Oleh Rabiatul Adaweeyah • 16 Apr 2017 • 4 min baca
Perang Tabuk merupakan peristiwa penting dalam sejarah dan penyebaran agama Islam. Perang Tabuk juga menjadi peperangan terakhir yang dipimpin dan diikuti oleh Rasulullah SAW yang berlaku pada tahun 630 Masihi atau 9 Hijrah, antara tentera Muslim dengan pasukan Rom (Romawi Timur).
Dalam peristiwa ini, Rasulullah SAW memimpin 30,000 tentera Muslim yang menjadi pasukan teramai dalam sejarah peperangan pasukan Islam, demi melawan 100,000 tentera Rom.
Perang ini sebenarnya memberi banyak pengajaran kepada kaum Muslimin, iaitu tentang pengorbanan, kebersamaan dan ujian keimanan kepada umat Islam ketika itu.
Sebaik sahaja mendengar tentang serangan pasukan Rom, Rasulullah segera menyeru semua kabilah agar bersiap-siap menghadapi pasukan musuh itu. Baginda juga meminta golongan kaya menyumbangkan harta mereka untuk persiapan perang tersebut.
Ada yang menyambut seruan Baginda dengan gembira kerana keimanan mereka yang begitu mendalam dan cintakan jihad kerana Allah. Uthman bin Affan menyediakan 900 unta, 100 kuda dan 1,000 dinar.
Abdurahman bin Auf mendermakan 200 uqiyah perak, yang satu uqiyah sama dengan 40 dirham. Selain itu, Umar al- Khattab pula menyumbang setengah hartanya dan Abu Bakar memberikan semua hartanya.
Namun, ada golongan yang sangat takut, gusar dan ragu-ragu dengan ajakan Baginda SAW. Ada yang memberi pelbagai alasan dan mencemuh ajakan itu. Tidak kurang yang menghalang umat Islam lain menyertai peperangan itu. Bahkan ada yang berterus terang menolak ajakan Baginda.
Rasulullah SAW sedar akan hal tersebut dan sangat bimbang lebih ramai penduduk Islam yang terpengaruh. Baginda SAW mengambil tindakan tegas dengan mengutuskan Talhah bin Ubaidillah menghadapi mereka. Lalu, rumah seorang Yahudi bernama Sulaim yang menjadi tempat kaum munafik berkumpul dibakar.
Dengan itu, provokasi terhadap Rasulullah sedikit berkurangan dan semakin ramai umat Islam yang menyumbangkan harta mereka selain berebut-rebut untuk ikut serta dalam peperangan itu.
Sehinggakan ada golongan yang tidak mampu dan tidak ada kenderaan terpaksa ditinggalkan. Mereka pulang dengan penuh kesedihan dan tangisan kerana tidak mampu menyumbang apa-apa dan digelarkan sebagai ‘al-Bakka’un’(orang-orang yang menangis).
Baginda bersabda,
“Dalam hal ini, aku tidak mendapat kenderaan yang dapat membawa kalian.”
Rasulullah SAW dan pasukan Islam meninggalkan Madinah menuju Tabuk yang terletak 800 km dari kota Madinah dan memakan masa 20 hari perjalanan. Perjalanan menuju ke hujung semenanjung itu juga sangat sukar ditambah dengan kekurangan makanan dan minuman.
Mereka juga terpaksa melalui padang pasir yang sangat panas, sehinggakan mereka ini dijuluki sebagai ‘Jaisyul Usrah’ yang bermaksud ‘pasukan yang dalam kesulitan’.
Sebaik sahaja sampai di daerah Tabuk, Rasulullah SAW tidak menemukan seorang pun kaum musyrikin, ini kerana pasukan Rom sangat takut dengan ketibaan pasukan Muslimin.
Walaupun pihak musuh tidak muncul, Rasulullah SAW tidak terus pulang ke Madinah. Baginda tinggal di Tabuk selama 10 hari di samping menemui para kabilah di sekitarnya dan menyebarkan ajaran Islam.
Kemudian, Rasulullah dikunjungi Yuhanah bin Rubbah dari Ailah dan menawarkan perdamaian dengan Baginda selain menyerahkan jizyah. Rasulullah menulis surat perjanjian dan diberikan kepada Yuhanah. Maka peperangan tidak terjadi.
Setelah 30 hari meninggalkan Madinah, akhirnya tentera Islam kembali ke Madinah tanpa sedikit pun pertumpahan darah.
Sepeninggalan Rasulullah ke Tabuk, di Madinah pula sedang bergejolak. Seorang tokoh dari Khazraj yang bernama Abu Amir ar-Rahib berazam memecah-belahkan umat Islam. Sebelum Rasulullah SAW tiba di Madinah dahulu, dia mempunyai kedudukan mulia di kalangan orang-orang Khazraj. Namun selepas kehadiran Rasulullah SAW, dia tidak lagi dianggap sebagai orang penting.
Lalu, untuk mengembalikan kedudukannya dia mengambil kesempatan itu dengan membina sebuah masjid berdekatan Masjid Quba. Tujuannya adalah untuk memecah-belahkan orang Islam dengan ada dua masjid di tempat yang berdekatan.
Namun, sebaik sahaja Rasulullah tiba di Madinah, masjid ini dihancurkan oleh Baginda. Sebanyak 80 orang kaum Muslim yang tidak ikut perang memohon keampunan Rasulullah. Semua mereka dimaafkan kecuali tiga yang ditangguhkan iaitu; Kaab bin Malik, Murarah bin Ar-Rabi dan Hilal bin Ummayah.
Mereka bertiga ‘didiamkan’ selama 50 malam dan mereka akur menerima hukuman itu. Dalam pengasingan itu, mereka seolah dipulaukan. Sehinggakan Rasulullah SAW pun hanya menjawab salam Ka’ab bin Malik dan kemudiannya memalingkan wajah ketika bertemu.
Setelah 40 hari, hukuman mereka adalah lebih berat dengan larangan mendekati isteri mereka selama 10 hari. Pada hari ke-50, Rasulullah SAW mengumumkan penerimaan taubat mereka bertiga.
Jadi, Tabuk adalah tentang perang pengorbanan dan pentingnya bersatu padu. Pengajaran ini sangat penting untuk terus dipegang oleh umat Islam sehingga bila-bila pun, bahawa musuh Islam sentiasa mencari peluang untuk menjatuhkan Islam walau di mana-mana pun.
Selain itu, umat Islam harus sedar akan bahayanya sifat munafik jika tidak terus dibenteras. Ianya diibaratkan seperti kuman yang boleh tersebar tanpa disedari dengan kesan yang sangat buruk.
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.