Gaya Hidup

Keajaiban Sedekah Itu Bohong

Oleh Siti Rahmah  •  7 Feb 2016  •  5 min baca

Mungkin anda marah ketika membaca tajuk artikel ini, tetapi di sini saya hanya ingin memberi sesuatu yang mungkin akan bermanfaat bagi anda. Sekiranya anda marah atau beremosi sewaktu membaca judul artikel ini, mohon bertenang dahulu.

Sebab saya yakin anda akan bersetuju sebaik membaca artikel ini sehingga akhir, bahawa keajaiban sedekah itu memang BOHONG! Ya, memang benar! Anda tidak salah baca, saya jamin anda akan bersetuju bahawa keajaiban sedekah itu BOHONG!

Nota: Artikel ini diterjemah daripada asal tulisan penulis dari laman Mind Power Generation dan ada beberapa istilah asal dikekalkan dalam teks untuk tujuan mengekalkan maksud ‘BOHONG’ yang mahu disampaikan.

Keajaiban Sedekah

Mengapa ditegaskan bahawa keajaiban sedekah itu BOHONG? Supaya anda semua tidak terus tertanya-tanya, mari kita sama-sama semak huraian berikut:
 

“Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya?

Dan (ingatlah), Allah jualah Yang Menyempit dan Yang Meluaskan (pemberian rezeki) dan kepada Dialah kamu semua dikembalikan.” Al-Baqarah: ayat 245

[B] = Benar-benar dibalas oleh Tuhan

Pasti anda tahu dan faham dengan konsep matematik Tuhan mengenai sedekah yang mengatakan bahawa 10-1 = 9, sebab kira-kira ini adalah berdasarkan konsep ganjaran Tuhan sebanyak 10 kali ganda daripada nilai sedekah kita.

Tahukah kita? Allah adalah satu-satunya Tuhan yang Maha segala Maha, termasuk maha menepati janji. Maka, kita tidak perlu ragu atau mempersoalkan konsep ini.

“… Sesungguhnya Allah tidak menyalahi janji-Nya.” Ar Ra’du: ayat 31

Sesiapa yang membawa amal kebaikan (pada hari kiamat), maka baginya (balasan) sepuluh kali ganda (dari kebaikan) yang sama dengannya; dan sesiapa yang membawa amal kejahatan, maka ia tidak dibalas melainkan (kejahatan) yang sama dengannya; sedang mereka tidak dianiaya (sedikitpun). Al-An’aam: 160

Allah berjanji akan membalas sedekah kita sebanyak 10 kali ganda, dan tidak ada penekanan bahawa yang mesti disedekahkan itu adalah wang. Sebabnya, wang hanyalah objek ciptaan manusia yang disepakati sebagai berfungsi sebagai alat pembayaran yang sah mengikut nilai matawang sesebuah negara.

Apapun nilainya, jika inti niat pemberian kita adalah sedekah, maka ia akan dibalas 10 kali ganda seperti yang dijanjikan Tuhan.

[O] = Optimum (Beroleh kejayaan optimum yang penuh dengan keberkatan)

Perkara ini tidak perlu difikirkan dengan lebih terperinci sehingga kita sakit-sakit kepala. Sudah dibahaskan sebelum ini mengenai ganjaran berkali-kali ganda, dan sedekah adalah tindakan berpahala. Dalam kehidupan, ada rumus yang dinamakan roda perjalanan nasib.

Sebab kita mahukan nasib baik yang berterusan, maka kita menjaga putaran roda nasib itu dengan perbuatan kebaikan sebagai pemicu. Mengapa?

Sebab salah satu sumber tenaga positif yang tidak akan habis adalah sedekah dan ia memberi tenaga hebat yang boleh memutarkan roda nasib kita dengan halaju yang tidak terukur oleh mana-mana alat pengukur kerana ‘tangan’ yang menggerakkan roda itu adalah Tuhan.
 

[H] = Hidup jadi lebih tenang kerana boleh memberi kepada yang memerlukan

Tenang adalah kesan nyata kedua selepas kita menikmati rasa bahagia selepas memberi (bersedekah) sebab sedekah adalah alat pembersih harta terbaik daripada kotoran-kotoran dosa. Tentu sahaja kita tidak mahu terus bimbangkan sumber harta yang akan digunakan bagi menampung kehidupan diri dan keluarga.

Maka, kita terselamat daripada keraguan itu dengan jaminan sedekah sebagai pembersih harta. Ia seumpama mengambil makanan enak tanpa perlu khuatir lagi pasal label halal.

[O] = Obat (ubat) anti gagal yang sangat mujarab bagi kehidupan

Bagaimana kita boleh gagal hanya bersebabkan sedekah? Ini adalah pertanyaan tidak masuk akal, sebab selain ganjaran 10 kali ganda yang menanti, kita juga akan menerima bonus berupa doa-doa kebaikan atas diri dan kehidupan kita.

Jika sebelum ini kita hanya berdoa untuk diri sendiri, mungkin sahaja Tuhan mengurungkan hak-Nya mengabulkan doa kita dengan sebab tertentu atau tanpa alasan sebab hal rezeki itu sendiri tertakluk pada kuasa Dia tanpa mampu disaingi sesiapa.

Tetapi, hal akan jadi berbeza apabila yang mendoakan dan memohon untuk kesejahteraan dan kebaikan kita adalah orang lain. Apabila seorang hamba meminta dengan segenap rasa yang tulus untuk kebaikan saudaranya, adakah Tuhan akan menolak daripada menjawab permintaan itu?

Tetapi, apabila kita sudah bersedekah dan tetap juga gagal, maka periksalah semula niat kita, kalau-kalau terselit sombong atau riyak di celah-celah niat baik kita, sebab tidak mungkin kesilapan itu berlaku di pihak Tuhan. Tentu sahaja sebabnya di pihak kita sendiri.
 

[N] = Nunggak (tunggakan) dan hutang apapun boleh dilunaskan dengan sedekah

Sedekah memudahkan laluan melunaskan hutang dan sangat banyak kisah sudah dituliskan sebagai bukti. Kisah mereka yang mengalaminya boleh dibaca di Wisata Hati oleh Ustaz Yusuf Mansur, juga di laman Mudahnya Menjemput Rezeki oleh Ustaz Fathuri Salehuddin.

Mudahnya, sesudah berpegang pada fakta bahawa satu kebaikan sedekah dibalas 10 kali ganda, sudah pasti ia sudah cukup untuk menyangkal alasan kita yang masih menundakan dan tidak mampu menyelesaikan hutang. Tuhan itu Maha Pemurah dan Maha Adil atas semua yang dilakukan hamba-Nya, hanya kita yang sering tidak sedar diri di atas sifat pemurah Tuhan.
 

[G] = Gampang (mudah) dan dipermudahkan setiap langkah baik di dunia dan di akhirat

Dengan sedekah, maka secara tidak langsung kita sudah membuat rangkaian kebaikan dengan membuat pelaburan dan mendapatkan bonus istimewa, bermula dengan doa-doa kebaikan daripada orang-orang yang menerima sedekah sehinggalah balasan dan janji yang disebut-sebut dalam firman Tuhan.

Diketahui, orang-orang yang ditimpakan ujian berat akan berada pada jalur hidup yang dipenuhi keberkatan dan hikmah. Apabila bersedekah, kita mendekati mereka dan mana mungkin Tuhan menyempitkan hidup hamba-Nya yang mahu dekat dengan lingkungan golongan manusia yang dilimpahi berkat ini?

Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar:

(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” Al-Baqarah: ayat 155-156

Jadi, sudah baca artikel ini sehingga akhir? Masih marah dengan tajuk artikel ini atau setuju? Semoga artikel ini boleh menjadi salah satu sumber pencerahan untuk kita, dalam usaha membudayakan semangat suka bersedekah. Maaf, jika saya sudah membuat anda kesal atau marah.

Sumber: Manfaat Sedekah Itu Bohong…!, Keajaiban Sedekah Itu Bohong


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Siti Rahmah

Beliau merupakan kolumnis Ruangan Cerpen Majalah Usrati dan usahawan sepenuh masa. Mengusahakan bisnes aksesori sulam secara online sejak 2008 di laman blog ini. Penulis turut aktif menghasilkan karya fiksyen yang diterbitkan di majalah dan antologi cerpen.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami