Ibadah

11 Fakta Asas Tentang Zakat Pendapatan

Oleh Dalin Ali  •  3 Apr 2016  •  5 min baca

“Dah bayar zakat ke?”

Bila tiba musim hari raya, soalan ini yang wajib ditanya. Ada yang sanggup menunggu hingga pagi raya untuk membayar kerana lebih afdhal (dan pahalanya semakin banyak). Suasananya juga meriah, keluarga di rumah rasa lega jika zakat telah dibayar. Bolehlah raya!

Seronokkan dapat membayar zakat fitrah. Zakat ini wajib dibayar hingga kalau tak bayar tak seronok rasanya. Tetapi, ada satu lagi zakat yang wajib yang dipanggil Zakat Pendapatan. Zakat ini dibayar sebagai tanda terima kasih kita kepada Allah SWT yang telah memberikan rezeki yang cukup kepada kita selama ini.

“Dan Allah mendapati kamu sebagai seorang yang kekurangan lalu Allah memberikan kecukupan”. Surah Dhuha, Ayat 8

Tetapi apa sebenarnya Zakat Pendapatan ini, syarat-syaratnya dan mengapakah ia begitu penting? Apa kata ikuti 11 panduan asas tentang Zakat Pendapatan ini.

1. Wajib ke?

Kewajipan membayar zakat adalah sama dengan solat. Zakat juga merupakan salah satu dari lima Rukun Islam yang menjadi kewajipan ke atas orang Islam. Di dalam Al-Quran zakat disebut hampir 30 kali, malah selalu disebut sekali dengan solat. Jadi zakat adalah sama penting dengan solat dalam hidup kita.

“Dan dirikanlah solat, tunaikanlah zakat dan rukuklah beserta orang-orang yang rukuk” Al-Baqarah, Ayat 43

Dalam ayat lain,

“Dan dirikanlah solat dan tunaikanlah zakat. Dan segala kebaikan yang kamu kerjakan untuk dirimu, kamu akan mendapatkannya (pahala) di sisi Allah. Sungguh, Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan” Al-Baqarah, Ayat 110

2. Ok, apakah maksud zakat pendapatan?

Zakat pendapatan adalah sebahagian kecil bayaran yang kita buat selepas menerima bayaran seperti gaji bulanan, tunggakan gaji, elaun, bonus atau dari sumber lain seperti pekerjaan tambahan (overtime atau part time).

Begitu juga jika kita menerima wang sewaan rumah, bangunan atau kenderaan. Bayaran zakat pendapatan ini dibuat kepada pejabat zakat yang berhampiran.

3. Adakah saya wajib membayar?

Ya, jika kita memenuhi syarat-syarat ini:

1. Seorang Islam yang dewasa, merdeka dan sihat akal fikiran.
2. Kita memiliki sepenuhnya pendapatan dan boleh menggunakan wang ini pada bila-bila masa.
3. Wang pendapatan ini mencapai nilai minimum (nisab) yang ditetapkan mengikut negeri.

Contohnya di negeri Melaka, jumlah pendapatan tahunan yang dikenakan zakat adalah sebanyak RM12,432-76 bersamaan gaji minimum sebulan sebanyak RM1,036-00. Jadi hanya pendapatan bulanan bermula dari RM1,036-00 ini sahaja perlu membayar zakat.

Nilai minimum ini adalah berbeza mengikut ketetapan pusat zakat negeri masing-masing.

4. Baiklah, berapa banyak zakat yang perlu saya bayar?

Pembayaran zakat pendapatan adalah sebanyak 2.5% sahaja dari jumlah pendapatan kita. Sedikit sahaja kan, dan baki pendapatan sebanyak 97.5% boleh kita gunakan.

5. Kiraan 2.5% ini dari gaji kasar atau bersih?

Terdapat dua cara kiraan yang boleh digunakan iaitu:

1. 2.5% dari pendapatan kasar, iaitu tanpa potongan perbelanjaan, atau;

2. 2.5% dari pendapatan setelah ditolak perbelanjaan untuk diri sendiri, isteri, anak, KWSP dan pemberian kepada ibu bapa. Sekiranya kita ada membuat simpanan di Tabung Haji atau Takaful juga boleh ditolak kerana badan-badan ini telah pun membayar zakat untuk sumbangan kita.

Cara paling mudah mengira bayaran zakat pendapatan adalah dengan menggunakan kalkulator zakat pusat zakat negeri masing-masing.

6. Ok, tetapi saya perlu bayar bulanan atau lumpsum setahun sekali?

Mana-mana satu pun boleh. Pilih cara yang kita rasa lebih mudah.

7. Tetapi perlu bayar di pejabat zakat sahaja ke?

Jika bayar di kaunter pejabat zakat lebih baik kerana dapat bertanya dengan lebih lanjut. Tetapi jika kita sudah pasti, atau ada rezeki ingin bayar lebih boleh sahaja bayar melalui online banking atau potongan gaji majikan secara tetap.

8. Baiklah, kepada siapa zakat ini akan diberikan?

Zakat pendapatan serta lain-lain zakat akan diberikan kepada orang Islam yang fakir, miskin, pihak yang membuat kutipan zakat (amil), mereka yang terbuka hatinya memeluk Islam (muallaf), orang yang berhutang bagi tujuan yang baik, mereka yang berjuang untuk Islam, orang dalam perjalanan yang terputus wang belanja (musafir) dan untuk memerdekakan hamba.

9. Apakah kebaikan jika saya membayar zakat ini?

Kadang-kadang kerana terlalu sibuk, kita tidak sempat untuk mendengar kesusahan orang lain.

Zakat sebenarnya melatih kita untuk sentiasa menderma. Menderma akan membantu mereka yang sangat memerlukan, menjalinkan rasa kasih-sayang dengan orang yang tidak dikenali serta menjadikan hidup kita lebih berkat dan bahagia. Zakat juga akan menyuburkan harta kita.

“Katakanlah, Sungguh, Tuhanku melapangkan rezeki dan membatasinya bagi siapa yang Dia kehendaki di antara hamba-hambanya. Dan apa sahaja yang kamu infakkan, Allah akan menggantinya dan Dialah pemberi rezeki yang terbaik”. Surah Saba’, Ayat 39

10. Perlu bayar cukai pendapatan lagi ke?

Sebenarnya jika kita membayar zakat pendapatan, kita boleh mendapat pelepasan cukai pendapatan jika jumlah zakat yang dibayar sama atau melebihi cukai pendapatan kita. Jika jumlah zakat yang dibayar adalah kurang, kita hanya perlu membayar bakinya sahaja kepada pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Cara untuk mendapat pelepasan atau pengurangan ini adalah dengan mengemukakan resit zakat yang telah dibayar kepada LHDN.

11. Zakat pendapatan ini sama dengan sedekah?

Zakat sebenarnya adalah pemberian atau sedekah. Cuma zakat pendapatan adalah wajib dilakukan jika kita cukup syarat, manakala sedekah yang tidak wajib (sunat) adalah terpulang kepada diri masing-masing.

“Ambillah daripada harta mereka akan sedekah”. Surat Al Taubah, 103

Mungkinkah cuaca panas El-Nino yang berlaku hari ini berlaku kerana kita terlupa membayar zakat pendapatan kita?

“Tidak menghalang satu-satu kaum akan zakat melainkan Allah akan menguji mereka dengan kebuluran dan kemarau.” Riwayat Tabrani

Sebenarnya di dalam setiap rezeki yang kita terima, ada bahagian orang lain di dalamnya. 2.5% dari pendapatan kita adalah milik lapan golongan yang telah ditetapkan di dalam Al-Quran.

Ada di antara mereka ini menyuarakan kesusahan mereka untuk dibantu dan ada juga yang berdiam diri sehingga kita tidak merasai keperitan yang mereka lalui.

“Dan pada harta benda mereka ada hak untuk orang miskin yang meminta, dan orang miskin yang tidak meminta”. Surah Ad-Zariyat, 19

Zakat pendapatan adalah satu rahmat Allah s.w.t yang melatih kita untuk mengingati mereka yang memerlukan dengan memberikan sedikit bantuan.

Zakat dalam bahasa Arab bermaksud bertambah, berkat, puji dan bersih. Sudah pasti dengan menunaikan zakat ini, rezeki yang kita perolehi menjadi bersih serta hidup kita akan lebih diberkati.

Ingin rasakan ketenangan yang hadir dari lubuk hati?

Mulakan dengan “memberi”. Rasa tenang akan hadir sewaktu harta dunia berada di hujung jari dan bukan lagi di dalam hati.

Baca lagi: Si Miskin Terpaksa Meraih Simpati Untuk Zakat?

*Sukakan artikel ini. JOm kita mengira pula. Jemput penulisan ini tentang cara pengiraan zakat pendapatan.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Dalin Ali

Seorang peguam yang jatuh cinta dengan menulis. Minimalis dan gemar belajar dari universiti kehidupan. Mencari bahagia yang pasti dengan mereka yang dikasihi.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami