Gaya Hidup

5 Garis Panduan Islam Tentang Adab Menyambut Tetamu

Oleh Rabiatul Adaweeyah  •  22 Dec 2016  •  4 min baca

Suatu hari, datang seorang lelaki menemui Rasulullah SAW dan telah menceritakan kepada Baginda bahawa dia sedang lapar. Namun, ketika itu Baginda sendiri tidak mempunyai apa-apa makanan di rumahnya untuk diberikan kepada lelaki itu.

Lalu, Baginda bertanya kepada para sahabat,

“Adakah sesiapa dalam kalangan kalian yang sanggup melayani lelaki ini sebagai tetamunya pada malam ini bagi pihak aku?”

Seorang dari kaum Ansar segera menyahut, “Wahai Rasulullah SAW, aku menyanggupinya seperti kehendak tuan itu.” Lalu, dibawanya lelaki itu ke rumahnya dan menerangkan hal tersebut kepada isterinya;

“Wahai isteriku, lihatlah bahawa orang ini adalah tetamu Rasulullah SAW. Jadi, kita mesti melayaninya dengan sebaik-baik layanan, berilah semua makanan yang kita ada untuknya.”

Lalu isterinya menjawab,

“Demi Allah! Sebenarnya aku tidak ada menyimpan apa-apa makanan pun di rumah ini, yang ada cuma sedikit itu untuk anak-anak kita pada malam ini.”

Lalu lelaki Ansar itu pun berkata,

“Jika begitu, tidurkanlah mereka kita tanpa diberi makan dahulu. Apabila aku duduk berbual dengan tetamu ini dan kami mulai makan engkau padamlah lampu itu, sambil berpura-pura hendak membetulkannya kembali supaya tetamu itu tidak tahu bahawa aku tidak makan bersama-samanya.”

Jelas lelaki itu kepada isterinya.

Segala yang dirancang berjalan dengan baik, dan seluruh keluarga itu terpaksa berlapar semata-mata untuk menjamu tetamu mereka itu sehingga kenyang.

Sehingga begitu sekali Rasulullah SAW mengajarkan kepada kita untuk memuliakan tetamu, kerana tetamu yang datang adalah pembawa rezeki dan pulangnya membawa dosa-dosa kecil tuan rumah.

Terdapat beberapa lagi akhlak mulia dalam menyambut tetamu yang diajarkan oleh Islam, antaranya;

#1- Mengharapkan Ganjaran pahala

Tuan rumah berniat untuk mendapat pahala dari kunjungan tetamu itu. Manakala tetamu pula mestilah mengharapkan kebaikan daripada menghadiri rumah tersebut, bukannya makanan yang lazat serta sebab-sebab lain.

#2- Memuliakan Tetamu

Tuan rumah perlu menyambut tetamunya dengan hormat, iaitu penuh dengan senyuman, wajah yang manis dan kata-kata yang baik. Pakailah pakaian yang kemas, menutup aurat bahkan sentiasa melayan tetamu dengan penuh mesra dan berbincanglah tentang topik yang berfaedah yang disenangi tetamu.

Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud:

“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya.”

Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Selain itu, layanan baik yang boleh diberikan kepada tetamu ialah menyediakan tempat tidur yang selesa, memastikan anak-anak tidak membuat bising, tidak menganggu tetamu ketika berehat dan tidur.

#3- Sentiasa Bersedia Menerima Tetamu

Sentiasa bersedia menerima kehadiran tetamu, seperti menyimpan makanan di rumah. Jangan sesekali menunjukkan reaksi seperti menghalau tetamu. Tunjukkan sikap kegembiraan kita dengan kehadiran tetamu itu. Jika tetamu hendak pulang, iringi mereka ke muka pintu dan pelawalah tetamu untuk berkunjung lagi.

Amat tidak sopan, sekiranya tuan rumah terus masuk ke rumah dan mengunci pintu sejurus tetamu keluar dari rumah.

#4- Menempatkan Tetamu di Tempat yang Sesuai

Tuan rumah yang baik akan memastikan tetamunya selesa selama tinggal di rumahnya. Oleh itu, tempatkanlah tetamu di tempat yang paling selesa. Jika tetamu itu wanita, berilah mereka ruang yang tidak menampakkan aurat mereka.

Selain tiu, pastikan tempat tersebut tidak kotor, yang tidak menyingkap aurat mereka busuk dan terlalu sempit serta panas.

#5- Menyempurnakan Hak Tetamu

Antara hak tetamu adalah seperti, dihidangkan dengan air minuman, makanan dan sebagainya. Pastikan tidak lambat menyediakan semua itu sehingga tetamu pulang.

Menghidangkan makanan kepada tetamu adalah antara adab yang sangat dianjurkan dalam Islam;

Seperti Firman Allah SWT;

“Lalu hidangkan kepada mereka…”

Al-Dhariyat: 27

Namun, sediakanlah semua itu mengikut kemampuan dan tidak membebankan tuan rumah itu sendiri.

Sebenarnya terdapat banyak manfaat dan kelebihan yang Allah berikan kepada golongan yang memuliakan tetamu, antaranya;

Dimurahkan rezeki, mendapat rahmat, reda dan berkat dari Allah SWT, mengeratkan silaturahim dan kasih sayang antara tetamu dan tuan rumah. Selain itu, dapat menujukkan kepada golonagan bukan Islam akan keindahan Islam yang menganjurkan kasih sayang sesama penganutnya.

Sesungguhnya, melayani tetamu dengan iklhas kerana Allah juga bakal mendapat ganjaran pahala dan keampunan Allah SWT. Semoga kita terus menjadi hamba Allah yang yang sentiasa mengalukan kedatangan tetamu kita. Amin.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Rabiatul Adaweeyah

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Malaya dalam Pengkhususan Pengajian Media Dan Sejarah. Sekarang bertugas sebagai Editor di sebuah syarikat penerbitan buku.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami