“Malangnya nasib aku hari ini, sudahlah pagi tadi terjatuh tangga sekarang jatuh dalam longkang pula. Apa kena dengan aku ni.”
“Hmm… Habis wang perniagaan aku dicuri malam tadi. Moga pencuri tu dapat ditangkap cepat.”
“Apa? Awak nak ceraikan saya? Apa kurangnya saya? Sampai hati awak buat saya macamni.”
“Allahuakbar, result aku teruknya…”
“Ya, Allah berikanlah aku kesabaran hadapi fitnah orang terhadapku. Aku tak buat pun apa yang mereka katakan itu…”
Itu antara keluhan yang mungkin ada dalam kalangan kita pernah alami. Apa perasaan anda jika mengalami situasi seperti di atas?
Atau mungkin, sekarang ini ada dalam kalangan kita sedang menghadapi musibah kematian orang tersayang, kehilangan harta benda, tempat tinggal, sakit yang tiada kesembuhan dan sebagainya. Sudah tentu sedih bukan.
Lalu, bagaimana anda merawat hati agar kesedihan ini tidak berlaku secara berpanjangan?
Tahukah anda, al-Quran; kitab suci umat Islam yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW adalah salah satu ‘ubat mujarab’ yang boleh menyelesaikan atau meredakan apa jua permasalahan manusia termasuklah jika kita berada dalam keadaan sedih, gelisah mahupun buntu membuat keputusan.
Apakah ayat itu? Berikut dikongsikan;
“Sesungguhnya, Aku bersama orang-orang yang sabar.”
“Dan, berilah khabar gembira kepada orang yang sabar. (Iaitu) orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata; ‘Sesungguhnya, kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali, mereka itu ialah orang yang dilimpahi dengan pelbagai kebaikan daripada Tuhan mereka serta rahmat-Nya dan mereka itulah yang mendapat rahmat-Nya dan petunjuk-Nya’.”
“Katakanlah al-Quran itu adalah petunjuk dan penawar bagi orang-orang yang beriman.”
“Dan apabila aku sakit, maka Dialah yang menyembuhkan aku.”
“Dan, kami turunkan dari Al-Quran itu suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman.”
“Dan, Al-Quran itu penyembuh bagi penyakit-penyakit yang berada dalam dada.”
“Dan, semua kisah dari rasul-rasul Kami ceritakan kepadamu ialah kisah-kisah yang dengannya Kami teguhkan hatimu, dan dalam surah ini telah datang kepadamu kebenaran serta pengajaran juga peringatan bagi orang-orang yang beriman.”
“Dan, bahawa (yang Kami perintahkan ini) adalah jalanKu yang lurus, maka ikutilah dia dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain) kerana jalan-jalan itu mencerai beraikan kamu dari jalan-Nya. Yang demikian itu diperintahkan Allah agar kamu bertaqwa.”
“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah hanya dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenteram.”
“Sesungguhnya, Tuhanmu benar-benar mengawasi.”
“Sedang kehidupan akhirat adalah lebih baik dan lebih kekal.”
“Janganlah engkau bersedih, kerana sesungguhnya Allah bersama kita.”
“Sesungguhnya, Kami telah kurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak di dunia dan akhirat. Oleh itu, laksanakanlah solat kerana Tuhanmu dan berkorbanlah (sebagai ibadah dan dekatkan diri kepada Allah). Sungguh, orang-orang yang membencimu dialah yang terputus (dari rahmat Allah).”
Dan, sebenarnya masih banyak ayat Al-Quran yang menjadi penawar bagi setiap permasalahan manusia. Sungguh, Allah SWT itu Maha Pengasih dan Maha Penyayang terhadap setiap hamba-Nya.
Bersangka baiklah terhadap segala musibah yang menimpa diri kita dan yakinlah sudah pasti ada hikmah tersirat yang ingin ditunjukkan-Nya. Ini kerana Dia pencipta kita, Dia juga yang Maha Kuasa mengatur segala perjalanan kehidupan hamba-Nya. Moga bermanfaat.
Wallahua’lam.
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.