“Being Muslim makes me dance different“.
Itu kata-kata Stephanie Kurlow, seorang gadis berusia 14 tahun dari pinggir bandar Sydney. Memeluk Islam pada usia 10 tahun bersama keluarganya, Stephanie pernah mengucapkan selamat tinggal kepada dunia balet kerana tiada sekolah balet yang sudi menerima Stephanie lagi.
Tetapi balet pernah membuat Stephanie bahagia dan dia rindukannya.
Jika kita sukakan sesuatu, ia kekal berada dalam hati kita. Dengan skirt tutu labuh yang baru dan penampilan berhijab, Stephanie mula menari balet semula. Nampak berbeza, sopan tetapi lebih istimewa.
Stephanie kini membawa misi untuk bergelar Ballerina Berhijab Yang Pertama di Dunia.
Apakah keistimewaan kisah Stephanie ini sehingga menjadi viral dalam sekelip mata dan membuka mata masyarakat dunia? Apakah tips yang boleh kita pelajari dari seorang gadis kecil yang baru sahaja mengenali keindahan Islam ini?
Ini adalah cerita Stephanie Kurlow.
Angan-angan, cita-cita, mimpi semuanya membawa maksud yang sama – impian. Kalau sedang asyik berangan, tersengih-sengih juga kita dibuatnya. Hati pun terasa berbunga-bunga. Kita biasanya mengimpikan perkara yang membuat kita merasa bahagia.
Seperti kata Stephanie Kurlow:
“For me, dancing is like flying”.
Hanya Stephanie sahaja tahu betapa balet memberikan kebahagian kepada dirinya. Tidak mahu mengalah dengan peraturan pakaian balet biasa, Stephanie mula bermimpi untuk menjadi ballerina berhijab profesional yang pertama di dunia. Dia juga pasti merasa takut gagal, tetapi tetap berani memasang angan-angan setinggi awan.
Jika kita ada impian, ingin jadi [tanya hati sendiri], jangan lepaskan ia pergi. Atasi ketakutan kita yang pertama dengan berani bermimpi!
Angan-angan adalah keinginan di dalam hati. Kesungguhan kita mengejar cita-cita dibuktikan dengan perbuatan. Stephanie Kurlow begitu cintakan tarian balet tetapi tiada sekolah balet yang sudi menerima Stephanie kerana dia berhijab.
Adakah dia akan meninggalkan tarian balet selamanya?
Tidak. Stephanie terus menari di laman belakang rumah, sekolah dan studio latihan ibunya. Menerusi program Launch Good, dia menarik perhatian dunia untuk mengumpul dana sebanyak RM41,000 untuk membayar yuran sekolah balet selama setahun dan menjadi ballerina berhijab profesional yang pertama di dunia.
Jika kita ada cita-cita, masuk ke gelanggang dan mulakan langkah hari ini. Semua orang boleh berkata-kata, tetapi tidak ramai yang berani untuk bermula!
Teknik balet nampak mudah tetapi cuba kita sendiri berdiri di atas jari-jari kaki yang ditegakkan selama beberapa saat. Teknik ini digelar sebagai en pointe dalam balet. Ballerina biasanya membalut jari kaki mereka dengan kapas untuk mengurangkan kesakitan dan kecederaan sewaktu menguasai disiplin balet yang ketat.
“I think it’s really cool and amazing how ballerinas never show pain. We could be bleeding in our shoes and never show pain”. Stephanie Kurlow
Bukan sahaja dipuji, Stephanie turut dikritik hebat dalam usahanya untuk bergelar ballerina berhijab pertama ini. Dalam usia semuda 14 tahun, Stephanie tidak mudah mengalah dengan semua kesakitan dan kritikan ini.
Jatuh, kesakitan, dihina dan diketawakan adalah harga yang perlu kita bayar dahulu demi sebuah kejayaan.
Jika kita sukakan sesuatu, kita kecewa tidak dapat melakukannya hanya kerana kita unik dan berbeza dengan orang lain. Begitu juga dengan Stephanie. Dia ingin memberi harapan bahawa sesiapa sahaja boleh belajar balet dengan tidak mengira latar belakang keluarga, bangsa atau pun agama.
Harapan ini akan menjadi kenyataan jika dia berjaya membuka akademi baletnya sendiri suatu hari nanti.
Seni balet bukan terletak pada pakaian tetapi pada disiplin ketat yang melentur jiwa dan ketahanan seorang ballerina. Stephanie menghantar mesej jelas kepada dunia bahawa balet boleh menyatukan semua dan menjadi medium dakwah Stephanie yang tersendiri.
“Some little girls are telling me they want to wear hijabs and feel unique and beautiful, too.” Stephanie Kurlow
Dengan memakai skirt tutu separas buku lali, baju berlengan panjang serta berhijab, Stephanie nampak manis dan menawan hati dunia dengan cerita baletnya.
Sesiapa sahaja boleh menari balet, tetapi tiada siapa pernah menjadi ballerina profesional yang berhijab. Meskipun baru memeluk Islam empat tahun yang lalu, Stephanie kekal dengan prinsip bahawa hijab melindungi dirinya sebagai seorang wanita, bukan membatasi kebolehan yang ada pada dirinya.
“I believe the hijab covers my body, but not my mind, heart and talent. Beside, I never receive second-degree burns from the sun, and never have a bad hair day”.
Stephanie Kurlow
Menjadi seorang muslim membuatkan Stephanie nampak berbeza sewaktu menari balet. Masih kekal lembut tetapi penuh dengan kesopanan. Hijab membuatkan Stephanie bangga dengan keunikan dirinya serta percaya bahawa hijab membuatkan dia menemui kekuatan sebenar yang ada dalam dirinya.
“Islam is so truthful and I feel more connected to God now”.
Jika kita membuat carian di internet tentang ballerina terhebat dunia, semua kisahnya bermula dengan kepayahan sehingga ada yang menderita radang sendi atau arthritis seumur hidup akibat latihan keras membentuk kelenturan tubuh dalam balet.
Begitu juga dengan Stephanie Kurlow, ceritanya akan menjadi “lebih menarik” dengan azamnya untuk bergelar Ballerina Berhijab Pertama di Dunia.
Stephanie Kurlow seperti duta kecil yang berkata:
“Dengan hijab ini, saya akan menyatukan dunia, memberi harapan kepada semua untuk mengejar-cita-cita dan impian masing-masing yang terpendam”.
Kita semua mungkin melihat ballerina sebagai seorang yang penuh kelembutan, tetapi dia sebenarnya berupaya melenturkan dirinya terhadap segala dugaan yang mendatang.
“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Dia mendapat pahala dari kebajikan yang dikerjakannya dan dia mendapat dosa dari kejahatan yang dilakukannya”.
Surah Al-Baqarah, Ayat 286
Ini bukan sekadar cerita tentang balet, ini cerita tentang seorang gadis muslim kecil yang mengajar kita untuk tidak pernah berhenti mengejar mimpi.
“If you love something that much, the world can change for you”.
* Stephanie Kurlow adalah pemenang Game Changer Scholarsip 2016 oleh Bjorn Borg.
Baca lagi: 5 Cara Menguatkan Diri Secara Rohani
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.