Ibadah

Hadis Palsu Tentang Puasa Pada 10 Hari Pertama Zulhijjah

Oleh Natirah Azira  •  22 Jul 2020  •  3 min baca

Kita sudah pun memasuki bulan haram yang kedua dalam Islam iaitu Bulan Zulhijjah. Tidak lama lagi kita akan menyambut satu lagi perayaan istimewa dalam Islam iaitu Aidiladha. Bukan itu sahaja, kita juga digalakkan untuk melakukan amal soleh pada 10 hari pertama Zulhijjah kerana ia adalah hari yang sangat disukai oleh Allah.

Daripada Ibn Abbas R.anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:

Maksudnya: “Tidak ada hari yang mana amal soleh dilakukan padanya lebih dicintai oleh Allah daripada sepuluh hari ini (awal Zulhijjah).” Mereka berkata; Wahai Rasulullah! Tidak juga berjihad di jalan Allah? Baginda SAW berkata: “Tidak juga berjihad di jalan Allah melainkan seseorang itu keluar dengan jiwa dan hartanya kemudian dia tidak kembali (syahid) dengan membawa sesuatu pun.” (Riwayat Abu Daud, no. 2082 – Sanad hadis ini adalah sahih mengikut penilaian Syeikh Syu’aib al-Arna’outh)

Berdasarkan hadis inilah, maka umat Islam digalakkan melakukan apa jua amal soleh antaranya berpuasa, bersedekah, membaca Al-Quran dan berqiamullail. Namun, ada juga tersebar hadis-hadis yang menyatakan tentang kelebihan berpuasa sepanjang 10 hari terawal bulan Zulhijjah mengikut hari yang khusus.

Antaranya, daripada Ibn Abbas RA berkata, dikatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

فِي أَوَّلِ يَوْمٍ مِنْ ذِيْ الْحِجَّةِ غَفَرَ اللهُ فِيْهِ لِآدَمَ وَمَنْ صَامَ هَذَا الْيَوْمِ غَفَرَ اللهُ لَهُ كُلّ ذَنْبٍ

Maksudnya: “Pada hari pertama daripada bulan Zulhijjah, Allah telah mengampunkan Nabi Adam padanya dan barangsiapa yang berpuasa pada hari tersebut, maka Allah akan mengampunkan setiap dosanya.”

Contoh riwayat lain yang menceritakan tentang kelebihan berpuasa pada bulan Zulhijjah adalah seperti berikut:

1. Kelebihan berpuasa seperti dalam hadis di atas.

2. Kelebihan berpuasa 2 Zulhijjah seperti orang yang beribadat kepada Allah selama setahun dengan tidak melakukan maksiat kepadaNya sedikitpun kerana pada hari tersebut Allah telah memperkenankan permintaan Nabi Yusuf AS.

3. Kelebihan berpuasa 3 Zulhijjah bahawa Allah akan memperkenankan setiap doanya kerana pada hari tersebut Allah telah memperkenankan doa Nabi Zakaria AS.

4. Kelebihan berpuasa 4 Zulhijjah, akan dijauhkan oleh Allah daripada kesempitan, kemiskinan serta akan dihimpunkan di padang mahsyar bersama para malaikat dan padanya juga lahirnya Nabi Isa AS.

5. Kelebihan berpuasa 5 Zulhijjah akan terlepas daripada sifat munafik dan azab kubur serta padanya juga lahirnya Nabi Musa AS.

6. Kelebihan berpuasa 6 Zulhijjah akan dilihat oleh Allah SWT dengan pandangan rahmah serta Allah sama sekali tidak akan mengazabnya. Pada hari tersebut juga Allah telah membuka bagi Nabi Muhammad SAW dengan kebaikan.

7. Kelebihan berpuasa 7 Zulhijjah akan ditutup padanya pintu neraka Jahannam dan barang siapa yang berpuasa padanya akan ditutp kepadanya 30 pintu kesusahan serta dibuka baginya 30 pintu kesenangan.

8. Kelebihan berpuasa 8 Zulhijjah iaitu pada hari Tarwiyah akan diberikan ganjaran kepadanya yang tidak diketahui oleh orang lain melainkan Allah sahaja.

9. Kelebihan berpuasa 9 Zulhijjah iaitu pada hari Arafah akan diampunkan dosanya setahun sebelum dan setahun selepas.

Kesemua kelebihan yang disebutkan di atas termasuk hadis yang tentang kelebihan berpuasa pada tanggal 1 Zulhijjah adalah tidak sahih dan tidak berasal daripada Nabi SAW kecuali kelebihan berpuasa pada 9 Zulhijjah. Ia berdasarkan hadis daripada Abi Qatadah, bahawa Rasulullah SAW bersabda apabila ditanya tentang puasa pada hari Arafah:

يُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَةَ وَالْبَاقِيَةَ

Maksudnya: “Puasa pada hari tersebut akan menghapuskan dosa setahun yang lalu dan akan datang”. (Riwayat Muslim, no. 1977)

Dalam hal berpuasa di 10 hari pertama Zulhijjah, tidak ada hadis khusus yang menceritakannya. Hanya terdapat pengkhabaran daripada beberapa riwayat bahawa baginda berpuasa pada sebilangan hari dan ada pula hari baginda tidak berpuasa (tidak berpuasa secara terus menerus sepanjang 9 hari). Manakala pada 10 Zulhijjah pula kita akan merayakan Aidiladha.

Justeru, beramal lah dengan dalil-dalil yang sahih. Usah menyandarkan sesuatu yang tidak diketahui sahih atau tidak kepada Rasulullah SAW. Allah telah menyatakan keumuman dalam beribadah, maka pilihlah apa jua ibadah yang dirasakan sesuai dan mampu dilakukan.

Sumber:
Mufti Wilayah Persekutuan


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami