Inspirasi

2 Jihad Di Bulan Ramadan Menurut Ibnu Rajab

Oleh Natirah Azira  •  12 May 2020  •  3 min baca

Jihad berasal daripada perkataan Arab ‘jim-ha-dal’ yang bermaksud menghadapi kesusahan dan mengerah tenaga menurut Kamus Lisanul Arab.

Ia juga boleh dieertikan sebagai perbuatan yang bersungguh-sungguh. Dalam Kitab Fiqh Al-Manhaji pula dicatatkan bahawa jihad dalam bahasa Arab ialah kata nama terbitan daripada ‘jaahada’ (جاهد) yang bermaksud berusaha gigih untuk mencapai sesuatu matlamat.

Manakala menurut Istilah, para ulama memberi makna yang luas kepada perkataan ini. Al-Kasani mengatakan bahawa jihad pada uruf syarak ialah mengerah sepenuh kemampuan untuk berjuang pada jalan Allah SWT tidak kira dengan nyawa, harta, lisan dan lain-lain.

Ada pula yang mentakrifkan jihad sebagai perang secara khusus dan ada yang menyebutkan bahawa ia juga boleh diertikan sebagai jihad melawan nafsu.

Untuk kali ini, kita ingin melihat makna jihad melalui lensa ibadah di bulan Ramadan khususnya bagi jihad melawan nafsu.

Ibnu Rajab Al Hambali rahimahullah menjelaskan, “Ketahuilah bahawa seorang mukmin melakukan dua jihad di bulan Ramadan. Jihad pertama adalah jihad pada diri sendiri di siang hari dengan berpuasa. Sedangkan jihad kedua adalah jihad di malam hari dengan solat malam.

Siapa yang melakukan dua jihad dan menunaikan hak-hak berkaitan dengan keduanya, lalu terus bersabar melakukannya, maka ia akan diberi ganjaran di sisi Allah dengan pahala tanpa batas (tak terhingga).”

Kata-kata di atas telah beliau sebutkan dalam kitab Lathoiful Ma’arif.

Puasa Adalah Ibadah Bersifat Luaran Dan Dalaman

Jihad pada siang hari yang perlu dilakukan bukan hanya menahan diri daripada makan dan minum sahaja, malah Allah menyebut bahawa orang yang berpuasa wajib menjaga lidahnya daripada tutur kata yang buruk, jika tidak puasanya tidak akan diterima.

Puasa adalah ibadah yang bersifat luaran dan dalaman, bukan hanya perut yang perlu berpuasa namun hati juga perlu berpuasa.

Hati yang berpuasa akan sentiasa muhasabah diri dan akan menjauhkan dirinya daripada melakukan sebarang perkara yang dilarang yang dapat mencacatkan pahala puasa.

Bersungguh-sungguh Menunaikan Solat Malam

Jihad kedua pula iaitu solat malam adalah jihad yang perlu dilakukan bagi lebih menyempurnakan amalan puasa pada siang hari.

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إيمَانًا وَاحْتِسَابًا، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang mendirikan Ramadan dengan penuh keimanan dan penuh pengharapan, akan diampunkan baginya segala dosanya yang telah lalu”. (Riwayat Al- Bukhari, no. 36 dan 1870)

Mendirikan Ramadan dalam hadis di atas bermaksud menghidupkan malam-malam di bulan Ramadan dengan solat malam seperti Solat Tarawih dan solat tahajud. Diberitakan juga bahawa di bulan Ramadan khususnya pada 10 malam terakhir, Rasulullah SAW akan mengejutkan isteri-isteri baginda untuk turut bersolat dan bermunajat kepada Allah.

Kedua-dua perkara ini (puasa dan solat malam) disebut sebagai jihad kerana ia sebenarnya agak sukar dan perlu diusahakan secara bersungguh-sungguh sebelum menjadi kebiasaan.

Dalam erti kata lain, kita perlu konsisten melakukan dua amalan ini di bulan Ramadan dengan penuh sabar serta memahami bahawa amalan-amalan inilah yang akhirnya akan membantu penyempurnaan tujuan puasa Ramadan iaitu menambah ketakwaan dalam diri.

Kelak di akhirat, puasa akan datang memberikan syafaat kepada seseorang hamba. Dalam sebuah hadis sahih dinukilkan bahawa puasa akan berkata, “Wahai Tuhanku, aku telah menahannya daripada makan dan nafsu syahwat, kerananya perkenankan aku untuk memberikan syafaat kepadanya”

Malah bukan itu sahaja, pintu syurga yang khusus bernama Ar-Rayyan juga akan dibuka buat orang yang berpuasa untuk memasukinya. Lihatlah betapa besar pengiktirafan dan penghargaan yang diberikan oleh Allah buat orang yang berpuasa dan menghidupkan Ramadan dengan amalan-amalan baik. Sungguh rugi jika kita tidak berusaha bersungguh-sungguh merebutnya, bukan?

Kesimpulan

Ramadan datang sekali sahaja dalam setahun. Tempoh sebulan pula sebenarnya terlalu singkat. Usah biarkan Ramadan berlalu begitu sahaja tanpa kita mengambil peluang menambah dan memperelok amalan serta meraih pahala berganda yang telah disediakan oleh Allah. Moga-moga ia dapat menjadi saham akhirat kelak.

Rujukan:
Rumaysho.com


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami