Wanita

17 Persoalan Anda Mengenai Darah Nifas

Oleh Marina  •  10 May 2017  •  4 min baca

Secara normalnya dan dari sudut fiqhnya, darah yang keluar daripada faraj wanita terbahagi kepada tiga jenis, iaitu darah haid, darah nifas dan darah istihadah.

Banyak perbincangan yang telah dihuraikan mengenai darah haid yang biasa dialami oleh kebanyakan perempuan pada peringkat remaja atau seawal usia 9 tahun mengikut setiap individu.

Di sini, dihuraikan pula beberapa persoalan berkenaan darah nifas yang biasanya dialami oleh wanita yang baru melahirkan anak;

#1 – Apakah Yang Dimaksudkan Dengan Darah Nifas Dari Segi Syarak?

Darah nifas adalah darah yang keluar dari rahim wanita selepas bersalin/melahirkan anak, sama ada anak itu hidup atau sudah meninggal dunia. Darah yang keluar sebelum melahirkan anak tidak dianggap darah nifas.

Menurut sebahagian ulama, darah ketika bersalin juga adalah nifas. Namun, ada pendapat lain mengatakan, darah yang mengiringi kelahiran anak itu bukan dianggap nifas.

#2 – Apakah Perbezaan Darah Haid Dan Nifas?

Darah haid adalah petanda baligh bagi seorang perempuan dan ia keluar setiap bulan mengikut kesihatan wanita. Manakala nifas pula darah selepas melahirkan anak.

#3 – Apakah Darah Yang Keluar Bagi Wanita Yang Lepas Bersalin Lebih Dari 15 Hari, Malah Lebih Sebulan Itu Dikira Darah Haid?

Bukan. Itu adalah darah nifas, bukan haid.

#4 – Boleh Terangkan Dengan Jelas Berapa Lama Tempoh Keluarnya Darah Nifas?

Tempoh minimumnya, satu titik selepas melahirkan anak atau tiga hari. Tempoh maksimumnya, 60 hari sehari semalam dan tempoh kebiasaan wanita 30 hingga 40 hari sehari semalam (tempoh berpantang).

Darah yang keluar selepas 60 hari dianggap istihadah.

#5 – Selepas Melahirkan Anak, Seorang Wanita Tidak Melihat Apa-Apa Darah. Selepas Hari Ke-15, Baru Ada Darah. Adakah Darah Itu Dianggap Haid Atau Nifas?

Ada dua pendapat, iaitu sama ada ia darah haid atau nifas. Namun, keduanya tetap dianggap darah kotor.

#6 – Bagaimana Pula Jika Seorang Wanita Yang Selepas Bersalin Itu Hanya Melihat Darah Keluar Pada Hari Ke-12. Adakah Darah Itu Dianggap Haid Atau Nifas?

Dalam situasi ini, darah yang keluar itu adalah darah nifas.

#7 – Selepas Bersalin, Adakalanya Darah Keluar Sehari Atau Dua Hari Kemudian, Berhenti. Kemudian, Darah Keluar Semula Selepas 15 Hari. Bagaimana Dengan Keadaan Seperti Ini?

Ada dua pendapat, iaitu sama ada ia darah haid atau nifas. Namun, keduanya masih dianggap tidak suci bagi wanita tersebut.

#8 – Adakah Darah Yang Keluar Selepas Keguguran Dan Bayi Tersebut Meninggal Dunia Itu Juga Dianggap Darah Nifas?

Ya. Ia tetap dianggap nifas.

#9 – Bagaimana Jika Seorang Wanita Melahirkan Anak Melalui Cara Pembedahan. Adakah Darah Yang Keluar Itu Dikira Sebagai Nifas Juga?

Ya, dan wanita itu wajib mandi kerana melahirkan anak (wiladah) dan mandi nifas selepas darah nifas kering.

#10 – Beberapa Jam Sebelum Bersalin, Didapati Terdapat Darah Keluar Dari Kemaluan Seorang Wanita. Adakah Ia Dikategorikan Sebagai Darah Nifas?

Tidak. Ini kerana darah nifas adalah darah yang keluar SELEPAS bersalin/melahirkan anak, bukan SEBELUM.

#11 – Bagaimana Pula Jika Seorang Wanita Melahirkan Anak Tanpa Keluar Apa-Apa Darah? Adakah Dia Dianggap Suci Daripada Nifas Walaupun Baru Lepas Melahirkan Anak?

Ya, wanita itu dianggap suci dan diwajibkan beribadat seperti biasa selepas mandi wiladah. Situasi ini pernah dialami oleh puteri Rasulullah s.a.w, Fatimah r.a.

#12 – Ramai Dalam Kalangan Ibu-Ibu Hamil Meninggalkan Solat Apabila Sudah Keluar ‘Tanda’ Atau Darah Dari Farajnya. Adakah Dia Perlu Menggantikan Solat Tersebut?

Ya. Dia perlu menggantikan solat (qadha’ solatnya) kerana keluar ‘tanda’ atau darah dari faraj belum dianggap sebagai nifas.

#13 – Bagaimana Hukumnya Dengan Air Ketuban Menurut Syarak?

Air ketuban keluar menandakan bayi akan dilahirkan tidak lama selepas itu. Air tersebut hukumnya najis tetapi wanita itu dianggap suci.

#14 – Apakah Larangan Bagi Wanita Yang Berada Dalam Keadaan Nifas?

Larangannya sama seperti ketika haid, iaitu tidak boleh solat, sujud tilawah, sujud syukur, bertawaf, berpuasa, iktikaf di masjid, membaca al-Quran dan bersetubuh.

#15 – Ada Wanita Diceraikan Oleh Suaminya Selepas Dia Bersalin Dan Ketika Itu Dia Berada Dalam Keadaan Nifas. Adakah Sah Talak/Cerai Tersebut?

Ya. Jatuh talaknya tetapi menjatuhkan talak ketika isteri dalam keadaan nifas tidak digalakkan dalam Islam, kerana ia akan memanjangkan tempoh iddah bagi wanita. Bahkan, ia menjadi satu ‘penyeksaan’ buat wanita tersebut.

#16 – Bagaimana Pula Jika Seorang Wanita Yang Sedang Nifas Kematian Suami. Berapa Lamakah Tempoh Nifasnya?

Tempoh idahnya 4 bulan 10 hari.

#17 – Apa Itu Mandi Wiladah Dan Bagaimana Niatnya?

Mandi wiladah itu ialah mandi yang wajib dilaksanakan oleh setiap wanita yang baru melahirkan anak, atau mengalami keguguran sekalipun kandungan yang keluar itu berupa darah beku (alaqah) atau berbentuk seketul daging (mudghah). Niatnya;

“Sahaja aku mandi wajib wiladah kerana Allah taala.”

Jika perbincangan ini kurang memuaskan atau anda (wanita) mengalami situasi tertentu yang tidak dinyatakan dalam persoalan ini, bolehlah ajukan pertanyaan tersebut kepada yang lebih pakar.

Moga perkongsian ini memberi manfaat walaupun sedikit. Wallahua’lam.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Marina

Marina

Merupakan graduan dari UNISZA, Terengganu dalam bidang Pengajian Islam dengan hasrat menggabungkan pelbagai pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki untuk manfaat komuniti. Menulis adalah salah satu dari minatnya dan beliau turut menghasilkan sebuah karya pertamanya yang berjudul , '' Himpunan Kisah Kaum-Kaum Binasa''.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami