Oleh Rabiatul Adaweeyah • 19 Mar 2017 • 5 min baca
Cat Stevens atau Stephen Demetre Georgiou lahir di London pada 21 Julai 1948. Beliau merupakan seorang penyanyi terkenal di era 70-an. Album lagunya pernah terjual sebanyak 40 juta salinan antara tahun 1960-1970.
Cat Stevens atau nama Islamnya Yusuf Islam sangat terkenal dengan beberapa lagu seperti, Father and Son, Peace Train dan Morning Has Broken. Beliau pernah menceritakan detik-detik seawal beliau memeluk Islam;
Saya lahir dalam dunia yang sudah moden dan berkemampuan memiliki apa saja. Saya lahir sebagai seorang Kristian dalam keluarga Kristian.
Ketika melihat patung Jesus, saya berfikir ia hanyalah batu, tidak hidup. Dan ketika ajaran Kristian mengatakan bahawa Tuhan ada tiga, hati saya hairan dan bertanya-tanya. Namun saya tidak mampu berbahas mengenainya. Saya tetap cuba menyakinkan diri untuk lebih kuat percaya kepada agama itu.
Tetapi semakin lama, saya semakin jauh dari agama saya. Saya mulai bermain muzik dan bermimpi menjadi penyanyi ternama. Babak-babak dalam filem yang saya tonton sangat mempengaruhi saya dan mula berfikir bahawa wang adalah tuhan. Orang-orang di sekeliling saya juga mempengaruhi saya untuk menganggap bahawa dunia ini sebagai tuhan.
Saya terus menetapkan bahawa inilah hidup saya, iaitu untuk mendapatkan wang sebanyak-banyaknya bagi menjamin kemewahan hidup. Mulai hari itu bidang nyayian menjadi tumpuan utama saya.
Saya mulai mencipta lagu, ada yang bertemakan kemanusiaan; niat saya untuk membantu golongan yang kurang mampu jika saya kaya nanti.
Tidak lama kemudian, mimpi saya termakbul dan saya menjadi penyanyi yang dikenali. Ketika itu usia saya masih muda tetapi gambar saya sudah ditampal di merata-rata media. Saya menjadi sangat bangga dengan diri sendiri dan mahukan lebih kejayaan. Pada masa yang sama saya seorang pemabuk dan peminum arak yang tegar.
Semakin saya banyak wang, semakin saya menjadi pemabuk yang kian tegar. Sehinggakan suatu hari saya jatuh sakit dan dimasukkan ke hospital. Ketika sedar saya mulai berfikir, apa yang terjadi pada diri saya? Kenapa saya sakit dan berada di hospital? Apa tujuan saya hidup?
Saya mulai mencari jawapan, dan hati saya berkata semua ini adalah kebaikan yang tuhan berikan kepada saya, lalu saya terus berterusan mencari jawapan dan mulai membaca buku-buku tentang kematian. Saya sedar roh yang keluar tak boleh dikembaliakn. Saya mulai melakukan meditasi, bahkan saya menjadi seorang vegetarian.
Suatu hari, saya berjalan kaki dan tiba-tiba hujan. Saya berlari ke suatu tempat untuk berteduh, saya sedar tubuh saya telah basah. Lalu membuatkan saya berfikir bahawa tubuh manusia bagaikan seekor keldai, harus diajar untuk pergi ke mana-mana. Jika tidak, ia akan membawa tubuh itu ke mana pun yang ia suka.
Saya mulai mencipta muzik lagi dan mencipta lagu berdasarkan lintasan hati saya. Kali ini lagu-lagu saya lebih bermakna dan digemari. Antaranya, The Way to Find God Out yang membuatkan saya semakin terkenal dan kaya.
Padahal pada masa sama saya ingin mencari kebenaran. Pernah terlintas di fikiran untuk mempelajari ajaran Buddha yang mengasing diri, namun saya masih belum bersedia untuk meninggalkan dunia dan asing dari masyarakat.
Saya pernah cuba mendalami Zen dan Ching, Numerology, Astrologi dan beberapa lagi agama dan fahaman. Saya juga mengkaji dan mengamalkan Injil kembali, namun tidak menemukan apa yang saya cari dan mahu. Ketika itu saya tidak tahu apa-apa tentang Islam.
Suatu hari, saudara saya baru pulang dari Baitulmaqdis, beliau sangat terkesan dengan masjid. Katanya, tidak seperti gereja dan sinagog, masjid memberinya kedamaian dan ketenangan.
Dia datang ke London dan memberikan saya sebuah al-Quran terjemahan. Dia tidak memeluk Islam, tapi merasakan sesuatu yang berbeza dengan Islam dan saya berfikir mungkin saya akan mendapat ketenangan itu juga.
Ketika saya menerima kitab al-Quran, saya sedar ini agama yang benar, agama yang bukan seperti penilaian Barat, bukan agama untuk orang-orang tua. Dan hal pertama yang ingin saya lakukan saat itu adalah menjadi Muslim.
Saya mulai sedar, bahawa segalanya milik tuhan yang menciptakan segalanya. Saya mulai kehilangan sifat sombong dan ego dalam diri. Saya mulai berfikir sebab saya dilahirkan bukan kerana keagungan saya dan tujuan saya berada di dunia adalah untuk berserah diri kepada Allah dan Islam. Saya menemukan iman itu dan berasa diri saya sebagai seorang Islam.
Dari al-Quran akhirnya saya tahu bahawa semua nabi diutus oleh Allah s.w.t untuk membawa risalah Allah. Dengan itu saya mulai faham bahawa Yahudi tidak mahu menerima Jesus sebagai nabi dan mereka mengubah kalam Ilahi. Segalanya sangat logik, bukan rekaan kerana al-Quran mengajar umatnya untuk berfikir dan memahami keindahan Islam.
Kemudian saya mengambil keputusan untuk melawat Baitulmaqdis. Ketika berada di sana, dalam sebuah masjid, seseorang bertanya kepada saya tentang hajat saya. Saya katakan kepadanya bahawa saya seorang Muslim. Kemudian dia menanyakan nama saya dan apabila saya menjawab, “Stevens” dia kelihatan hairan dan bingung. Kemudian saya ikut solat berjamaah, namun tidak terlalu tepat.
Kembali ke London, saya bertemu dengan seorang wanita Islam bernama Nafisa. Saya berkata kepadanya bahawa saya ingin memeluk Islam. Kemudian saya diberitahu agar pergi ke sebuah masjid.
Saat bermakna itu pada hari Jumaat tahun 1977, selepas solat Jumaat, saya menemui Imam dan berikrar untuk bersyahadah. Dan pada hari itu juga saya menjadi seorang Muslim.
Ingin saya tekankan bahawa saya tidak ada hubungan dengan mana-mana Muslim sebelum saya menganut Islam. Saya membaca al-Quran dan sedar bahawa tidak ada manusia yang sempurna, kecuali dengan Islam.
Dan jika semua umat Islam mencontohi gaya hidup Nabi Muhammad s.a.w, pasti semuanya akan selamat dan berjaya. Semoga Allah memberikan kepada kita hidayah untuk mengikuti jalan yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. Amin.
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.