Inspirasi

11 Kata-Kata Mufti Menk Buat Anda Lebih Kuat

Oleh Natirah Azira  •  11 Oct 2019  •  4 min baca

Ada masanya di saat kita berasa lemah dan tidak bersemangat menempuh hari, kita memerlukan kata-kata semangat bagi menguatkan hati. Mufti Menk, melalui akaun media sosial Twitter sering berkongsi kata-kata penguat yang dekat dengan diri kita dan apa yang dilalui. Berikut 11 kata-kata penguat yang telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu untuk tatapan para pembaca.

#1- Tumpukan Kepada Target

“Terus kuat dan tumpukan kepada target anda. Usah biarkan keadaan di sekeliling menggoyahkan pendirian anda seperti lilin yang ditiup angin. Usah ragu bahawa Tuhan sedang melihat segala apa yang berlaku dalam hidup. Usah juga biarkan orang lain membuat anda ragu. Dia telah membawa anda sejauh ini. Anda fikir Allah akan meninggalkan anda sekarang?”

#2- Allah Akan Membuka Pintu Yang Tidak Anda Sangka

“Allah akan menyampaikan anda ke tempat yang ingin dituju. Dia akan membuka pintu yang tidak pernah anda sangka-sangka. Dia akan menghadirkan orang yang tepat dalam laluan hidup anda dan akan memberi kemampuan untuk anda bergerak ke hadapan.

Anda perlu mempercayai Tuhan dan terus melakukan sebaik mungkin. Fahami perancanganNya dan lihatlah tanda-tanda yang ditunjukkan”

#3- Jangan Biarkan Negativiti Menenggelamkan Anda

“Terlalu banyak perkara negatif di sekeliling yang sangat mudah membuat kita lemah. Bertahanlah, jangan biarkan beban yang ditanggung menenggelamkan anda. Usah biarkan ujian tersebut membuatkan anda fikir tidak ada jalan keluar. Ingatlah, bahawa tidak ada yang kekal. Tumpukan perhatian kepada nikmat yang telah diperoleh, tidak kira walau sekecil apa pun”

#4- Ada Sebab Di Sebalik Semua Yang Berlaku

“Tidak ada perkara yang berlaku dalam hidup anda secara sengaja. Allah Yang Maha Berkuasa sudah merancang segalanya dengan begitu teliti. Ada sebab di sebalik semua yang berlaku. Lambat atau cepat, hikmahnya akan tersingkap juga. Cubalah memahami perancanganNya. Anda akan berasa kehidupan anda lebih baik daripada sebelumnya”

#5- Ada Kebaikan Dalam Setiap Kesukaran

“Pasti ada kebaikan dalam setiap kesusahan. Kenal pasti tanda-tandanya. Hari di mana anda tidak ada duit langsung kerana hilang mata pencarian, hari di mana anda bersedih kerana kehilangan insan tersayang, hari di mana anda rasa ingin menyerah – hari seperti inilah anda akan menemui sesuatu yang berharga. Anda akan menemui kekuatan daripada Dia!”

#6 – Usah Tumpukan Pada Kelemahan

“Jika anda sering rasa sesak dan semangat berada pada tahap yang rendah, tanya pada diri anda; adakah anda selalu menumpukan pada kelemahan? Kerana jika anda melakukannya, anda tidak akan mampu bergerak ke hadapan. Anda akan berasa berat menanggung beban tersebut. Lepaskan segala hal yang menahan anda daripada bergerak. Maafkan dan teruskan perjalanan ke hadapan”

#7- Percaya Kepada Allah

“Adakah anda mempercayai Allah Yang Maha Mencipta? Percaya yang sebenar-benarnya bahawa Dia mampu mengubah kehidupan anda. Sesetengah orang selalu berasa bimbang kerana memikirkan apa yang menanti mereka di hadapan. Mereka cemas. Mereka lupa siapa yang sedang mengawal kehidupan. Allah sebenarnya mahu anda menumpukan fikiran kepadaNya sahaja. Dia akan membantu anda di saat-saat sukar”

#8- Bagaimana Anda Berhadapan Dengan Masalah?

“Jangan fikir bahawa perkara buruk hanya berlaku pada diri anda. Ia berlaku kepada semua orang, setiap hari. Bezanya hanya bagaimana anda menghadapinya. Sikap anda sangat memainkan peranan. Jika anda memilih untuk melihat dari kaca mata positif, maka anda dapat melepasinya.”

#9- Allah Sedang Merancang Segalanya Buat Anda

“Hidup tidak mudah. Hidup boleh mengecewakan anda. Hidup ini sukar, lebih-lebih lagi apabila membayangkan perkara-perkara yang belum pasti. Tapi tahukah anda, Allah Yang Maha Kuasa sedang merancang banyak perkara tanpa pengetahuan anda. Allah akan membentangkan perancanganNya apabila tiba masa yang sesuai. Mungkin esok, mungkin juga pada hari lain. Bersabarlah, anda muncul menjadi seorang yang lebih kuat.”

#10- Perubahan Berlaku Setiap Hari

“Kita melakukan banyak perubahan dalam hidup, hampir setiap hari. Malah, perubahan adalah hal yang paling kekal dan konsisten. Daripada perubahan fizikal, pekerjaan, setiap perkara berubah. Jadi mengapa kita terlalu ingin berpegang pada fikiran kita, idea, prinsip, persepsi dan cara fikir yang tidak memberi apa-apa manfaat. Lepaskan semuanya!”

#11- Anda Tidak Bersendirian

“Jika anda sedang melalui jalan yang mencabar, dan waktu-waktu yang sukar, ketahuilah bahawa anda tidak bersendirian. Itulah kehidupan, dengan segala naik turunnya. Terima ia dengan lapang dada. Apa yang anda lalui bukan suatu yang aneh. Setiap orang ada sesuatu yang ingin diceritakan, luka yang perlu disembuhkan dan parut yang boleh ditunjukkan. Terus bertahan! ”


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Psikologi di universiti yang sama. Seorang yang suka membaca pelbagai genre bahan bacaan terutama sejarah, sastera, motivasi dan psikologi.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami