dan terpilih sebagai penerima biasiswa dalam kalangan 10 pelajar terbaik pada tahun1993.

Beliau juga pernah mengikuti ayahnya berpindah ke Amerika Syarikat dan sempat bersekolah di New York. Oleh itu, beliau banyak bergaul dengan rakan-rakanya yang bukan beragama Islam, dan hanya kembali mengenali Islam ketika berusia 19 tahun di New York.

Pada mulanya, Nouman Ali Khan menerima banyak pendapat dan pengalaman dari pelbagai golongan dan kelompok. Antaranya, ada yang berkata bahawa mempelajari al-Quran adalah tidak penting kerana itu hanyalah untuk golongan ulama sahaja. Ada juga yang meminta beliau tumpukan kepada rukun Islam sahaja dan mengikuti pandangan para ulama.

Tidak berapa lama kemudian, Nouman Ali Khan mengikuti sebuah komuniti yang gemar berdebat tentang agama Islam dengan golongan bukan Muslim, iaitu Allah dijadikan sebagai subjek utama dalam perdebatan itu.

Sekitar dua tahun beliau terlibat dalam pemikiran dan cara menyelamatkan umat Islam dari perbezaan akidah, beliau masih berasakan semua itu tidak menjadikannya seorang Muslim yang baik.

Beliau berasakan tidak dekat dengan Allah s.w.t, tidak berasakan cinta Allah, tidak mendapat bimbingan Allah serta rahmat-Nya, serta masih terasa jauh dengan Allah s.w.t.

Suatu hari dalam tahun 1999 di Amerika syarikat, beliau diajak oleh temannya untuk mengikuti sebuah program dari Dr. Abdus Samie, seorang ahli Quran yang mengajarkan cara terjemah dan menjelaskan al-Quran dalam bahasa Urdu.

Program inilah menjadi titik pemula Nouman Ali Khan mula mencintai al-Quran, sehingga kembali menghafal al-Quran dan menghilangkan minatnya dalam perdebatan agama.

Melalui Dr.Abdus Samie juga Nouman Ali Khan betul-betul meningkatkan penguasaan dalam bahasa Arab secara serius dengan kelas bahasa Arabnya yang mengagumkan.

Minat beliau untuk mengajarkan al-Quran juga semakin mendalam dan sering memberikan kuliah bahasa Arab selain berceramah di pelbagai tempat.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai pensyarah bahasa Arab di Nassau Community College sehingga tahun 2006 dan telah berjaya mengajar bahasa Arab Moden dan Tradisional di pelbagai tempat selama hamper tujuh tahun.

Nouman Ali Khan berjaya menarik perhatian masyarakat dunia Islam dengan tema dakwahnya yang menggunakan pandangan linguistik al-Quran. Beliau juga pernah beberapa kali dijemput ke Malaysia untuk menyampaikan ceramah beliau tentang al-Quran dan isu-isu lain.

Kini namanya juga sudah dikenali sebagai penceramah dan mempunyai pengikutnya yang tersendiri di negara ini. Syarahannya boleh ditonton di laman internet dengan pelbagai pengajaran dan ilmu yang boleh didapati.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Rabiatul Adaweeyah

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Malaya dalam Pengkhususan Pengajian Media Dan Sejarah. Sekarang bertugas sebagai Editor di sebuah syarikat penerbitan buku.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami